Isnin, 8 Mac 2010

3 Dekad Maahad ku.


SABTU, (06 Mac) Kami sekeluarga ke MTID, untuk turut serta menyertai sambutan 3 dekad penubuhan Maahad Tarbiah Islamiah Derang. Sambutan ini bermula pada 04 Mac lagi dan berakhir pada 06 Mac jam 12.30 tengahari. Sambutan ini bukan hanya sekadar sambutan, namun ditelusuri dengan nostalgia di sebalik impian agung ayahanda al-marhum Ustaz Ni`amat Yusuf dalam membangunkan sebuah institusi pendidikan alternatif yang berteraskan agama.

'Didiklah anakmu, kerana mereka akan hidup bukan di zaman kamu' (Umar al-Khattab). Begitulah ungkapan al-fadhil Ustaz Ghazali Abdullah (Syeikhul Maahad) memulakan bicara, seketika bersama al-marhun Ayahanda seawal penubuhan MTID, yang sangat menyentuh rasa dan perasaan. Pahit jerih itu cuba digambarkan dengan penceritaan. Kini, impian Ayahanda sudah tercapai. Bahkan banyak lagi yang akan dicapai. Anak didiknya kini bertebaran di mana-mana. Suara-suara sumbang yang meragui wawasan Ayahanda suatu ketika dahulu, kini semakin bisu suaranya. Inilah perjuangan dan wawasan Ayahanda. Melahirkan generasi yang berilmu, beramal, bertaqwa dan berkhidmat untuk masyarakat. Institusi yang didokongi rakyat, manfaatnya hendaklah pulang kepada rakyat. Al-Fatihah buat Ayahanda.

Seperjalanan ke maahad, kenangan mula terimbau. Menziarahi maahad, bukan hanya sekadar melepaskan rindu pada maahad, tetapi rindu pada warga pendidik yang masih setia menabur keringat dan jasa. Mencium tangan mereka ibarat mengungkap kasih buat mereka. Merenung wajah dan bertanyakan khabar mereka, bagaikan anak yang tamakkan kasih sayang ayahnya.

Begitu hendaknya, sekuat mana kita berlari, ingatlah! gurulah yang mengajar kita bertatih sehingga berlari, setinggi mana akademik kita, gurulah yang megajar kita tulis dan baca. 'Siapa kita, tanpa mereka?'

Sambutan 3 dekad Maahad kali menemukan banyak rakan-rakan lama. Rakan-rakan yang terpisah hampir 18 tahun lamanya. Zainudin Ismail @ Din Kelate, Romzi Aziz, Asfahani, Adam Nordin, Najman dan ramai lagi antara yang dipertemukan Allah pada sambutan kali ini.

Banyak kisah dan nostalgia yang tersingkap. Ceritera di asrama, solat jamaah, perbarisan, sungai dan hutan keladi adalah antara epilog indah yang meniti di bibir kami. Sesekali kami 'ketawa besar' bila ada yang menyungkil  rahsia lama. Adakalanya kami hanya 'tersengih kambing' bila melihat masing-masing sudah berubah fizikalnya. Al-maklumlah masing-masing sudah bertukar status. Ada yang mendukung anak, dan ada pula yang swastakan anak pada isteri-isteri mereka, dan lebih dahsyat lagi, ada yang tinggalkan anak di rumah. Apapun, pertemuan itu sekalipun hanya seketika, tetapi tersemat seribu makna.

1 ulasan:

  1. bila baca entry ni, teringatnya nak p Derangg......

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...