Sabtu, 27 Februari 2010

Maulidur Rasul suatu PENGHAYATAN bukan KEMEGAHAN

Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah’. (al-Ahzab -21)

Bulan Rabiul Awwal adalah bulan besar bagi sekelian muslim. Kehadirannya disambut dengan berbagai-bagai aktiviti dan acara. Semuanya adalah kerana ingin menggambarkan ‘cinta’ terhadap baginda SAW.

Diperingkat negara dan negeri kebiasaannya aktiviti ‘perarakan maulid’ adalah perkara yang wajib yang akan dilaksanakan. Habis kakitangan kerajaan dan NGO dikerah untuk sama-sama berkumpul seawal pagi untuk perarakan maulid. Mungkin ini antara cara menampakkan syiar ‘cinta Rasulullah’ kepada masyarakat bukan Islam.

Saluran media elektronik juga memainkan peranan memaparkan siaran-siaran agama sempena maulidur rasul. Masjid-masjid, surau-surau, markaz-markaz seakan senada, membincangkan siri keagungan peribadi baginda SAW.

Diperingkat institusi pendidikan, ‘maulid nabi’ pastinya acara penting yang tersemat dalam taqwim persekolahan atau pengajian. Panitia agama Islam, unit da`wah, rakan masjid adalah antara jawatan kuasa yang penat memerah otak demi memastikan kelancaran ‘maulidur rasul’ dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya. Bermula dengan memikirkan temanya, pengisiannya, peruntukan kewangannya, sambutannya, publisitinya dan banyak lagi yang berkaitan dengannya.

Segala perkembangan di atas dilihat ‘positif’, kerana semua orang cuba menanam saham dan membuat persiapan untuk menyatakan ‘cinta’ mereka kepada baginda SAW.

Persoalannya, sambutan yang dibuat saban tahun ini, apakah cukup sekadar dengan perarakan, berforum, berselawat, bernasyid dan apa sahaja aktiviti yang berkaitan dengan ‘maulidur rasul’?

Seorang pemanggil, cuba melontarkan soalan kepada ust. Zawawi Yusoh dalam rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ terbitan tv9. “Mengapa saban tahun sambutan ‘maulidur rasul’ diadakan namun masalah moral dan akhlak dan bermacam-macam lagi tetap ada dan menular dalam masyarakat hari ini?” soal nya (mafhum soalan).

Ertinya, kunci kepada ‘cinta Rasulullah’ itu adalah ‘penghayatan’ terhadap perjuangan baginda. Tanpa penghayatan, mustahil terjelmanya kecintaan. Tanpa penghayatan mustahil tersematnya kasih sayang terhadap baginda SAW.

Mengapa mesti kepada ‘penghayatan’ untuk memperoleh ‘kecintaan’ dan ‘kasih sayang’ terhadap Rasulullah?

Jawabnya adalah: “kerana kita tidak pernah bertemu baginda SAW, kerana kita tidak pernah melihat dengan mata kepala kita akhlak, syakhsiyah, kepimpinan dan berbagai lagi. Dan yang lebih besar lagi kerana kita tidak pernah melihat ‘mukjizat’ baginda SAW... Bukan sekadar itu bahkan ramai yang berkesempatan bertemu Rasulullah tetapi kuat menentang syariat yang dibawa baginda. Lupakah kita kepada Abu Jahal, Abu Lahab, Abdullah ibn Ubai ibn Salul?”.

Kita hanya beriman dengan apa yang difirman Allah dalam al-Quran dan apa yang disabdakan baginda melalui sunnahnya untuk kita jadikan ikutan dan perlembagaan dalam hidup kita.

Benarkah begitu? Mari kita cuba buktikan analisa ini!

Seorang remaja yang cuba menggayakan rambutnya seperti bintang bolasepak ‘David Beckham (DB)’. Bila ditanya kepadanya ‘mengapa kamu meniru rambut DB?’. Jawabnya ‘saja... minat... suka’. Soalnya, apakah DB mengenali dirinya? Dan apakah motivasi sehingga dia sanggup habiskan sejumlah wang membeli ‘itu dan ini’ hanya semata-mata untuk dilihat berketrampilan dan bergaya seperti DB?

Maknanya, tanpa penghayatannya kepada DB mana mungkin dia sanggup berkorban untuk menjadi ‘klon DB’. Bahkan dia pasti tidak merasa malu andai diejek atau dipersenda kawan-kawannya meniru gaya DB sekalipun untuk menendang bola ke gawang yang kosong pun tidak pernah menepati sasaran.

Inikan pula Rasulullah. Insan agung yang telah lama meninggalkan kita. Maka bagaimanakah cara untuk kita telus mencintai baginda?

Penghayatan terhadap perjuangan baginda tidak akan diperolehi tanpa ‘pengorbanan’ untuk mengenali baginda. Tidak ada ruang dan cara yang lebih tepat untuk mengenali baginda melainkan dengan cara ‘ilmu’.

Mempelajari, menghayati, meneladani dan menelusuri kehidupan baginda adalah ‘wajib’ bagi setiap muslim. Kerana baginda adalah ‘perlembagaan yang bergerak’. Baginda menjadi contoh dalam segala hal dan urusan kita di dunia. Bermula dengan adab-adab ringan seperti bersin, menguap, makan minum, memakai baju sehingga adab-adab besar seperti cara mentadbir negara, cara hubungan antarabangsa, keadilan, berperang, harta pusaka dan sebagainya, semuanya datang secara ‘pakej’ pada baginda SAW.

Menjadi anak atau isteri kepada seorang nabi, atau menjadi saudara mara nabi, atau datang dari salasilah nasab nabi (syed & syarifah), atau diberi nama seperti nama nabi-nabi, atau lahir dari keluarga yang kuat mengamalkan Islam, atau memegang kad pengenalan yang berstatus ‘Islam’, bukanlah jaminan untuk kita ‘disayangi’ dan ‘dicintai’ apatah lagi mendapat ‘syafaat’ rasulullah SAW.

Sesungguhnya orang dikasihi, disayangi dan dicintai Rasulullah adalah orang yang ‘kasihkan Allah’. Orang yang ‘kasihkan Allah’ adalah orang yang menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Setiap hamba yang dikasihi Allah, pasti beroleh keampunan dari Allah, dan beroleh syurga dari-Nya. “Katakanlah wahai Muhammad! Seandainya kalian cintakan Allah, maka hendaklah kalian mengikutiku, pasti kalian akan dicintai dan diampunkan dosa oleh Allah…” (ali I`mran)

Syurga bukanlah ‘eksklusif’ untuk kerabat dan keturunan Rasulullah. Tetapi syurga adalah ‘eksklusif’ untuk semua hamba-Nya yang beriman kepada-Nya dan berpegang dengan sunnah rasul-Nya.

Saidatina Aisyah RA, pernah menangis sehinga air matanya menitis keatas wajah Rasulullah SAW yang sedang tidur di atas ribanya. Rasulullah terjaga, dan bertanyakan Aisyah ‘mengapa kamu menangis’. ‘Aku menangis kerana aku dikalangan wanita yang beruntung dapat bersuamikan seorang nabi, namun aku bimbang andainya aku menjadi seperti isteri Nuh dan Lut A.S, mereka dikalangan wanita beruntung, dipilih bersuamikan seorang nabi, dekat dengan nabi di dunia, namun mereka di neraka berjauhan dengan nabi yang berada di syurga' (sumber: ust. Zawawi –Tanyalah Ustaz Tv9)

Justeru, malulah orang yang berdegar-degar melaungkan bait-bait cinta terhadap rasul sedangkan hidupnya, penampilannya, kerja buatnya, isterinya, anak-anaknya, rumah tangganya, jauh dan menyimpang dari tatacara dan lakaran ‘potret kehidupan’ baginda SAW.

Kesimpulannya; janganlah jadikan ‘maulidur rasul’ hanya sebagai ‘pakaian’ untuk dipandang sebagai ‘pencinta nabi’, atau hanya sebagai ‘pentas’ berpidato pahit jerih sejarah nabi, atau hanya sebagai ‘lubuk emas’ mengaut keuntungan, seperti mendapatkan tender pakaian seragam, tender penyediaan makanan dan sebagainya, atau ‘maulidur rasul’ hanya sebagai ‘platform’ dilihat seorang yang komited melaksanakan agenda taqwim tahunan.

Jadikanlah ‘Maulidur rasul suatu PENGHAYATAN bukan kemegahan’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...