Ahad, 1 Januari 2012

SKS 2006-2011

“…sesuatu yang berharga itu terasa (kehilangannya) bila (sesuatu itu) tiada” 

Tahun baru 2012 sudahpun menjelma. Setiap orang akan cuba merencana sesuatu yang bernilai untuk dicapai dan digapai. Manakala kenangan tahun-tahun sebelumnya hanyalah terpahat sebagai memori kehidupan. Itulah erti dan harga sebuah keHIDUPan. “Masa yang LALU untuk dikenang, masa SEKARANG adalah pemberian, dan masa AKAN DATANG untuk dirancang”

Sepanjang tahun 2011 banyak pahit manis yang dilalui. Banyak air mata yang menitis. Banyak perasaan yang terhiris dan terguris. Banyak perkara duka yang meresah jiwa. Kalau diikutkan wacana nafsu, pasti diri akan musnah. Musnah kerana ikutkan wacana nafsu. Mujurlah disebalik segala yang terguris dan terhiris ini ada ibubapa dan adik-adik yang masih menyayangi, ada isteri yang tak henti-henti memotivasikan diri, ada anak-anak penyejuk mata dan hati, ada rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang ceria bila didampingi.

Walau apapun kronologinya, penamatannya tetap sama. Kehidupan mesti diteruskan. Kehidupan mesti bertunjangkan iman, bersendikan al-Quran dan petunjuk Rasul junjungan.

SKS 2006-2011

2012 juga sebenarnya membuka lembaran baru. Lembaran yang diharap manis dan indah bila bertugas ditempat baru. Walaupun ada secebis kecewa dan hampa bila diberitakan. Namun di sebalik perasaan itu terakur dengan sejuta harapan “aah barangkali disana terlubuk seribu kebaikan…hijrahlah…hijrahlah…hijrahlah” begitulah getusan hati untuk hiburkan perasaan yang sudah selesa selesa dan selesa. Selesa kerana sudah menjadi sebahagian orang lama. Selesa kerana serasi dengan taulan sekerja. Selesa dengan tugasan yang ada. Selesa dengan anak-anak didik yang sedia ada. Selesa kerana dikelilingi ‘team work’ yang ceria. Selesa kerana sudah terencana sesuatu yang pernah diimpikan. Selesa kerana komuniti adalah sebuah KELUARGA.

Dengan nama SK Santan (SKS), imej diri terbina. Di SKS jugaklah terbinanya jaringan masyarakat setempat. Bahkan merasa sangat bangga bila jenamakan diri dengan nama SKS. Kini segala yang indah itu menjadi kenangan dan untuk dikenang. Namun bersyukur kepada-NYA kerana di sana (SKS) dipertemukan insan yang mempunyai jiwa-jiwa hebat. Tak perlulah nama dan ketokohan mereka dipaparkan di sini. Biarlah ianya tersemat dan tersimpan rapi dalam kamus diri. Hilai ketawa mereka tak pernah malap. Kasih sayang mereka tak pernah pudar. Semoga Allah rahmati mereka, keluarga mereka, dan kerjaya mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...