Ahad, 15 Ogos 2010

Ahlan ya Ramadhan


"Delegasi Ramadhan sudahpun tiba di bumi untuk dilayan dan diberi perhatian kepada mereka. Sesungguhnya mereka adalah tetamu yang dihantar Allah buat hambanya yang beriman di bumi untuk sama-sama mengucapkan 'ahlan bika ya Ramadhan"

Syukur pada Allah,kerana dipanjangkan usia sehingga dapat bersua dengan ramadhan kali ini, syukur kerana masih lagi diberi kesempatan bertemu dengan ‘saiyyidush shuhur’ (penghulu bulan). Sedangkan berapa ramai hambanya yang tidak berkesempatan bertemu ramadhan (1431) yang tibanya dengan keberkatan. Justeru kesempatan yang ada saya cuba senaraikan beberapa nota penting berkaitan ramadhan.

1) Baginda SAW sering berdoa tatkala tiba bulan rejab agar dipertemukannya dengan ramadhan, kerana ramadhan datang dengan keberkatan, datang dengan tawaran-tawaran lumayan buat mereka yang beriman dengan hari kebangkitan. Doa baginda berbunyi:

اللـــهمّ بـــارك لنــا في رجب و شعبـان و بلّغــنا رمضـان

Maksudnya: Ya Allah! Berkatilah kami di bulan rejab, berkatilah kami di bulan sya`ban dan pertemukan kami dengan ramadhan.

Justeru, untuk menerima sesuatu yang hebat, persiapan juga mesti hebat, perancangan juga mesti hebat. Pastinya hanya orang yang hebat sahaja dapat mengecapi lunaknya kehadiran ramadhan.

2) Ramadhan adalah deligasi agung, untuk dilayan oleh seluruh warga bumi yang beriman. Sesungguhnya mereka adalah tetamu yang dihantar Allah buat hambanya yg beriman di bumi untuk sama-sama mengucapkan 'ahlan bika ya Ramadhan'

أتاكَـُمْ رمضانَ سَـيّدالشُّهورِ فمرْحباً وأهلاً جاء شهرُ الصّيامِ بالبركاتِ فأكـْرِمْ به مِنْ زائر هو آتٍ.`

“Telah datang Ramadhan penghulu segala bulan. Maka hendaklah kita mengucapkan selamat datang kepadanya. Telah datang bulan puasa membawa segala keberkatan, maka hendaklah memuliakan tetamu yang datang” (Penghayatan Ramadhan-SyeikhWajdi Ghunaim).


Andai layanan kita baik, maka baiklah juga layanan yang akan kita perolehi di akhirat. Jika sebaliknya, maka tunggulah saat kita dilupakan Allah pada hari mahsyar. Firman Allah dalam surah Toha (127-128) yang bermaksud:

Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal”.

3) Ramadhan adalah madrasah yang akan melahirkan graduasi-graduasi yang cemerlang. Bagaikan setiap tubuh badan yang sakit perlukan rawatan dan ubatan, agar sakit yang ditelan cepat disembuhkan. Begitu jugalah ‘jiwa’ yang sentiasa memerlukan sentuhan ‘pakar’ dan ‘rawatan pakar’. Maka kedatangan ramadhan adalah mesin menjernihkan jiwa yang kotor, merawat jiwa yang sakit, mendekatkan hambaNya yang jauh dengan penciptanya, merendahkan syahwatnya, mendisiplinkan hambanya, dan mengajar hamba mengenal Penciptanya.

Sabda nabi SAW:

الصّلـوات الخـمس والجُـمُعَـةُ الى الجـمعة ورمضـانُ الى رمضـان مُـكـَـفـِّراتٌ لِمـَا بينهُنَّ اذا اجْـتـَنـَبَتِ الكبائرُ.

‘Di antara sembahyang lima waktu itu, dan (di antara) Jumaat dengan Jumaat yang lain, dan (di antara) Ramadhan dengan Ramadhan itu adalah sebagai penghapus dosa di antara keduanya, apabila ia menjauhi dosa-dosa besar’


4) Ramadhan datang dengan limpahan tawaran rahmat dan hasanah yang sangat hebat. Barangkali tawaran inilah antara tawaran yang menjadikan ketinggian dan kebanggaan menjadi umat nabi Muhammad SAW.

عن سلمان الفارسي رضي الله عنه قال: خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر يوم من شعبان فقال:" أيّها الناسُ قدْ أظلـَّــكـُمْ شهرٌ عظيمٌ مباركٌ, شهرٌ فيه ليلةٌ خيرٌ مِنْ ألفِ شهر, جعل الله صِيامَهُ فريضـَةُ وقيامَ ليلِهِ تطوُّعًا, من تقرّبَ فيه بخصلة منَ الخـَيْركان كمَن أدّى فريضة فيما سِواه ومَن أدّى فريضة فيه كمن أدّى سبعين فريضة فيما سواه"

Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Salman al-Farisi RA katanya: Rasulullah SAW telah berkhutbah kepada kami pada hari akhir bulan Sya`ban, sabdanya: ‘Wahai manusia! Telah tiba padamu satu bulan yang agung lagi berkat, bulan yang didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan dimana Allah menetapkan puasa didalamnya sebagai satu kefardhuan, dan menghidupkan malamnya dengan ibadah sebagai amalan sunat. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah dengan sifat yang baik, ia bagaikan orang yang melakukan satu kefardhuan dibulan yang lain. Manakala seseorang yang menunaikan satu kefardhuan didalamnya ia bagaikan menunaikan tujuh puluh kefardhuan dibulan yang lain’.


5) Ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran (al-Baqarah 185). Menunjukan kemuliaan yang diberikan Allah untuk Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Justeru membaca, mengamati, mempelajari, apatah lagi mengamalkan isi kandungannya mendatangkan ganjaran dan pahala yang sangat hebat nilainya.

"من قرأ حرفا مِن كتـاب الله فله به حسنة والحسنة بعشرة أمثـالها, لا أقول "الـــــــــــــم" حرفٌ, ولكن ألِفٌ حرفٌ ولامٌ حرفٌ ومِيْمٌ حرفٌ".

Nabi SAW bersabda: ‘Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah maka baginya satu kebajikan (pahala) dan satu kebajikan digandakan dengan sepuluh gandaan. Tidaklah aku katakan “الـــــمitu satu huruf, tetapi Alif (itu) satu huruf, dan Lam (itu) satu huruf dan Mim (itu) satu huruf’.

Semoga artikel ringkas ini memberikan manfaat buat para pembaca. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Sumber rujukan:
1) al-Quran
2) al-Khuthob Minbariah -Syeikh U`saimin.
3) Majalis Syahru Ramadhan -Syeikh U`saimin.
4) Penghayatan Ramadhan (Edisi Terjemahan) -Syeikh Wajdi Ghunaim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...