Selasa, 7 Februari 2012

Fiqh: Cuit mengikut imam dan Sujud Sahwi

Beberapa perkara biasa (remeh) yang KEBANYAKANNYA tidak tahu.

Situasi pertama:
Imam terlebih rakaat, sedangkan makmum mengingatkannya dengan ucapan 'Subhanallah'. Namun imam tidak duduk kerana telah pun berdiri tegak. Manakala makmum terus duduk menunggu imam duduk tasyahhud akhir untuk memberi salam bersama-sama imam.

Persoalan yang timbul disini, 'Apakah makmum hanya perlu menunggu mengikut imam memberi salam sahaja atau perlu mengikuti imam sujud sahwi dan kemudian memberi salam bersama-sama imam..?

Jawapan:
Bagi pandangan Imam as-Syafi`e rahimahullah, hukum asal dalam masalah ini, makmun hendaklah sujud sahwi bersama imam dan kemudiannya memberi salam bersama imam.

Imam an-Nawawi memperincikan masalah ini, bahwa persoalan berkaitan sujud sahwi ini bukanlah perkara yang (kebanyakan) 'orang awam tahu'. Maka ia tidak menjejaskan solatnya seandainya dia tidak bersujud sahwi bersama imam (kerana tidak tahu), malah hanya menunggu memberi salam bersama imam sahaja. Namun bagi 'orang awam' yang tahu hukumnya, jika tidak melaksanakan sujud sahwi, maka batal solatnya. (mengikut pendapat Imam as-syafi`e rahimahullah). والله أعلم بالصّواب

Situasi kedua:
Seseorang yang menjadi makmum kepada makmum yang masbuq (yang tidak memberi salam bersama imam kerana masih ada rakaat yang belum cukup).

Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk dia mengikut makmum yang masbuq (tadi) sebagai imam kepada solatnya...? Dengan cara mencuitnya kah, atau meninggikan takbirnya kah?

Jawapan:
Pada asalnya 'cuit' atau 'meninggikan takbir' adalah dalam masalah menarik seorang makmun saf hadapan untuk dia berundur kebelakang sebagai teman di saf yang kedua. Seandai solatnya berseorangan pun di saf yang kedua, tidak membatalkan solatnya. Cuma dalam mazhab Imam as-Syafi`e seseorang di saf kedua dituntut untuk tidak berseorangan di saf kedua.

Maka cara atau kaedah memaklumkan itu adalah dengan cara makmum mengangkat takbir terlebih dahulu kemudian barulah dia mencuit (isyarat undur) makmum yang masbuq tadi sebagai pemberitahuan padanya bahawa dia harus berniat menjadi imam kerana untuk mendapat pahala menjadi imam. Namun jika makmum yang masbuq tadi tidak berniat menjadi imam (sekalipun setelah dicuit) solatnya tetap sah, cuma dia tidak mendapat pahala menjadi imam sahaja. والله أعلم بالصّواب



Nota: Jawapan ini bukanlah muktamad. Para pembaca boleh terus bertanya dengan a`lim-a`lim ulama` yang lain. Usaha ini cuba diketengahkan oleh penulis untuk panduan orang awam, yang mana situasi-situasi ini berlaku secara langsung kepada diri penulis.

Jawapan ini juga diketengahkan oleh penulis setelah berbincang dengan orang yang lebih a`rif dan berkecimpung dalam banyak masalah-masalah berkaitan fiqh (pada hemat penulis).

Semoga usaha ini, diberikan ganjaran oleh-NYA. امين يا ربّ العالمين

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...