Rabu, 25 Ogos 2010

UMNO lebih Sudu dari Kuah..!


'Ya Allah, kukuhkanlah Islam dengan salah seorang yang paling engkau cintai iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu jahal bin Hisyam'. (Rasulullah SAW)


Hangat diperkatakan di media massa isu nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng disebutkan dalam khutbah jumaat, pada masa yang sama nama Ketua Negara tidak disebut dalam khutbah tersebut. Ramai yang agak terdiam dalam memberikan respon dalam isu ini. Bahkan dikalangan (sebilangan) ustaz-ustaz  dan ilmuan juga bimbang untuk merespon isu ini andai diajukan soalan ini.

Bimbang kerana dikhuatiri respon yang diberikan mendahului kehendak agama atau dibimbangi respon itu disalah tafsirkan sehingga digelar ‘menderhaka’ kepada Ketua Negara.

Cuma apa yang menariknya, isu ini digembar gemburkan oleh umno dalam suasana dikatakan PRU 13 semakin hampir. Najib juga dalam ucapannya meminta isu ini disiasat.

Sebenarnya dalam isu ini ramai yang menunggu golongan agamauan tampil memberi respon. Samaada respon itu pedas atau sebaliknya. Mengapa? Kerana ini isu agama. Persoalan agama hanya orang agama sahaja yang layak memberikan ulasan.

Mana mungkin seorang yang hanya berkebun tapi bercakap pandai mempertikaikan peranan guru-guru di sekolah, atau seorang menteri pelajaran yang hanya inginkan ‘keputusan itu dan ini’ tanpa turun ke sekolah melihat dan mendengar pandangan guru-guru yang bergelumang dengan seribu satu macam masalah disekolah. Tidak kah pelik namanya!

Di mana salahnya doa khatib ustaz Zakaria Ahmad yang berbunyi:

"Ya Allah Ya Tuhanku Kau Selamatkan Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang." (bharian)

Dimana salahnya? Batalkah khutbah tersebut? Rosakkah jumaat makmum Masjid Kubang Buaya, Butterworth Jumaat lalu dan Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor, 25 Jun lalu? Atau salahkah mendoakan orang bukan Islam agar pintu hatinya tertarik pada Islam?

Umum percaya, sebenarnya isu ini lebih sudu dari kuah yang menyebabkan tafsiran ramai bahawa ada agenda politik kotor mengaibkan kepimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Mungkin ini adalah antara cara ‘try and error’ menjatuhkan kepimpinan negeri yang sedia ada dengan mengapikan ‘asap perkauman’.

Nabi SAW pernah mendoakan agar Islam menjadi kuat dengan islamnya salah seorang dari dua Umar. Membawa maksud agar Allah bukakan pintu hidayah kepada salah seorang di kalangan mereka untuk memeluk Islam dan memperjuangkan serta mempertahankan Islam.

Doa Rasulullah SAW berbunyi:

اللّهم أعز الإسلام بأحـب الرجـلين إليك: بعمر الخطاب أو بأبي جـهل بن هشـام.

'Ya Allah, kukuhkanlah Islam dengan salah seorang yang paling engkau cintai iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu jahal bin Hisyam'. (al-Tirmizi dan al-Thabarani)


Allah maqbulkan doa baginda SAW. Akhirnya pada bulan zulhijjah tahun keenam kenabian, iaitu tiga hari selepas islamnya Saidina Hamzah, Umar al-Khattab memeluk Islam di hadapan baginda SAW. Ternyata tindakan baginda direstui dan diperkenankan Allah.

Berbeza dengan situasi baginda SAW mendoakan keampunan bapa saudaranya Abu Tholib sekalipun beliau mati dalam kafir. Peristiwa ini ditegur oleh Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 113 yang bermaksud:

Tiadalah sepatutnya bagi nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam’


Firman Allah lagi dalam surah al-Qosos ayat 56 yang bermaksud:

‘Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk’

Andailah doa khatib ustaz Zakaria Ahmad yang diaminkan oleh muslimin yang hadir dimaqbulkan Allah, pastinya warga muslimin akan beroleh keberuntungan yang besar. Seorang yang menunjukkan sikap yang baik kepada masyarakat, dan berjuang menegakkan keadilan untuk semua, pastinya tidak mustahil suatu hari nanti pintu hatinya akan terbuka untuk Islam.

Sama-samalah kita mendoakan agar pintu hatinya terbuka memilih Islam sebagai ad-Deen. Janganlah kita menjadi manusia yang ‘lebih sudu dari kuah’ mencetuskan provokasi jahat menggerakkan fitnah yang sedang tidur.

Letaklah agama itu di hadapan, melangkaui nafsu yang sentiasa mendorong kearah kejahatan. Berhentilah berjuang dengan slogan ‘keBANGSAan’ kerana tiada apapun yang boleh dibanggakan dengan bangsa.

Sejahat-jahat bangsa yahudi pun sekurang-kurangnya disebut dalam al-Quran sekalipun al-Quran merakamkan kebiadapan bangsa Yahudi terhadap Islam yang dibawa baginda SAW dan para nabi dan rasul yang lain. Bangsa melayu?

Perjuangan Rasulullah SAW adalah menyampaikan Islam, menegakkan Islam, justeru Islam yang dibawa baginda SAW boleh diterima seluruh lapisan masyarakat, merentasi tembok warna kulit, kerana yang dinilai di sisi Allah hanyalah ‘taqwa’. Biarlah di akhirat nanti bangsa melayu itu dibanggai kerana ‘taqwanya’ bukan kerana kerisnya, namanya atau bangsanya.

Semoga beroleh manfaat.

Sumber:
1- al-Quran
2- Soheh Muslim
3- ar-Rahiqil Makhtum -alMubarakfuri.
4- harakahdaily, bharian, sinar.

Ahad, 15 Ogos 2010

Ahlan ya Ramadhan


"Delegasi Ramadhan sudahpun tiba di bumi untuk dilayan dan diberi perhatian kepada mereka. Sesungguhnya mereka adalah tetamu yang dihantar Allah buat hambanya yang beriman di bumi untuk sama-sama mengucapkan 'ahlan bika ya Ramadhan"

Syukur pada Allah,kerana dipanjangkan usia sehingga dapat bersua dengan ramadhan kali ini, syukur kerana masih lagi diberi kesempatan bertemu dengan ‘saiyyidush shuhur’ (penghulu bulan). Sedangkan berapa ramai hambanya yang tidak berkesempatan bertemu ramadhan (1431) yang tibanya dengan keberkatan. Justeru kesempatan yang ada saya cuba senaraikan beberapa nota penting berkaitan ramadhan.

1) Baginda SAW sering berdoa tatkala tiba bulan rejab agar dipertemukannya dengan ramadhan, kerana ramadhan datang dengan keberkatan, datang dengan tawaran-tawaran lumayan buat mereka yang beriman dengan hari kebangkitan. Doa baginda berbunyi:

اللـــهمّ بـــارك لنــا في رجب و شعبـان و بلّغــنا رمضـان

Maksudnya: Ya Allah! Berkatilah kami di bulan rejab, berkatilah kami di bulan sya`ban dan pertemukan kami dengan ramadhan.

Justeru, untuk menerima sesuatu yang hebat, persiapan juga mesti hebat, perancangan juga mesti hebat. Pastinya hanya orang yang hebat sahaja dapat mengecapi lunaknya kehadiran ramadhan.

2) Ramadhan adalah deligasi agung, untuk dilayan oleh seluruh warga bumi yang beriman. Sesungguhnya mereka adalah tetamu yang dihantar Allah buat hambanya yg beriman di bumi untuk sama-sama mengucapkan 'ahlan bika ya Ramadhan'

أتاكَـُمْ رمضانَ سَـيّدالشُّهورِ فمرْحباً وأهلاً جاء شهرُ الصّيامِ بالبركاتِ فأكـْرِمْ به مِنْ زائر هو آتٍ.`

“Telah datang Ramadhan penghulu segala bulan. Maka hendaklah kita mengucapkan selamat datang kepadanya. Telah datang bulan puasa membawa segala keberkatan, maka hendaklah memuliakan tetamu yang datang” (Penghayatan Ramadhan-SyeikhWajdi Ghunaim).


Andai layanan kita baik, maka baiklah juga layanan yang akan kita perolehi di akhirat. Jika sebaliknya, maka tunggulah saat kita dilupakan Allah pada hari mahsyar. Firman Allah dalam surah Toha (127-128) yang bermaksud:

Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal”.

3) Ramadhan adalah madrasah yang akan melahirkan graduasi-graduasi yang cemerlang. Bagaikan setiap tubuh badan yang sakit perlukan rawatan dan ubatan, agar sakit yang ditelan cepat disembuhkan. Begitu jugalah ‘jiwa’ yang sentiasa memerlukan sentuhan ‘pakar’ dan ‘rawatan pakar’. Maka kedatangan ramadhan adalah mesin menjernihkan jiwa yang kotor, merawat jiwa yang sakit, mendekatkan hambaNya yang jauh dengan penciptanya, merendahkan syahwatnya, mendisiplinkan hambanya, dan mengajar hamba mengenal Penciptanya.

Sabda nabi SAW:

الصّلـوات الخـمس والجُـمُعَـةُ الى الجـمعة ورمضـانُ الى رمضـان مُـكـَـفـِّراتٌ لِمـَا بينهُنَّ اذا اجْـتـَنـَبَتِ الكبائرُ.

‘Di antara sembahyang lima waktu itu, dan (di antara) Jumaat dengan Jumaat yang lain, dan (di antara) Ramadhan dengan Ramadhan itu adalah sebagai penghapus dosa di antara keduanya, apabila ia menjauhi dosa-dosa besar’


4) Ramadhan datang dengan limpahan tawaran rahmat dan hasanah yang sangat hebat. Barangkali tawaran inilah antara tawaran yang menjadikan ketinggian dan kebanggaan menjadi umat nabi Muhammad SAW.

عن سلمان الفارسي رضي الله عنه قال: خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر يوم من شعبان فقال:" أيّها الناسُ قدْ أظلـَّــكـُمْ شهرٌ عظيمٌ مباركٌ, شهرٌ فيه ليلةٌ خيرٌ مِنْ ألفِ شهر, جعل الله صِيامَهُ فريضـَةُ وقيامَ ليلِهِ تطوُّعًا, من تقرّبَ فيه بخصلة منَ الخـَيْركان كمَن أدّى فريضة فيما سِواه ومَن أدّى فريضة فيه كمن أدّى سبعين فريضة فيما سواه"

Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Salman al-Farisi RA katanya: Rasulullah SAW telah berkhutbah kepada kami pada hari akhir bulan Sya`ban, sabdanya: ‘Wahai manusia! Telah tiba padamu satu bulan yang agung lagi berkat, bulan yang didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan dimana Allah menetapkan puasa didalamnya sebagai satu kefardhuan, dan menghidupkan malamnya dengan ibadah sebagai amalan sunat. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah dengan sifat yang baik, ia bagaikan orang yang melakukan satu kefardhuan dibulan yang lain. Manakala seseorang yang menunaikan satu kefardhuan didalamnya ia bagaikan menunaikan tujuh puluh kefardhuan dibulan yang lain’.


5) Ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran (al-Baqarah 185). Menunjukan kemuliaan yang diberikan Allah untuk Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Justeru membaca, mengamati, mempelajari, apatah lagi mengamalkan isi kandungannya mendatangkan ganjaran dan pahala yang sangat hebat nilainya.

"من قرأ حرفا مِن كتـاب الله فله به حسنة والحسنة بعشرة أمثـالها, لا أقول "الـــــــــــــم" حرفٌ, ولكن ألِفٌ حرفٌ ولامٌ حرفٌ ومِيْمٌ حرفٌ".

Nabi SAW bersabda: ‘Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah maka baginya satu kebajikan (pahala) dan satu kebajikan digandakan dengan sepuluh gandaan. Tidaklah aku katakan “الـــــمitu satu huruf, tetapi Alif (itu) satu huruf, dan Lam (itu) satu huruf dan Mim (itu) satu huruf’.

Semoga artikel ringkas ini memberikan manfaat buat para pembaca. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Sumber rujukan:
1) al-Quran
2) al-Khuthob Minbariah -Syeikh U`saimin.
3) Majalis Syahru Ramadhan -Syeikh U`saimin.
4) Penghayatan Ramadhan (Edisi Terjemahan) -Syeikh Wajdi Ghunaim.

Khamis, 12 Ogos 2010

Batalkah Puasa Jika...

Dipetik dan dinaqalkan secara amanah dari website Ust.Zaharuddin, semoga ianya memberi manfaat buat semua pembaca. Artikel asal, baca di sini. Semoga kita di kalangan mereka yang berjaya di bulan Ramadhan al-Mubarak.

Perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati terlebih dahulu. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah:-

1. Menahan nafsu syahwat dengan menanggung lapar dan dahaga. Melanggarnya dengan sengaja adalah membatalkan puasa.

2. Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Melakukannya adalah membatalkan puasa.

Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, selain itu WAJIB juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak. Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun beberapa perkara yang tidak disepakati, ia masih boleh diperbincangkan, cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramadhan sehingga menyimpangkan kita dari objektif Ramadhan.

Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh
Samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain. Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). 

Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211).

Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh 
Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah
 Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini.

Pun begitu, kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal
Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226).

Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan. Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.  
Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik. Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat.  
Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa.  
Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama. Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -
فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :- "aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif).

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 ) Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.

9) Wanita tamat haid 
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar. Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201) Dalilnya adalah:-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi
  Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.? Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa. Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh.
Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159) Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan. Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur dan kahak
 Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

13 ) Mandi.
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Kecuali seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal. Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...