Ahad, 10 Julai 2011

Aman Palestin di SK Santan


Panitia merasakan isu  ini mesti diketengahkan kerana isu Palestin yang melibatkan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab semua orang Islam tidak kira di negara mana  ia berpijak.

JUMAAT 29 Rejab 1432 bersamaan 01 Julai 2011, Sekolah Kebangsaan Santan (SKS) melalui Panitia Agama Islam telah bekerjasama dengan Aman Palestin dalam  program “Ceramah  Isra` Mikraj” peringkat sekolah. Aman Palestin diwakili oleh En. Noorzamri telah menyampaikan ceramahnya dengan baik sekali, apatah lagi ceramah tersebut disertakan  paparan realiti kehidupan masyarakat Islam di Palestin mempertahankan Masjidil Aqsa dari ancaman zionis Israil.


Ceramah yang mengambil masa hampir saju jam setengah itu menjadikan murid-murid teruja untuk terus menerokai info-info berkaitan bumi Palestin yang merupakan khazanah Islam yang mesti dipertahankan.



Sasaran program ini ialah untuk “memeperkenalkan isu Masjid al-Aqsa dan Palestin” kepada seramai 126 murid dari tahun 5 dan 6. Panitia merasakan isu  ini mesti diketengahkan kerana isu Palestin yang melibatkan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab semua orang Islam tidak kira di negara mana  ia berpijak. Panitia juga berhasrat untuk melanjutkan isu-isu Palestin kepada sasaran yang lebih besar seperti warga sekolah dan warga ibubapa di masa-masa hadapan insyaallah.


Pihak Aman Palestin juga ada melancarkan derma kilat ‘untukmu Palestina’. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakan, sekalipun murid-murid tidak diberitahu sebelumnya berkenaan ‘derma kilat’ yang akan dikutip. Murid-murid juga ada menyumbang dengan membeli ‘cenderamata’ melalui pameran yang diadakan.


Akhirnya, pihak SKS melalui Panitia Agama Islam mengucapkan jazakallahu khairan kathira di atas kesudian pihak Aman Palestin bertandang ke sekolah ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada En. Mohd. Azrin Samsudin (staf Aman Palestin, Bangi) yang menjadi pengantara dalam menjayakan urusan ini, sekalipun urusan ini dirancang secara ad-hoc namun apa yang dirancang dapat berjalan seperti tarikh dan waktu yang ditetapkan. 

‘Terima kasih Aman Palestin! SK Santan bersamamu dalam menggerakkan isu-isu Palestina’.

Jumaat, 8 Julai 2011

Peludah Warna -A Samad said

 
Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A Samad Said


BERSIH Vs Barisan Nasional

Unggun BERSIH telahpun bernyala,
maraknya meruntun nafsu menggila,
Kini, dunia mentertawakan anda,
Masakan hanya warna KUNING,
membuat kalian tak tidur lena,

Aku dan rakyat jelata kini tersenyum,
Senyum kerana usaha-usaha jahat menjadi sia-sia,
Adegan seks, propaganda, tohmahan dan celaan,
ku kira ianya senjata ampuh,
rupa-rupanya senjata itu menjadikan kalian rapuh,
Serapuh dahan usang yang nak mampus,
Ego kalian akan menyembah bumi,
9 Julai BERSIH 2.0,
Stadium Merdeka menjadi saksi,
Kebangkitan rakyat pastinya realiti,
PRU 13 kemenangan menanti,
Terkuburnya Barisan Nasional di dasar bumi.

Rabu, 6 Julai 2011

Warkah TG Nik Aziz buat KDYMM Tuanku Mizan


“Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT,”
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.
Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011.

Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya.

Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia.

Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik.

Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata.

Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibu bapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah. 

Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Patik yang menjunjung kasih,
YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am
Parti Islam Semalaysia (PAS).
Bertarikh: 3 Syaaban 1432H bersamaan 5 Julai 2011M


Sumber: harakahdaily 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...