Rabu, 30 Mac 2011

Majlis Tadarus al-Quran PKPJ 2011

Santan, 26 Mac 2011- Syukur ahamdulillah, walaupun dalam suasana dingin dan cuaca hujan, Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) peringkat Pusat Kecemerlangan Pelajaran Jejawi (PKPJ) Zon 4, dapat berlangsung dan berjalan seperti yang dirancang. Program besar sebegini pastinya ada kekurangan dan kelemahan sekalipun segala kelemahan dan kekurangan itu cuba difikir dan disifarkan oleh pihak urusetia program. Namun kita merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah pastinya lebih baik.

Pertandingan MTQ PKPJ 2011 dirasmikan oleh En. Zolkapli Bin Jelani, Ketua Sektor Pendidikan Islam JPNPs. Sebanyak 5 acara yang dipertandingkan dengan melibatkan murid lelaki dan perempuan dalam acara Tilawah, Hafazan, Bercerita, Kuiz dan Nasyid. Pertandingan kali ini juga melibatkan  seramai 133 orang murid dari tujuh buah sekolah yang mengambil bahagian. Bertemakan 'Aqidah Kukuh Akhlak Terpuji' program kali ini bertujuan mengasuh minat dan mengasah bakat murid-murid di lapangan kesenian agama.

Pihak urusetia juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dari SK Jejawi  (SKJ), SK Kampung Salang (SKKS), SK Oran (SKO), SK Institut Perguruan Guru Malaysia (SK IPGM) Kampus Perlis, SK Chuping (SKC), SK Dato` Kayaman (SKDK), dan SK Santan (SKS). Sekalung tahniah juga ditujukan kepada seluruh warga SKS, yang bertungkus lumus membuat persiapan dan memberi komitmen yang baik dalam menjayakan program ini. "Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik kalian semua".

Pihak urusetia juga, ingin mengucapkan 'TAHNIAH' kepada semua pemenang-pemenang, dan kepada yang tidak berjaya, 'anda juga adalah pemenang, kerana anda semua adalah dikalangan yang terbaik dipilih untuk mewakili sekolah anda, jangan putus asa kerana bakat yang ada adalah anugerahNya kepada hamba-hambaNya yang terpilih sahaja'.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...