Jumaat, 27 Januari 2012

Kenali MB Kedah Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan"

( MB Kedah Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak)


KEDIAMAN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.

Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.

CUKUP BERANG

"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.


Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

HARGA KEMEJA MB

Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini, beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA

Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.

Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi.

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya.

SERI MENTALOON

Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari. 

Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

PERANGKAP WARTAWAN

Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

RAMADAN

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!

Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!


*Artikel ini adalah catatan peribadi seorang wartawan Harakah, AZAMIN AMIN

Doa Majlis Persaraan Pn. Hajjah Rogayah Bt. Matt


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

 اللهم يا رحمن يا رحيم...

Pada saat dan detik yang bersejarah ini, kami memohon ihsan dan rahmat-Mu, agar Engkau anugerahkan kesejahteraan, taufiq dan hidayah, juga ketabahan dan kekuatan kepada Yang Berbahagia Pn. Hajjah Rogayah binti Matt yang akan bersara, menamatkankan perkhidmatannya sebagai seorang guru. Moga baginya selepas bersara nanti, dilimpahkan kehidupan yang berkat, kesihatan yang baik, serta dikurniakan ketenteraman dan ketenangan jiwa.

اللهم يا منزل البركة و يا فاتح الرحمة...

Kurniakanlah kepadanya ganjaran, syafaat dan keredhaan atas segala jasa dan pengorbanan yang telah beliau curahkan, sepanjang bergelar seorang guru. Limpahkanlah rahmat dan berkat-Mu, sebagai ganjaran kepada semangat juang yang tidak pernah mengenal erti putus asa, dalam memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pemimpin dan ibu yang sentiasa berusaha menyumbang tenaga, idea dan kepakaran, demi kecemerlangan anak bangsa.

Mudah-mudahan segala jasa, pengorbanan dan semangat beliau, menjadi pendorong untuk kami meneruskan perjuangan sebagai insan pendidik.

اللهم يا مقلب القلوب...

Bajailah hati kami dengan iman yang kukuh, hiasilah ia dilubuk hati kami, jauhkanlah kami dari perkara-perkara yang Engkau murkai, tuntunlah hati kami agar sentiasa berada di atas jalan Islam, suburkanlah perasaan cinta kepada-Mu, jua cinta kepada rasul-Mu baginda Muhammad SAW.

Ya Allah! Satukanlah hati kami, kuatkanlah silaturrahmi antara kami, jauhkanlah pra-sangka yang merosakan kesatuan kami, bantulah kami untuk menjadi warga pendidik yang meninggikan syariat-Mu. Lahirkanlah dari madrasah ini, generasi-generasi yang mentaati segala perintah Mu, jua yang takutkan azab Mu.


اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا، وَتَفَرُّقَـَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقاً مَعْصُوْمًا، وَلاَ تَجْعَلِ اللَّهُمَّ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا وَلاَ مَنْ يَتْبَعُنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا. رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأَخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار, وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ, وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ.


Catatan:
Doa ini di 'edit' semula oleh Abul Faruq mengikut kesesuaian.
Sumber asal: klik sini

Selasa, 24 Januari 2012

Ikhwanul Muslimin kuasai 2/3 Parliman Mesir

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi. 

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir semalam mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.  

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.     

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini sudah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat. 

Wartawan BBC di Kairo, Jon Leyne dalam laporan terkininya berkata, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bagaimanapun bukan parti pemenang pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan. 

Berdasarkan sistem pemilihan Mesir, warganegara itu akan memilih dua pertiga anggota Parlimen berdasarkan parti yang memiliki daftar calon masing-masing dan hanya sepertiga calon individu yang dipilih secara langsung.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen akan diadakan pada bulan Februari nanti dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Sementara itu, Agensi pula melaporkan, keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Mesir menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan besar, termasuk kumpulan Salafi yang terkenal kerana bersifat radikal.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang berfahaman sederhana memenangi 36.62 peratus diikuti oleh Parti An-nur yang mewakili kumpulan Salafi, 24.36 peratus sementara Al Wasat, sebuah lagi parti Islam berfahaman sederhana meraih 4.2 peratus undi, berdasarkan carta yang disediakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya, Yusri Abdel Karim.

Menurut carta itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (AJP) yang mewakili Ikhwan, memenangi 3.56 juta daripada 9.73 undi, An-Nur, 2.37 juta dan Al-Wasat, 415,590.

Keputusan itu adalah untuk kawasan yang mengundi pada Isnin dan Selasa lalu dan ia mengesahkan ramalan awal bahawa parti berhaluan Islam akan memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga undi.

Satu-satunya parti sekular yang mencatatkan kemenangan besar ialah Blok Rakyat Mesir yang memperoleh 13.35 peratus undi.

Jurucakap Ikhwan seperti yang dilaporkan oleh Agensi berkata, “Rakyat memilih calon yang mewakili identiti Islam dan dipercayai pengundi." 

Beliau menegaskan, FJP jauh berbeza dengan kumpulan Salafi yang menurutnya mencapai kemenangan memeranjatkan dalam pilihan raya itu.

“Kami berharap orang ramai akan dapat membezakan antara pergerakan yang berbeza dan tidak menganggap semua aktivis Islam berada dalam satu ‘kapal’,” katanya.




Sumber: harakahdaily

Rabu, 18 Januari 2012

‘Guru j-Qaf perlu sedia terima tugas’

2012/01/18 Sumber: bharian

KUALA LUMPUR: Guru j-Qaf diminta bersedia menerima tugas dipertanggungjawabkan kepada mereka walaupun terpaksa bertugas di pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak. 

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian bersimpati dengan nasib guru j-Qaf di sana, namun perlu memberi keutamaan kepada pelajar yang berdepan masalah kekurangan guru.
Beliau berkata, meskipun kementerian membuat perjanjian guru j-Qaf boleh memohon bertukar ke Semenanjung selepas berkhidmat tiga tahun, permohonan perlu melalui mesyuarat berpusat e-GTukar, yang diadakan dua tahun sekali.
“Mesyuarat ini mempertimbangkan beberapa perkara terutama masalah pengganti guru kerana jawatan guru j-Qaf adalah di luar norma, yang mana pengganti diperlukan jika pertukaran diluluskan. 

“Keterbatasan tempat di negeri asal dimohon bertukar juga menyebabkan kelulusan pertukaran diberi terhad dan mengikut keutamaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu guru j-Qaf di Sarawak yang sukar bertukar walaupun sudah mencukupi tempoh perkhidmatan. 

Lebih 1,000 guru j-Qaf mula dihantar bertugas ke Sarawak sejak 2005 masih belum dapat bertukar ke Semenanjung meskipun sudah melebihi tempoh berkhidmat sehingga mengakibatkan guru berkenaan menghadapi tekanan. 
Bagaimanapun, katanya, kementerian berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan masalah pertukaran itu diatasi sebaik mungkin. 

“Sejak tahun lalu, kementerian cuba menyeimbangkan jumlah pengambilan guru dengan dasar 30:30:40 iaitu 30 peratus guru masing-masing dari Sabah dan Sarawak, manakala 40 peratus lagi guru Semenanjung,” katanya. 

Di KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan kementerian bersikap sensitif dan bertimbang rasa ketika berdepan isu perpindahan guru j-Qaf ke Semenanjung. 

Tindakan tidak membenarkan guru j-Qaf berpindah hanya akan menyebabkan guru berkenaan bertugas dalam keadaan tidak rela dan gembira dengan kesannya akan dihadapi murid atau pelajar sekolah tempat mereka bertugas. 

Isnin, 16 Januari 2012

Antara Janji Pakatan Rakyat



Sumber : FB

Hukum Penubuhan Bank Susu

Keputusan: 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.

Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkaitrapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لا رِضَاعَ إِلا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْم

رواه أبو داود                                                                                    
Maksudnya:
Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.

Sehubungan itu, memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.

Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.


Sumber : e-fatwa

Khamis, 12 Januari 2012

Tindakan disiplin satu tarbiah

Apabila kita mengisi borang sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kita telah berjanji untuk mematuhi perintah dan arahan parti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam. Janji ini merupakan lumrah kepada mana-mana organisasi. Begitu juga apabila kita bekerja di sektor swasta atau awam tetap mempunyai disiplin dan peraturan yang perlu dipatuhi jika mahu berkerja di tempat ini.
Perkara yang sama kita sebagai seorang muslim sudah pun digariskan oleh Nabi SAW sebagai panduan disiplin dengan agama kita yang tidak boleh  dirungkai daripada diri kita. Tidak ada makhluk yang bernama manusia hidup tanpa peraturan dan disiplin.
Sekiranya manusia hidup tanpa  disiplin, maka dunia akan haru hara. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang hendak mendaulatkan Islam dan mempunyai cabaran yang begitu besar perlu mempunyai disiplin yang ketat supaya tidak ada gangguan untuk mencapai matlamatnya.
Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah Nabi SAW yang boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian daripada tarbiah di dalam jamaah.
Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada tiga orang sahabat Nabi SAW yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi. Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk. Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain baginda menerima dari  alasan mereka.
Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan nabi SAW. Beliau menyangka baginda tidak tahu,  sangkaan beliau meleset kerana baginda terus bertanya beliau ketika di Tabuk.
Apabila baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di masjid untuk meminta maaf, maka baginda suruh beliau balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Baginda mengarahkan jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Syam datang membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Syam kerana sahabat dan saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengambil surat itu lalu dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan Islam.
Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT. Oleh kerana Hilal bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang bertemu Rasulullah SAW lalu ia bertanya, “Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang  sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku melayaninya di rumah?”
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak! Akan tetapi ia tidak boleh mendekatimu!”
Isteri Hilal menjelaskan, “Ya Rasulullah! Ia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”. Maka Rasulullah tetap tidak benarkan.
Selama lima puluh hari lima puluh malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada baginda SAW memberi tahu bahawa Allah SWT telah mengampunkan mereka bertiga.
Mendengar berita itu Kaab terus  sujud syukur kepada Allah.
Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak cerah dan gembira, katanya “Bergembiralah kau pada hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?” tanyaku sabar.
“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!” jawab Rasul SAW.
Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah SAW.”
Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.
“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepadaNya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah: 118)
Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada para sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai persiapan baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah. Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW untuk berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari. Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpedapat lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan: Ya . kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni menunjukkan mereka akan disembelih.
Apabila beliau menyedari beliau telah mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT, bermaksud:
“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Taubah 9:102)
Pernah berlaku kepada seorang aktivis PAS di Pasir Salak Perak yang telah diambil tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana masalah dalaman parti, namun beliau tidak pernah jemu-jemu membantu PAS dan menghadiri program PAS walaupun beliau bukan ahli PAS. Paling menarik rumah beliau telah diadakan ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang memecat beliau pada ketika itu. 
Selepas beberapa beliau ditemui meninggal dengan penuh misteri di dalam parit di tanah rancangan Felcra Seberang Perak.

Rumusannya:
1. Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.
2. Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri
3. Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.
4. Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.
5. Menguji keikhlasan seorang itu samaada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.
6. Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.
7. Allah akan menguji kepada kita sama ada kita akan mengkhianat jamaah atau tidak apabila kita diambil tindakan. Jika Kaab bin Malik dipujuk oleh Raja Ghassan yang kafir, maka kita juga akan dipujuk oleh musuh-musuh PAS yang sentiasa mencari peluang.
8. Contohilah seorang ahli biasa PAS di Pasir Salak walaupun diambil tindakan mereka terus memberikan khidmat kepada PAS.
9. Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa.

Sumber: harakahdaily

Isnin, 9 Januari 2012

Bersegeralah memohon maaf kepada DS Anwar Ibrahim

PENGKALAN CHEPA, 9 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menasihatkan pihak yang telah memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memohon maaf dengan segera.

Katanya, ianya termasuk pihak media yang seolah-olah telah menggambarkan Anwar bersalah walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan sebelum ini.

“Para wartawan yang turut membuat fitnah terhadapnya selama inipun perlu memohon maaf dari Anwar. 

"Berdosa besar dan tidak akan masuk syurga selagi tidak memohon maaf darinya,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media sekembalinya dari Kuala Lumpur, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini pagi ini.

Sementara itu beliau yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu akan menunaikan solat sunat ‘syukur’ malam ini ekoran keputusan mahkamah yang memutuskan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, tidak bersalah.

Beliau juga akan berpuasa sunat sehari esok bagi melahirkan rasa syukur terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap Anwar yang akhirnya ditamatkan dengan keputusan mahkamah hari ini.

“Mudah-mudahan fitnah politik di negara ini tidak akan berlaku lagi,” ujarnya.

Sumber: harakahdaily

Rabu, 4 Januari 2012

Nasihat Tuan Guru buat Khairul Fahmi


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan pemain bola sepak yang sedang mencipta nama Khairul Fahmi Che Mat supaya cepat melangsungkan perkahwinan bagi mengelak terlibat dengan gejala sosial sehingga boleh menjejaskan nama baik dan masa depan kariernya.
    
Beliau berkata Islam mengajar umatnya supaya berkahwin kerana dengan cara itu dapat mengelak daripada terjebak dengan gejala tidak sihat yang ditegah agama Islam.
    
Nik Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kesyukuran naik rumah baru sumbangan kerajaan Kelantan kepada penjaga gol kebangsaan berusia 22 tahun itu ekoran kejayaannya mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan bola sepak.
    
Beliau berkata sebelum ini, kerajaan negeri memperkenalkan program perkahwinan 'gerbang Az-ziwaj' dengan menawarkan bantuan RM1,000 kepada golongan remaja yang kurang mampu sebagai belanja mas kahwin bagi menggalakkan mereka berkahwin cepat.
    
Katanya, atlit juga perlu menjauhkan diri daripada pengaruh dadah bagi mendapat kekuatan luar biasa dalam mengejar kejayaan kerana ia bukan sahaja boleh merosakkan kesihatan malah menjejas masa depan mereka.
    

Kerajaan Kelantan menghadiahkan sebuah rumah di Pengkalan Chepa bernilai kira-kira RM200,000 kepada Khairul Fahmi, yang membantu negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 ketika menentang Indonesia.
    
Semalam, beliau dilaporkan tersenarai dalam kategori Penjaga Gol Terbaik Asia 2011.
    
Sebelum ini, kerajaan negeri menghadiahkan sebuah rumah kepada pelajar miskin pintar, Nik Nurmadihah Nik Mohd Kamil, yang mendapat kejayaan cemerlang 20A dalam peperiksaan SPM pada 2008.
    
Nik Aziz berkata Kelantan akan terus memberi sumbangan hadiah kepada rakyatnya yang cemerlang dalam sesuatu bidang dan mampu mengharumkan nama negara serta negeri ini.   
        
Katanya, mereka yang berjaya Nik Nurmadihah dan Khairul Fahmi boleh menjadi idola kepada golongan muda.

Sumber: malaysiakini

Selasa, 3 Januari 2012

Insafi Kezaliman

KOTA BHARU, 2 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menyeru semua pihak sama ada kerajaan, pegawai atau peringkat individu agar menginsafi terhadap kezaliman yang dilakukan.
 
Katanya, sebelum tiba saat manusia dituntut ‘melutut’ dari Allah termasuk mereka yang dizalimi, tindakan sedemikian dihentikan segera.

“Saya tidak tuju pada siapa-siapa, tetapi setiap mereka yang melakukan kesalahan, sama ada individu, kerajaan, pihak berkuasa dan sebagainya perlu memohon maaf dari orang yang dikhianati,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Pada masa yang sama Tuan Guru berkata, tidak kira pelajar, orang tua atau sesiapa sahaja sekiranya mereka menuntut hak masing-masing, golongan itu tetap berdosa sekiranya hukuman diberikan di luar batas keagamaan dan kemanusiaan. Ini kerana, katanya menganiaya fizikal, spiritual adalah berdosa di sisi Allah kerana Islam itu sendiri telah meletakkan jalannya agar manusia itu mengikutnya.
 
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung kecederaan yang berlaku terhadap mahasiswa yang berhimpun di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

Katanya lagi, satu perkara yang perlu diingat, Allah adalah pencipta manusia sama ada mereka itu golongan yang berpangkat atau lemah.

“Bila buat aniaya pada manusia, taraf kita di sisi Allah sama sahaja, turut mendapat balasan pedih di akhirat nanti walaupun kita ni berpangkat dengan pelbagai bintang, berserban labuh semuanya akan dibalas,” ujarnya.

Sumber: harakahdaily

Catatan:
Khas buat Guru Besar (GB) yang suka menzalimi guru-guru di sekolahnya dengan memberikan markah prestasi yang rendah setelah tugas dan tanggungjawab cuba dilaksanakan dengan sebaiknya. Ingat..! Itu juga bentuk keZALIMan. (Pandangan peribadi)

Ahad, 1 Januari 2012

SKS 2006-2011

“…sesuatu yang berharga itu terasa (kehilangannya) bila (sesuatu itu) tiada” 

Tahun baru 2012 sudahpun menjelma. Setiap orang akan cuba merencana sesuatu yang bernilai untuk dicapai dan digapai. Manakala kenangan tahun-tahun sebelumnya hanyalah terpahat sebagai memori kehidupan. Itulah erti dan harga sebuah keHIDUPan. “Masa yang LALU untuk dikenang, masa SEKARANG adalah pemberian, dan masa AKAN DATANG untuk dirancang”

Sepanjang tahun 2011 banyak pahit manis yang dilalui. Banyak air mata yang menitis. Banyak perasaan yang terhiris dan terguris. Banyak perkara duka yang meresah jiwa. Kalau diikutkan wacana nafsu, pasti diri akan musnah. Musnah kerana ikutkan wacana nafsu. Mujurlah disebalik segala yang terguris dan terhiris ini ada ibubapa dan adik-adik yang masih menyayangi, ada isteri yang tak henti-henti memotivasikan diri, ada anak-anak penyejuk mata dan hati, ada rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang ceria bila didampingi.

Walau apapun kronologinya, penamatannya tetap sama. Kehidupan mesti diteruskan. Kehidupan mesti bertunjangkan iman, bersendikan al-Quran dan petunjuk Rasul junjungan.

SKS 2006-2011

2012 juga sebenarnya membuka lembaran baru. Lembaran yang diharap manis dan indah bila bertugas ditempat baru. Walaupun ada secebis kecewa dan hampa bila diberitakan. Namun di sebalik perasaan itu terakur dengan sejuta harapan “aah barangkali disana terlubuk seribu kebaikan…hijrahlah…hijrahlah…hijrahlah” begitulah getusan hati untuk hiburkan perasaan yang sudah selesa selesa dan selesa. Selesa kerana sudah menjadi sebahagian orang lama. Selesa kerana serasi dengan taulan sekerja. Selesa dengan tugasan yang ada. Selesa dengan anak-anak didik yang sedia ada. Selesa kerana dikelilingi ‘team work’ yang ceria. Selesa kerana sudah terencana sesuatu yang pernah diimpikan. Selesa kerana komuniti adalah sebuah KELUARGA.

Dengan nama SK Santan (SKS), imej diri terbina. Di SKS jugaklah terbinanya jaringan masyarakat setempat. Bahkan merasa sangat bangga bila jenamakan diri dengan nama SKS. Kini segala yang indah itu menjadi kenangan dan untuk dikenang. Namun bersyukur kepada-NYA kerana di sana (SKS) dipertemukan insan yang mempunyai jiwa-jiwa hebat. Tak perlulah nama dan ketokohan mereka dipaparkan di sini. Biarlah ianya tersemat dan tersimpan rapi dalam kamus diri. Hilai ketawa mereka tak pernah malap. Kasih sayang mereka tak pernah pudar. Semoga Allah rahmati mereka, keluarga mereka, dan kerjaya mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...