Selasa, 20 Mac 2012

Beza Yahudi dan Zionis

“Yahudi sebagai individu dan manusia tidak menggalas apa-apa beban kesalahan, hanya kerana dirinya berbangsa Yahudi. Malah Rasulullah SWT sendiri pernah berurusan dengan Yahudi”

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak salah berurus niaga dengan bangsa Yahudi, tetapi haram berdagang dengan kerajaan Zionis Israel.
Dalam satu kenyataan media, beliau menegaskan perbezaan antara Yahudi sebagai bangsa dengan ideologi Zionis yang menubuhkan negara Israel dan menindas umat Islam di Palestin.
“Yahudi sebagai individu dan manusia tidak menggalas apa-apa beban kesalahan, hanya kerana dirinya berbangsa Yahudi. Malah Rasulullah SWT sendiri pernah berurusan dengan Yahudi”, kata Nik Aziz.
Beliau merujuk hadis sahih riwayat Imam Bukhari, yang mengatakan Baginda menggadai baju besinya kepada seorang Yahudi bagi mendapatkan 30 sho’(ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga.
“Jika ada yang menyatakan berurus niaga dengan Yahudi adalah haram, ternyata ia disebabkan kejahilannya tentang Islam,” kata Menteri Besar Kelantan itu.
Beliau menjelaskan, apa yang menjadi kesalahan adalah urus niaga dengan kerajaan Zionis Israel, yang merampas tanah dan membunuh umat Islam Palestin.
“Urus niaga dengan Israel bererti mengiktiraf kewujudan mereka, dan itu merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Tok Guru.
Nik Aziz turut meluahkan rasa hairan dengan sesetengah pihak yang cuba menjadi juara menentang Israel, namun pada masa sama menjalinkan hubungan dagang dengan mereka.
Beliau merujuk jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat minggu lepas, yang mengatakan Larangan Mutlak ke atas barangan dari Israel dibawah Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) dipinda kepada Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada tahun 1994.
Sejak itu, barangan yang diimport dari Israel dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
20 Februari lalu, NGO Jingga 13 pula mendedahkan dokumen Jabatan Kastam, Westport menunjukkan kapal Zim Atlantic dan Zim USA, milik syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd, yang berlabuh di Pelabuhan Klang datang terus dair Ashdod, Israel.
98 peratus saham syarikat yang berpengkalan di Haifa, Israel itu dimiliki kerajaan Zionis Israel. Sahamnya turut tersenarai di Bursa Tel Aviv.

Ahad, 18 Mac 2012

Tips mendapat zuriat yang soleh

"Suami isteri perlu menjaga akhlak serta membaca doa-doa yang diajar Rasulullah sebelum dan sewaktu ingin bersama pasangan masing-masing. Ianya amat penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sekiranya waktu itu bermulanya percambahan zuriat,”


(Tuan Guru Nik Aziz ketika berucap di majlis ceramah keibubapaan di KTC)

KOTA BHARU, 14 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan tips istimewa kepada para pemuda untuk mendapatkan zuriat yang baik iaitu mencari isteri yang solehah.

“Isteri yang solehah dapat menerbitkan kebahagiaan rumah tangga di samping dapat mendidik anak-anak menjadi soleh,” ujarnya.

Sambungnya, isteri yang soleh lebih penting dari memilih kedudukan atau kekayaannya kerana apa yang ada itu adalah hak isterinya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah keibubapaan ‘Zuriat Kita Tanggungjawab Kita’ anjuran Kelantan Trade Centre (KTC) dan Buraqoil, di sini malam semalam.

Katanya, anak-anak bukan sahaja perlu diajar, sebaliknya turut diselangi dengan pendidikan.

Katanya, nasihat tidak akan sampai dengan sempurna pada anak-anak sekiranya mereka hanya diajar tanpa diterapkan dengan pendidikan bagi memudahkan golongan ini memahami setiap perkara yang diajar.

Tuan Guru bagaimanapun berkata, mereka bukan sahaja perlu dididik ketika berusia enam atau tujuh tahun sebaliknya sebelum mereka dibenihkan lagi.

“Suami isteri perlu menjaga akhlak serta membaca doa-doa yang diajar Rasulullah sebelum dan sewaktu ingin bersama pasangan masing-masing.

“Ianya amat penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sekiranya waktu itu bermulanya percambahan zuriat,” ujarnya lagi.

Lebih 500 orang ibubapa termasuk kanak-kanak menghadiri program itu yang turut diadakan pertandingan hafazan kanak-kanak (lelaki).



Sumber: harakahdaily

Sabtu, 10 Mac 2012

Ulama` juga insan seni -Tuan Guru MB Kelantan

“Cara Rasulullah berdakwah juga mengikut seni sehingga manusia terpikat dengan ajaran Islam, al-Quran juga mempunyai seninya yang tersendiri sehingga bila mendengarnya manusia akan terpegun,”
(Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)

KOTA BHARU, 9 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta masyarakat memahami pengertian insan seni sebenar kerana ulama juga tergolong dalam golongan artis.

Menurutnya, sekiranya artis dimaksudkan dengan insan seni malah golongan ulama juga mempunyai keseniannya yang tersendiri.

Katanya, kerana keseniannya itu golongan ulama berjaya meyakinkan golongan bukan Islam atau yang jauh dari Islam untuk mendekati dan menerimanya hasil kelunakan seni bahasa yang disampaikan ulama.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungi selebriti Oki Sentiana Dewi, heroin filem Ketika Cinta Bertasbih dari Indonesia dan selebriti dakwah Kapten Hafiz, di JKR 10, petang tadi.

Kedua-dua selebriti berkenaan akan menjayakan program ‘Bicara Selebriti’ ke-4, anjuran kerajaan negeri di Kelantan Trade Cantre mala mini.

Menurut Tuan Guru, sebelum ini masyarakat hanya mengenali pelawak, pelukis, pelakon, penyanyi sebagai artis, namun golongan ulama sebenarnya adalah artis.

“Cara Rasulullah berdakwah juga mengikut seni sehingga manusia terpikat dengan ajaran Islam, al-Quran juga mempunyai seninya yang tersendiri sehingga bila mendengarnya manusia akan terpegun,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur pada golongan artis termasuk Oki Sentiana Dewi yang sudi datang ke Kelantan bersama ibunya.

Katanya, dengan kehadiran artis ke negeri ini akan melenyapkan tohmahan buruk masyarakat Kelantan menolak golongan terbabit.


Sumber: harakahdaily

Selasa, 6 Mac 2012

Relevankah Anwar dan Najib berDEBAT..?

"Anak muda hari ini cukup terdedah dengan pelbagai media sosial, sudah pasti mahukan seorang pemimpin masa depan dari kalangan yang berilmu, praktikal dan prakmatik,"
Prof. Dr Abu Hassan Hasbullah

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Desakan anak muda mahukan perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penentu untuk memutuskan pemimpin mana yang mahu dipilih. 

Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia, Prof. Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, fenomena perdebatan bukan sesuatu yang baru pada kurun ke-21 kerana pada kurun ini diterjemahkan sebagai kurun informasi, partisipasi dan demokrasi.


Katanya, bagi orang muda yang terdiri daripada 11 juta daripada 26 juta rakyat negara ini sudah pasti bagi mereka politik hari ini tidak sama dengan politik kurun sebelum itu.


"Inilah peluang bagi orang muda mahu melihat lebih dekat pemimpin mereka berhujah dan berdebat dalam politik masa depan," katanya kepada Harakahdaily. 


Bagi Abu Hassan dengan cara inilah mereka mahu menyaksikan aspek kebijakkan dasar, ketrampilan dan ketelusan pemerintahan yang akan dilaksanakan. 

"Anak muda hari ini cukup terdedah dengan pelbagai media sosial, sudah pasti mahukan seorang pemimpin masa depan dari kalangan yang berilmu, praktikal dan prakmatik," katanya.

Jelasnya, sebagai seorang yang intelektual sudah pasti tidak dapat dilihat secara kasar kecuali berlaku perdebatan dalam isu-isu kritikal dan pertimbangan masa depan tanah air.

"Masa ini rakyat mahukan negara sangat mempunyai matlamat yang jelas,  keduanya bagaimana hendak meningkatkan negara menjadi maju dan sekarang adalah 'period' untuk menentukan masa depan.

"Oleh kerana itulah, anak muda mendesak berlakunya perdebatan untuk menangani krisis yang akan datang," katanya. 

Mengulas kajian terbaru Merdeka Centre itu, bagi Abu Hassan golongan pengundi terbesar ini ingin memilih seorang pemimpin yang benar-benar mampu mentadbir negara.

Agensi kaji selidik itu mendapati 54 peratus daripada mereka menyokong debat itu diadakan. Golongan paling tinggi menyokong menurut kajian itu adalah golongan muda yang berumur 21 hingga 30 tahun iaitu sebayak 67 peratus.

Ini kerana, katanya, orang muda tidak boleh bergantung kepada media sahaja kerana media hari ini tidak lagi dipercayai oleh masyarakat.  

"Untuk menilai secara keseluruhan sudah pasti orang muda mahukan perdebatan kerana media sebagai abstrak atau ringkasan sahaja," katanya 

Justeru katanya, mereka mahu lihat secara terbuka dan sekali gus memberi jalan kepada mereka untuk memutuskan pemimpin mana yang mahu mereka pilih. 

"Tidak ada cara lain untuk dekat dengan masyarakat sebab cara terbaik bersemuka dan berbahas dengan mengemukakan padangan masing-masing kerana isunya adalah untuk menangani masa depan negara," katanya.



Sumber: harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...