Khamis, 25 Mac 2010

Buat Abah-Selamat Hari Lahir..!


SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN ABAH TERCINTA (24 MAC 1953)... SEMOGA HIDUP ABAH PENUH DENGAN KEBERKATAN, DIBERIKAN KESIHATAN YANG BAIK, DAN DIKURNIAKAN REZKI YANG BERPANJANGAN... 'KAMI PERLUKAN TUNJUK AJAR MAK & ABAH, DOAKAN KEHIDUPAN KAMI JUGA PENUH DENGAN KEBERKATAN'

-DARIPADA: 
ANAK-ANAK, MENANTU-MENANTU MAK & ABAH, DAN CUCU-CUCU NENEY & DEDEY

Jumaat, 19 Mac 2010

Percutian yang tak dirancang


‘…hang kuar h.way utara, ambk (ikut) jln hospital... trafik lait (light) pertama lps hsptl (hospital) ambk kanan’ (Amir Nasrun)


Cuti sekolah hampir berakhir. Banyak kerja sekolah mesti dibereskan dalam cuti ini. Semak kertas jawapan murid, analisis item dari setiap jawapan yang salah, melatih murid tilawah untuk mewakili sekolah adalah antara agenda yang mesti dibereskan dalam seminggu cuti ini.

Kami hampir saja pulang ke Semenyih, kerana isteriku akan mengikuti interaksi KDC di IPGM Kampus Bangi. Namun last minute kami dimaklumkan oleh IPGM Kampus Perlis, bahawa Kursus Dalam Cuti (KDC) di IPGM Kampus Bangi bermula pada interaksi Jun nanti. Maka cuti kali ini hanya di Santan dan Jejawi sajalah.

Cuti kali ini, sarat dengan menghadiri jemputan walimah. Cuaca yang panas, menyebabkan kami terpaksa mengabaikan beberapa jemputan, apatah lagi ‘Muhammad Faruq’ akan mengamuk bila cuaca sangat panas. Pipinya yang gebu akan kemerahan apabila cuaca terlalu panas.

Cuti ni taknak bawak anak jalan-jalan ke?’ tanya isteriku sambil tangannya laju menyemak kertas jawapan. ‘Nak jugak, tapi (nak) pi mana? ada idea tak?’ balasku spontan. ‘kalau nak pi tempat air terjun, takut takdak ayaq (air) pulak, musim-musim panaih (panas) ni bukan boleh kigha (kira), kalau nak pi pantai-pantai, tak best nak mandi-manda... belengaih (belengas) jadinya, sebab musim panaih...’ jelasku. Bicara kami buntu dan terhenti di situ.

Pagi 18 Mac, kami ke KUIN @ Insaniah. Pesanku pada isteriku agar persiapkan pakaian xtra, mana tau dalam perjalanan nanti ada ilham untuk bercuti di mana-mana. Dalam perjalanan aku sempat SMS beberapa kenalan bertanyakan tempat-tempat yang best untuk bercuti. Ada yang mencadangkan ke Pulau Pinang, Langkawi, Melaka. ‘aah, jauh sangat tu... budget pun banyak, cuti dah nak habis, isnin ni dah nak sekolah’ bebelku sambil memacu kenderaan ke alor setar.

Setelah selesai urusan di alor setar, aku terbaca iklan ‘Taman Tema Air The Carnivall’ yang terletak di Sungai Petani. Aku SMS Amir Nasrun bertanyakan lokasinya. Dia lebih arif selok belok SP kerana rumahnya di sana. ‘The Carnivall… hang kuar (keluar) highway (SP) utara, ambk (ikut) jln hospital... trafik lait (light) pertama lps hsptl (hospital) ambk kanan’.

Tiba di sana pada jam 1.30 tengahari. Setelah solat, bermulalah aktiviti bermain air. Hilyatul Husna tak sabar-sabar untuk basahkan dirinya, sehingga makan pun dah tak nak. ‘kakak tak lapar la, abah jom la mandi’ rayu puteriku. Dia sangat teruja dengan persekitaran sebegini. Isteriku dan Muhammad Faruq menjadi penonton setia melihat gelagat dan telatah kami anak beranak dalam kolam air. Semua jenis luncuran kami cuba. Sesekali kami cuba mengusik hilya ‘kakak...! jom balik’. Dia menggeleng-gelengkan kepala isyarat tak nak balik.

Setelah hampir 5 jam di sana, kami beredar meninggalkan ‘The Carnivall’. ‘Abah... Umi... nanti kita datang lagi tau, kita bawak dedey, neney, paksu dan sume-sume (semua-semua), kakak suka sini’.

Begitulah percutian ringkas kami kali ini. Suatu percutian yang tidak dirancang. Semoga coretan ringan ini dapat mengabadikan warna-warni kehidupan keluarga kami di masa hadapan. Terima kasih ya Rahman!

Isnin, 8 Mac 2010

3 Dekad Maahad ku.


SABTU, (06 Mac) Kami sekeluarga ke MTID, untuk turut serta menyertai sambutan 3 dekad penubuhan Maahad Tarbiah Islamiah Derang. Sambutan ini bermula pada 04 Mac lagi dan berakhir pada 06 Mac jam 12.30 tengahari. Sambutan ini bukan hanya sekadar sambutan, namun ditelusuri dengan nostalgia di sebalik impian agung ayahanda al-marhum Ustaz Ni`amat Yusuf dalam membangunkan sebuah institusi pendidikan alternatif yang berteraskan agama.

'Didiklah anakmu, kerana mereka akan hidup bukan di zaman kamu' (Umar al-Khattab). Begitulah ungkapan al-fadhil Ustaz Ghazali Abdullah (Syeikhul Maahad) memulakan bicara, seketika bersama al-marhun Ayahanda seawal penubuhan MTID, yang sangat menyentuh rasa dan perasaan. Pahit jerih itu cuba digambarkan dengan penceritaan. Kini, impian Ayahanda sudah tercapai. Bahkan banyak lagi yang akan dicapai. Anak didiknya kini bertebaran di mana-mana. Suara-suara sumbang yang meragui wawasan Ayahanda suatu ketika dahulu, kini semakin bisu suaranya. Inilah perjuangan dan wawasan Ayahanda. Melahirkan generasi yang berilmu, beramal, bertaqwa dan berkhidmat untuk masyarakat. Institusi yang didokongi rakyat, manfaatnya hendaklah pulang kepada rakyat. Al-Fatihah buat Ayahanda.

Seperjalanan ke maahad, kenangan mula terimbau. Menziarahi maahad, bukan hanya sekadar melepaskan rindu pada maahad, tetapi rindu pada warga pendidik yang masih setia menabur keringat dan jasa. Mencium tangan mereka ibarat mengungkap kasih buat mereka. Merenung wajah dan bertanyakan khabar mereka, bagaikan anak yang tamakkan kasih sayang ayahnya.

Begitu hendaknya, sekuat mana kita berlari, ingatlah! gurulah yang mengajar kita bertatih sehingga berlari, setinggi mana akademik kita, gurulah yang megajar kita tulis dan baca. 'Siapa kita, tanpa mereka?'

Sambutan 3 dekad Maahad kali menemukan banyak rakan-rakan lama. Rakan-rakan yang terpisah hampir 18 tahun lamanya. Zainudin Ismail @ Din Kelate, Romzi Aziz, Asfahani, Adam Nordin, Najman dan ramai lagi antara yang dipertemukan Allah pada sambutan kali ini.

Banyak kisah dan nostalgia yang tersingkap. Ceritera di asrama, solat jamaah, perbarisan, sungai dan hutan keladi adalah antara epilog indah yang meniti di bibir kami. Sesekali kami 'ketawa besar' bila ada yang menyungkil  rahsia lama. Adakalanya kami hanya 'tersengih kambing' bila melihat masing-masing sudah berubah fizikalnya. Al-maklumlah masing-masing sudah bertukar status. Ada yang mendukung anak, dan ada pula yang swastakan anak pada isteri-isteri mereka, dan lebih dahsyat lagi, ada yang tinggalkan anak di rumah. Apapun, pertemuan itu sekalipun hanya seketika, tetapi tersemat seribu makna.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...