Isnin, 24 Mei 2010

Ucapan ringkas ibuku, di majlis sambutan Hari Guru 2010


Assalamualaikum wbth.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW serta ahli keluarganya, dan para sahabatnya. Amin ya Rabbal `Aalamin.

Bersyukur kita kehadrat Allah, kerana pada hari ini, kita masih lagi diberi peluang untuk mendiami bumi-Nya, menikmati segala anugerah-Nya, dan yang lebih penting ialah kita tetap dan tsabat di atas jalan Islam.

Warga sekolah yang dihormati sekalian,

Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak pentadbir, rakan-rakan guru, staf-staf sokongan, pelajar-pelajar, di atas sambutan yang diadakan sempena hari persaraan saya, yang genap 33 tahun 5 bulan perkhidmatan saya dalam dunia pendidikan. Sesungguhnya dunia pendidikan sangat dekat dengan jiwa saya. Apa yang dicita-citakan suatu ketika dulu, telahpun menjadi kenyataan. Kini… cita-cita, impian dan kenyataan itu sudah sampai ke penghujungnya.

Buat rakan-rakan guru, teruskan mencurah bakti anda kepada pelajar-pelajar kita. Janganlah merasa jemu dan bebal dengan karenah pelajar-pelajar kita, kerana ‘mengajar & mendidik’ adalah tanggungjawab seorang guru. Sememangnya proses ‘memanusiakan manusia’ memerlukan kesabaran yang tinggi dan tempoh masa yang panjang. Tanpa kesabaran & pengorbanan, mana mungkin suatu yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

Buat anak-anak didik yang dikasihi sekalian,

Manfaatkanlah masa yang ada. Tinggalkanlah tabiat bersembang kosong, melepak, membuang masa dan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Berusahalah..! Teruskan berusaha, dan berusaha, dan berusaha. Hanya dengan berusaha kita pasti beroleh kejayaan. Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya, setiap yang berusaha, pasti akan dibalas ganjaran oleh-Nya.

Pujangga arab pernah bermadah:

‘menjadi kewajipanmu untuk berusaha, dan bukanlah kewajipanmu menentukan kejayaan’

Pesanan kedua, milikilah akhlak yang terpuji. Belajarlah menjadi seorang yang berbudi. Kerana harga diri terletak pada akhlak dan pekerti. Apalah gunanya cemerlang akademik, jika kecundang akhlak dan tingkah laku... Apalah gunanya menggalas berbelas A, andai ibu dan ayah, guru-guru tidak dihormati.

Anak-anak ku yang disayangi...

Kejar lah ‘redho ibu dan ayah’ kamu, kerana ‘redho Allah’ hanya pada redho ibu dan ayahmu. Penuhilah segala kehendak mereka, apa yang disuruh, dilaksanakannya dan apa yang di tegah, ditinggalkannya.

Akhirnya, cikgu mendoakan kejayaan anak-anak sekalian. Berusahalah kemudian bertawakkallah. Bukan hanya ‘bertawakkal’ sebelum ‘berusaha’.

Kuatkan hubungan dengan Allah. Solat fardhu jangan ditinggalkan. Bacaan al-Quran jangan dilupakan.


Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.


Selasa, 4 Mei 2010

Bekas hakim India kagumi Nik Aziz

KOTA BHARU, 4 Mei: Kelainan Kelantan yang ditadbir seorang ulama, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam turut menarik minat cendikiawan dari dunia luar termasuk bekas hakim dari India. Hari ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Chennai, Abdul Hadi Miran, 75 mengunjungi hormat Menteri Besar di pejabatnya, di sini.

Turut hadir anak beliau yang juga merupakan seorang peguam di Mahkamah Tinggi Chenai.
Menurut Abdul Hadi, impiannya untuk bersua muka dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah lama dipendamkan dulu kerana ketika itu beliau masih bertugas. Beliau berkata, peribadi Menteri Besar Kelantan sering menjadi bahan bualan masyarakat Islam di Chennai dan perkembangan di negeri ini turut diketahui masyarakat di sana.

“Saya merakamkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru menerima kunjungan kami. Kenangan ini akan dibawa pulang dan diceritakan kepada masyarakat di Chennai,” kata beliau.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz fasih bercakap dalam bahasa Urdu bersama Abdul Hadi. Abdul Hadi juga melahirkan rasa kagum di atas kehidupan masyarakat di negeri ini yang berada dalam keadaan aman walaupun pelbagai bangsa dan agama.

Katanya, ia adalah satu cara yang diajar Islam iaitu berbuat baik terhadap sesama manusia. (sumber: harakahdaily)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...