Rabu, 25 Ogos 2010

UMNO lebih Sudu dari Kuah..!


'Ya Allah, kukuhkanlah Islam dengan salah seorang yang paling engkau cintai iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu jahal bin Hisyam'. (Rasulullah SAW)


Hangat diperkatakan di media massa isu nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng disebutkan dalam khutbah jumaat, pada masa yang sama nama Ketua Negara tidak disebut dalam khutbah tersebut. Ramai yang agak terdiam dalam memberikan respon dalam isu ini. Bahkan dikalangan (sebilangan) ustaz-ustaz  dan ilmuan juga bimbang untuk merespon isu ini andai diajukan soalan ini.

Bimbang kerana dikhuatiri respon yang diberikan mendahului kehendak agama atau dibimbangi respon itu disalah tafsirkan sehingga digelar ‘menderhaka’ kepada Ketua Negara.

Cuma apa yang menariknya, isu ini digembar gemburkan oleh umno dalam suasana dikatakan PRU 13 semakin hampir. Najib juga dalam ucapannya meminta isu ini disiasat.

Sebenarnya dalam isu ini ramai yang menunggu golongan agamauan tampil memberi respon. Samaada respon itu pedas atau sebaliknya. Mengapa? Kerana ini isu agama. Persoalan agama hanya orang agama sahaja yang layak memberikan ulasan.

Mana mungkin seorang yang hanya berkebun tapi bercakap pandai mempertikaikan peranan guru-guru di sekolah, atau seorang menteri pelajaran yang hanya inginkan ‘keputusan itu dan ini’ tanpa turun ke sekolah melihat dan mendengar pandangan guru-guru yang bergelumang dengan seribu satu macam masalah disekolah. Tidak kah pelik namanya!

Di mana salahnya doa khatib ustaz Zakaria Ahmad yang berbunyi:

"Ya Allah Ya Tuhanku Kau Selamatkan Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang." (bharian)

Dimana salahnya? Batalkah khutbah tersebut? Rosakkah jumaat makmum Masjid Kubang Buaya, Butterworth Jumaat lalu dan Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor, 25 Jun lalu? Atau salahkah mendoakan orang bukan Islam agar pintu hatinya tertarik pada Islam?

Umum percaya, sebenarnya isu ini lebih sudu dari kuah yang menyebabkan tafsiran ramai bahawa ada agenda politik kotor mengaibkan kepimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Mungkin ini adalah antara cara ‘try and error’ menjatuhkan kepimpinan negeri yang sedia ada dengan mengapikan ‘asap perkauman’.

Nabi SAW pernah mendoakan agar Islam menjadi kuat dengan islamnya salah seorang dari dua Umar. Membawa maksud agar Allah bukakan pintu hidayah kepada salah seorang di kalangan mereka untuk memeluk Islam dan memperjuangkan serta mempertahankan Islam.

Doa Rasulullah SAW berbunyi:

اللّهم أعز الإسلام بأحـب الرجـلين إليك: بعمر الخطاب أو بأبي جـهل بن هشـام.

'Ya Allah, kukuhkanlah Islam dengan salah seorang yang paling engkau cintai iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu jahal bin Hisyam'. (al-Tirmizi dan al-Thabarani)


Allah maqbulkan doa baginda SAW. Akhirnya pada bulan zulhijjah tahun keenam kenabian, iaitu tiga hari selepas islamnya Saidina Hamzah, Umar al-Khattab memeluk Islam di hadapan baginda SAW. Ternyata tindakan baginda direstui dan diperkenankan Allah.

Berbeza dengan situasi baginda SAW mendoakan keampunan bapa saudaranya Abu Tholib sekalipun beliau mati dalam kafir. Peristiwa ini ditegur oleh Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 113 yang bermaksud:

Tiadalah sepatutnya bagi nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam’


Firman Allah lagi dalam surah al-Qosos ayat 56 yang bermaksud:

‘Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk’

Andailah doa khatib ustaz Zakaria Ahmad yang diaminkan oleh muslimin yang hadir dimaqbulkan Allah, pastinya warga muslimin akan beroleh keberuntungan yang besar. Seorang yang menunjukkan sikap yang baik kepada masyarakat, dan berjuang menegakkan keadilan untuk semua, pastinya tidak mustahil suatu hari nanti pintu hatinya akan terbuka untuk Islam.

Sama-samalah kita mendoakan agar pintu hatinya terbuka memilih Islam sebagai ad-Deen. Janganlah kita menjadi manusia yang ‘lebih sudu dari kuah’ mencetuskan provokasi jahat menggerakkan fitnah yang sedang tidur.

Letaklah agama itu di hadapan, melangkaui nafsu yang sentiasa mendorong kearah kejahatan. Berhentilah berjuang dengan slogan ‘keBANGSAan’ kerana tiada apapun yang boleh dibanggakan dengan bangsa.

Sejahat-jahat bangsa yahudi pun sekurang-kurangnya disebut dalam al-Quran sekalipun al-Quran merakamkan kebiadapan bangsa Yahudi terhadap Islam yang dibawa baginda SAW dan para nabi dan rasul yang lain. Bangsa melayu?

Perjuangan Rasulullah SAW adalah menyampaikan Islam, menegakkan Islam, justeru Islam yang dibawa baginda SAW boleh diterima seluruh lapisan masyarakat, merentasi tembok warna kulit, kerana yang dinilai di sisi Allah hanyalah ‘taqwa’. Biarlah di akhirat nanti bangsa melayu itu dibanggai kerana ‘taqwanya’ bukan kerana kerisnya, namanya atau bangsanya.

Semoga beroleh manfaat.

Sumber:
1- al-Quran
2- Soheh Muslim
3- ar-Rahiqil Makhtum -alMubarakfuri.
4- harakahdaily, bharian, sinar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...