Jumaat, 30 April 2010

Ulama` anggotai kumpulan dikir barat



KOTA BHARU, 29 April: Kelantan mencetus satu lagi kejutan baru apabila menubuhkan pasukan dikir barat di kalangan ulama yang terdiri daripada guru-guru agama dan imam masjid.

Biar pun berpakaian jubah dan serban di kepala, mereka boleh berdikir seperti kumpulan dikir barat lain. Jangan terkejut kerana inilah idea dicetus Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dan baru-baru ini beliau melancarkan kumpulan dikir barat tersebut yang dikenali sebagai Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat.

Ketika berucap pada perlancaran kumpulan terbabit, Menteri Besar melahirkan rasa syukur kerana cita-citanya untuk memperbanyakkan medium dakwah berjaya direliasasikan melalui persembahan dikir barat.

“Kenapa kita tidak pergunakan persembahan dilkir barat untuk saluran dakwah Islam. Hari ini kita melancarkan Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat,” katanya di Balai Islam, Lundang.

Bagi melahirkan rasa gembiranya, beliau menyumbangkan wang peribadi sebanyak RM10,000 bagi mengisi Tabung Kumpulan Dikir Sri Halaqat. Beliau berkata, minat rakyat Kelantan kepada dikir barat tidak dapat dinafikan kerana di mana-mana sahaja persembahan kebudayaan itu diadakan, ramai orang datang.

Sementara itu, Pengelola Halqat Negeri, Abdullah Abdul Razak berkata, penubuhan Kumpulan Dikir Barat Halaqat merupakan cetusan idea Menteri Besar sendiri yang dimulakan pada awal 2009.

Katanya, selain Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat, pihaknya juga menubuhkan Kumpulan Seni Budaya Halaqat. "Beberapa pengubahsuaian dilakukan iaitu tok juara dikir diubah nama kepada tukang pantun, manakala tukang karut dipanggil tukang syair.

Unit Dakwah Halaqat kini mempunyai tenaga seramai 3,177 orang yang terdiri daripada mubaligh dan guru al-Quran. Katanya, hasil kelas pembelajaran al Quran yang dikendalikan guru-guru al-Quran secara purata setiap tahun dapat melahirkan seramai 4,200 pelajar yang khatam al-Quran. (sumber: harakahdaily)

Ahad, 18 April 2010

Kemeriahan sukaneka Taski Ummu Aiman


SUKANEKA TASKI UMMU AIMAN, MAAHAD TARBIAH ISLAMIAH (MATRI)

TARIKH  : 16 APRIL 2010 bersamaan 02 JUMADIL AKHIR 1431

MASA    : 7.30 PAGI - 11.30 PAGI

TEMPAT : PADANG KAWAD MATRI

TEMA SUKANEKA : 

'ORANG MUKMIN YANG KUAT LEBIH BAIK DAN LEBIH DICINTAI ALLAH BERBANDING ORANG MUKMIN YANG LEMAH'


Sabtu, 10 April 2010

Harumanis & Kampung Santan-ku!


"KE PUSAT JUALAN & PROMOSI MEMPELAM TEMPATAN, 
DAPATKAN HARUMANIS DENGAN HARGA BERPATUTAN, 
RASANYA ENAK PENUH KELAZATAN, 
KALAU NAK TAHU PAKAT-PAKAT MAI KE KAMPUNG SANTAN"

Berduyun-duyun kenderaan kecil dan besar keluar masuk kampung santan. Siang malam pagi petang begitulah situasinya. Semuanya gara-gara 'Harumanis'. Kampung santan memang terkenal dengan perusahaan mempelam harumanis, sekalipun harumanis boleh didapati di merata tempat di negeri Perlis, namun Perusahaan Abdullah Sekeluarga (PAS) sememangnya menjadi tumpuan pengunjung-pengunjung dan peminat-peminat buah-buahan tempatan. Terletak sejauh 6km dari pekan Kangar, dan 10km dari pekan Arau, perusahaan yang beroperasi saban tahun mengikut musim nya,  menjanjikan kepuasan bagi setiap pengunjungnya. Sepengetahuan saya, ada pengunjung dari selatan tanahair yang sanggup meluangkan cuti hujung minggu untuk bertandang ke utara tanahair, hanya kerana sebuah pengalaman menarik menjejaki harumanis. Bahkan ada juga yang datang melalui jalan udara, untuk mendapatkan harumanis di samping bercuti di Perlis dan membeli belah di Padang Besar (sempadan Perlis-Thailand).

Bermula penghujung Mac hingga Jun, adalah musim 'harumanis'. Seorang pengusaha di kampung Santan, giat mengusahakan mempelam ini. Sudah sekian lama dia berkecimpung dalam perusahaan mempelam harumanis ini. Tenaga pekerja yang terdiri dari kaum kerabat terdekat merupakan tunjang kekuatan perusahaannya. Senang dengan jolokan 'Paklah Tok On' atau 'Paklah Pelam' perusahaannya menjadi 'buah tangan' setiap yang berkunjung ke negeri perlis. Sebagai jiran kepada seorang pengusaha berjaya, kami tidak terlepas menikmati keenakan harumanis. Sering saja kami diberikan percuma, jika bertandang ke perusahaannya. Terkadang sampai 'segan' untuk kami berkunjung, sekalipun rakan sekerja memesan sekilo dua harumanis. Kerana yang dibeli hanya sekilo dua, tapi yang beliau 'sedekahkan' hampir dua kilo banyaknya. Begitulah berjayanya, dan pemurahnya pengusaha harumanis kampung santan.

Harga yang dipasarkan sangat berpatutan. Ada sekilo RM6, RM7, RM8 dan RM9 mengikut size buah yang dipilih. Selain harumanis, ada lagi jenama-jenama lain spesis mempelam yang dijual seperti Sala, Chok Anan, Santana, Kuinin, dan berbagai lagi spesis mangga. Pengunjung bukan sekadar datang membeli, malah disediakan mempelam-mempelam percuma untuk 'dinikmati' sebelum membuat keputusan untuk membeli. Memang susah untuk menggambarkan kelazatan dan keenakan serta keunikan 'harumanis'. Mungkin sebahagian kita boleh menggambarkan bentuk dan warna 'harumanis'. Namun untuk menceritakan 'rasanya' hanya pemakannya sahaja yang mampu mengungkap kelazatannya. Benarlah pepatah arab berbunyi:


مَـــــنْ لــَــــــمْ يــَــــــذُقْ لــَــــــــمْ يــَـــــدْرِيْ

Buah mangga yang berasal dari keluarga Anacardiaceae dan nama saintifiknya Mangifera Indica boleh dimakan begitu sahaja, atau dijadikan jus, salad, kudapan dan sebagainya. Di sebalik rasanya yang enak dan segar, mangga sebenarnya antara buah-buahan yang kaya dengan pelbagai vitamin terutamanya vitamin A dan C. Selain itu, ia juga membekalkan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, serat dan magnesium. Berbuah mengikut musim, buah mangga mengandungi aktioksidan yang tugasnya melawan radikal bebas, penyebab berbagai macam penyakit degeneratif, seperti kanser, tekanan darah tinggi dan jantung koronari.

Namun begitu, oleh kerana sebiji buah mangga (sekitar berat 207 gram) mempunyai kira-kira 31 gram gula, jumlah mangga yang diambil oleh pesakit diabetes perlulah dihadkan. Tetapi ini tidaklah bermakna ia perlu terus dijauhi memandangkan gula mangga adalah semula jadi. Pakar pemakanan Jerman, Dr. Martin Hirte berkata, pesakit diabetes boleh mengambil sebiji mangga selang dua atau tiga hari sekali.

"Buah mangga sebenarnya adalah sumber makanan yang sempurna untuk menambah atau menggantikan garam, vitamin dan tenaga selepas bersenam. Ahli perubatan Yunan, Hakeen Hashmi pernah menulis buah mangga menguatkan dan menggiatkan tisu saraf pada otot, jantung dan otak" ujar Hirte. (sumber: Kosmo Online-Kesihatan)

Akhirnya, buat penggemar buah-buahan tempatan, ayuh berkunjung ke Perlis untuk menikmati keenakan ciptaan Allah. Hanya negeri Perlis sahaja (sehingga kini) harumanis segar berbuah, sekalipun benihnya cuba ditanam di negeri-negeri yang lain. Syukur... Inilah anugerah Allah buat kita semua. Selebihnya kita hendaklah bersyukur terhadap nikmat dan pemberiannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...