Sabtu, 27 Februari 2010

Maulidur Rasul suatu PENGHAYATAN bukan KEMEGAHAN

Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah’. (al-Ahzab -21)

Bulan Rabiul Awwal adalah bulan besar bagi sekelian muslim. Kehadirannya disambut dengan berbagai-bagai aktiviti dan acara. Semuanya adalah kerana ingin menggambarkan ‘cinta’ terhadap baginda SAW.

Diperingkat negara dan negeri kebiasaannya aktiviti ‘perarakan maulid’ adalah perkara yang wajib yang akan dilaksanakan. Habis kakitangan kerajaan dan NGO dikerah untuk sama-sama berkumpul seawal pagi untuk perarakan maulid. Mungkin ini antara cara menampakkan syiar ‘cinta Rasulullah’ kepada masyarakat bukan Islam.

Saluran media elektronik juga memainkan peranan memaparkan siaran-siaran agama sempena maulidur rasul. Masjid-masjid, surau-surau, markaz-markaz seakan senada, membincangkan siri keagungan peribadi baginda SAW.

Diperingkat institusi pendidikan, ‘maulid nabi’ pastinya acara penting yang tersemat dalam taqwim persekolahan atau pengajian. Panitia agama Islam, unit da`wah, rakan masjid adalah antara jawatan kuasa yang penat memerah otak demi memastikan kelancaran ‘maulidur rasul’ dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya. Bermula dengan memikirkan temanya, pengisiannya, peruntukan kewangannya, sambutannya, publisitinya dan banyak lagi yang berkaitan dengannya.

Segala perkembangan di atas dilihat ‘positif’, kerana semua orang cuba menanam saham dan membuat persiapan untuk menyatakan ‘cinta’ mereka kepada baginda SAW.

Persoalannya, sambutan yang dibuat saban tahun ini, apakah cukup sekadar dengan perarakan, berforum, berselawat, bernasyid dan apa sahaja aktiviti yang berkaitan dengan ‘maulidur rasul’?

Seorang pemanggil, cuba melontarkan soalan kepada ust. Zawawi Yusoh dalam rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ terbitan tv9. “Mengapa saban tahun sambutan ‘maulidur rasul’ diadakan namun masalah moral dan akhlak dan bermacam-macam lagi tetap ada dan menular dalam masyarakat hari ini?” soal nya (mafhum soalan).

Ertinya, kunci kepada ‘cinta Rasulullah’ itu adalah ‘penghayatan’ terhadap perjuangan baginda. Tanpa penghayatan, mustahil terjelmanya kecintaan. Tanpa penghayatan mustahil tersematnya kasih sayang terhadap baginda SAW.

Mengapa mesti kepada ‘penghayatan’ untuk memperoleh ‘kecintaan’ dan ‘kasih sayang’ terhadap Rasulullah?

Jawabnya adalah: “kerana kita tidak pernah bertemu baginda SAW, kerana kita tidak pernah melihat dengan mata kepala kita akhlak, syakhsiyah, kepimpinan dan berbagai lagi. Dan yang lebih besar lagi kerana kita tidak pernah melihat ‘mukjizat’ baginda SAW... Bukan sekadar itu bahkan ramai yang berkesempatan bertemu Rasulullah tetapi kuat menentang syariat yang dibawa baginda. Lupakah kita kepada Abu Jahal, Abu Lahab, Abdullah ibn Ubai ibn Salul?”.

Kita hanya beriman dengan apa yang difirman Allah dalam al-Quran dan apa yang disabdakan baginda melalui sunnahnya untuk kita jadikan ikutan dan perlembagaan dalam hidup kita.

Benarkah begitu? Mari kita cuba buktikan analisa ini!

Seorang remaja yang cuba menggayakan rambutnya seperti bintang bolasepak ‘David Beckham (DB)’. Bila ditanya kepadanya ‘mengapa kamu meniru rambut DB?’. Jawabnya ‘saja... minat... suka’. Soalnya, apakah DB mengenali dirinya? Dan apakah motivasi sehingga dia sanggup habiskan sejumlah wang membeli ‘itu dan ini’ hanya semata-mata untuk dilihat berketrampilan dan bergaya seperti DB?

Maknanya, tanpa penghayatannya kepada DB mana mungkin dia sanggup berkorban untuk menjadi ‘klon DB’. Bahkan dia pasti tidak merasa malu andai diejek atau dipersenda kawan-kawannya meniru gaya DB sekalipun untuk menendang bola ke gawang yang kosong pun tidak pernah menepati sasaran.

Inikan pula Rasulullah. Insan agung yang telah lama meninggalkan kita. Maka bagaimanakah cara untuk kita telus mencintai baginda?

Penghayatan terhadap perjuangan baginda tidak akan diperolehi tanpa ‘pengorbanan’ untuk mengenali baginda. Tidak ada ruang dan cara yang lebih tepat untuk mengenali baginda melainkan dengan cara ‘ilmu’.

Mempelajari, menghayati, meneladani dan menelusuri kehidupan baginda adalah ‘wajib’ bagi setiap muslim. Kerana baginda adalah ‘perlembagaan yang bergerak’. Baginda menjadi contoh dalam segala hal dan urusan kita di dunia. Bermula dengan adab-adab ringan seperti bersin, menguap, makan minum, memakai baju sehingga adab-adab besar seperti cara mentadbir negara, cara hubungan antarabangsa, keadilan, berperang, harta pusaka dan sebagainya, semuanya datang secara ‘pakej’ pada baginda SAW.

Menjadi anak atau isteri kepada seorang nabi, atau menjadi saudara mara nabi, atau datang dari salasilah nasab nabi (syed & syarifah), atau diberi nama seperti nama nabi-nabi, atau lahir dari keluarga yang kuat mengamalkan Islam, atau memegang kad pengenalan yang berstatus ‘Islam’, bukanlah jaminan untuk kita ‘disayangi’ dan ‘dicintai’ apatah lagi mendapat ‘syafaat’ rasulullah SAW.

Sesungguhnya orang dikasihi, disayangi dan dicintai Rasulullah adalah orang yang ‘kasihkan Allah’. Orang yang ‘kasihkan Allah’ adalah orang yang menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Setiap hamba yang dikasihi Allah, pasti beroleh keampunan dari Allah, dan beroleh syurga dari-Nya. “Katakanlah wahai Muhammad! Seandainya kalian cintakan Allah, maka hendaklah kalian mengikutiku, pasti kalian akan dicintai dan diampunkan dosa oleh Allah…” (ali I`mran)

Syurga bukanlah ‘eksklusif’ untuk kerabat dan keturunan Rasulullah. Tetapi syurga adalah ‘eksklusif’ untuk semua hamba-Nya yang beriman kepada-Nya dan berpegang dengan sunnah rasul-Nya.

Saidatina Aisyah RA, pernah menangis sehinga air matanya menitis keatas wajah Rasulullah SAW yang sedang tidur di atas ribanya. Rasulullah terjaga, dan bertanyakan Aisyah ‘mengapa kamu menangis’. ‘Aku menangis kerana aku dikalangan wanita yang beruntung dapat bersuamikan seorang nabi, namun aku bimbang andainya aku menjadi seperti isteri Nuh dan Lut A.S, mereka dikalangan wanita beruntung, dipilih bersuamikan seorang nabi, dekat dengan nabi di dunia, namun mereka di neraka berjauhan dengan nabi yang berada di syurga' (sumber: ust. Zawawi –Tanyalah Ustaz Tv9)

Justeru, malulah orang yang berdegar-degar melaungkan bait-bait cinta terhadap rasul sedangkan hidupnya, penampilannya, kerja buatnya, isterinya, anak-anaknya, rumah tangganya, jauh dan menyimpang dari tatacara dan lakaran ‘potret kehidupan’ baginda SAW.

Kesimpulannya; janganlah jadikan ‘maulidur rasul’ hanya sebagai ‘pakaian’ untuk dipandang sebagai ‘pencinta nabi’, atau hanya sebagai ‘pentas’ berpidato pahit jerih sejarah nabi, atau hanya sebagai ‘lubuk emas’ mengaut keuntungan, seperti mendapatkan tender pakaian seragam, tender penyediaan makanan dan sebagainya, atau ‘maulidur rasul’ hanya sebagai ‘platform’ dilihat seorang yang komited melaksanakan agenda taqwim tahunan.

Jadikanlah ‘Maulidur rasul suatu PENGHAYATAN bukan kemegahan’

Ahad, 21 Februari 2010

Seketika bersama Ashan & B.


‘Ahlen-ahlen… makin sihat nampak… boleh tahan perut hang… pa habaq, sihat ka?’ tegur ashan setibanya aku di tempat walimah. ‘Alhamdulillah, laguni la aku… yang ni bukan perut… ni airbag’ jawabku selamber sambil memeluk erat tubuhnya.

Ashan atau Nor Ashan Bin Mohd Nor adalah antara sahabat lama semenjak darjah satu di MTI Kuala Ketil. Di MTI Derang kami sekelas sehinggalah tingkatan satu. Seingat aku hampir 8 tahun kami tidak bersua. Setelah tamat pengajian di Maahad Tarbiah Islamiah Derang pada 1997, rezki aku jatuh di Yaman. Maka pada februari 1998 aku tinggalkan Malaysia. Ashan ketika itu sedang berada di Maahadul A`li, mengikuti kelas ‘tafaqquh’. Bukan sahaja Ashan, malah semua sahabat-sahabat lama (darjah 1) aku tinggalkan.

Tahun berikutnya, aku menerima berita Ashan dan beberapa sahabat-sahabat yang lain sudah berada di Syiria. Syukur alhamdulillah, akademik mereka tidak terhenti di MTID sahaja. Khabar mereka aku ikuti melalui kesempatan ‘berchating’. Bahkan kita pernah ‘bervoice YM’ ketika masing-masing berada di perantauan.

Hari ini, kami bertemu dengan izin-NYA. Masing-masing berubah fizikalnya. Kami bersembang dan bertanyakan khabar sahabat-sahabat yang lain. Sesekali kami berkongsi kisah berada di ‘timur tengah’. 

Dalam kerjaya, kami ada persamaan. Persamaannya dia juga seorang guru. Guru di Yayasan Khairiyyah. Bezanya, dia guru sekolah menengah, dan aku guru sekolah rendah. Namun dia juga seorang ligat dengan berniaga. Pengalamannya mengurus ‘Shahin Travel’ semasa di Syiria dulu menjadikan dia seorang yang cekal untuk terus berada dalam dunia perniagaan. 

Pertemuan kami hanya 2 jam sahaja. Aku terpaksa 'angkat kaki' kembali ke Perlis, kerana ada kuliah pada malamnya. Walaupun singkat, kita pasti lagi bersua selepas ini, namun begitu aku doakan semoga cita-cita dan hasratnya tercapai.

Kesempatan menghadiri walimah sebegini memang meriah. Meriah kerana dapat berjumpa dan bertukar-tukar pandangan dengan kawan-kawan dan guru-guru. Di walimah Hasbi, aku bertemu Sofi Othman @ mat pi dan keluarganya, Ashraf Mokhtar, Khairi Che Min, Zubir Pumpung, Rizal Ramli @ Jan dan ramai lagi terserempak dijalanan. Apapun, aku gembira dan bahagia bertemu mereka.

 
B bersama Fauziah di Majlis Santapan

Buat Bi @ Hasbi Sidqi Bin Ali. ‘Mabruk a`laz Zifaf’. Tahniah kerana telah menamatkan zaman bujang. Seingat aku, kita seusia. Kita bersama semenjak di darjah 4 lagi. Dan yang lebih penting ialah kita dalam sebuah pasukan bolasepak sekolah ‘Syabab FC’. Pasukan yang pernah dipimpin Sdr. Firdaus Jaafar, sekarang YB Jerai. Kali terakhir kita bermain ialah sekitar tahun 2002, bermain di Taman Rekreasi Lumba Kuda, berhampiran Pejabat Kerajaan Negeri Kedah. Semua itu segar dan masih segar dalam ingatan aku.

Paling akhir kita bersua, rasanya ketika aku mengalami kecelakaan jalanraya. Kita berkonvoi ke MTID untuk satu perlawanan persahabatan. Malangnya perlawanan itu terpaksa dibatalkan kerana aku mengalami kecelakaan jalanraya di selekoh Logi Pengumpulan Air Bukit Pinang.

Hari ini (20 Jan) kita bertemu lagi. Bertemu meraikan hari kebahagiaan. Syukur Allah telah ciptakan seorang isteri buat teman sepanjang hayat. Semoga jodoh kalian berkat, bahagia dunia akhirat dan direzkikan zuriat-zuriat yang soleh dan sejuk mata memandang. Tahniah..! ‘Barokallahu fik wa Barokallahu a`laikuma, wa jama`a bainakuma fil khair.

Isnin, 15 Februari 2010

Australia salah atau Malaysia tak bagus!


Belum pun masuk hari ketiga perbicaraan ‘fitnah liwat’ terhadap Dato` Seri Anwar Ibrahim, berbagai desas-desus yang kedengaran, samaada dari media elektronik, media cetak dan berbagai-bagai sumber lain. Di kedai-kedai kopi, warung-warung, tempat-tempat kenduri juga tidak terlepas menjadikan isu eksklusif ini sebagai bahan bualan.

Isu ini dibincangkan disegenap lapisan masyarakat. Orang muda cuba membaca landskap politik tanahair dengan segala kemudahan yang ada. Mereka mampu meng ‘explore’ segala info dan persepsi. Mereka berhujjah dengan segala maklumat, persepsi dan sebagainya untuk menyokong segala ‘pendirian’ mereka. Merekalah golongan yang mampu membuat tsunami politik berubah landskapnya. Keghairahan mereka mempertahankan idealisme perjuangan mereka tak boleh disekat dan dibendung.

Mungkin sebilangan kecil dari mereka boleh dibeli pendirian mereka, lantas mereka menjadi agen dan pengkhianat bangsa. Namun sebahagian besarnya, mempertahankannya.

Saya juga orang muda. Golongan muda (kebanyakannya) adalah golongan yang tidak menerima sesuatu berita dengan bulat-bulat. Pastinya setiap berita yang didengar akan diselidik dan dikongsi kesahihannya, lebih-lebih lagi isu yang melibatkan integriti, korupsi, nepotisme dan sebagainya. Dunia hari ini melihat ‘contoh yang hidup’. Bukan mengangguk kepada khatib yang hanya manis berfalsafah.

Bagi kebanyakan golongan 50an dan keatas (golongan beku poltik), kebanyakan mereka menerima maklumat melalui ‘kotak hitam’ yang diselimut di dalam rumah, dan akhbar-akhbar tabloid arus perdana. Kalau hitam kata mereka, maka hitamlah pendiriannya, jika putih kata mereka, maka putihlah pendiriannya. Ringkasnya, mereka susah dan bebal untuk menerima wacana perubahan.

Namun, dalam kehangatan media memanipulasikan isu ‘fitnah liwat’ membabitkan Dato` Seri Anwar Ibrahim, kebanyakan golongan 50an tidak mempercayai tuduhan liwat yang difitnahkan kepadanya. Golongan muda, awal-awal lagi menolak ‘fitnah besar’ ini. “takkan la si bangang tu tak boleh nak teghajang Anwar Berahim kalau betul dia diliwat” dan “issh takkan la tak dak modai lain nak jatuhkan anuat… alih-alih LIWAT… dulu dah dituduh liwat… bangangg sungguh depa ni” demikianlah antara analisis kedai kopi yang sempat saya tangkap ketika sedang membasuh pinggan di sebuah rumah kenduri.

Terkini… satu gesaan memohon pertuduhan terhadap Dato` seri Anwar Ibrahim digugurkan. Hebatnya… gesaan ini datangnya dari ahli-ahli parlimen Australia. Pokok persoalannya, mengapa sampai orang asing perlu memberi respon terhadap institusi kehakiman negara kita? Apakah respon mereka ini ‘dangkal’ atau ‘tidak berasas’? atau sememangnya apa yang disebut-sebut itu benar-benar berlaku, sehingga kebobrokan institusi kehakiman negara dilihat ‘boneka’ kepada kerajaan yang sedia ada?

Saya pernah berada di luar negara. Hampir 6 tahun saya di Yaman, dan setahun setengah di Mesir. Saya juga mempunyai kawan-kawan dari berbagai negara. Ketika DSAI dituduh liwat di era Tun Mahathir, tiada secubitpun ungkapan mengutuk atau mempersenda DSAI. Sebaliknya kewibawaan  Tun Mahathir memimpin negara ketika itu menjadi pertikaian masyarakat antarabangsa.

Hari ini, di bawah kepimpinan Dato` Seri Najib Tun Razak, negara sekali lagi mendapat tamparan hebat dari masyarakat antarabangsa. Krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara semakin sarat dipertikai. Bukan itu sahaja, malah isu kehilangan enjin jet milik pertahanan negara juga semakin parah. Segala isu-isu yang berlaku ini, dilihat dan dinilai oleh masyarakat dunia.

Jangan salahkan masyarakat dunia, andai semua institusi di bawah kerajaan dihina, dipersenda dan dipermainkan. ‘mana mungkin pokok bergoyang andai tiada angin yang bertiup’.

Sabtu, 6 Februari 2010

Teratak Mama & Abah sedang dalam pembinaan

Khamis, 4 Februari 2010

Saya juga mengagumi TG Nik Abd Aziz Nik Mat


KOTA BHARU, 4 Feb: Pesuruhjaya Tinggi Ghana ke Malaysia, Daniel Kwasi Abodakpi melahirkan minat untuk mengenali lebih dekat seorang pemimpin negeri yang mempunyai integriti seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau berkata kunjungan ke sini untuk melihat hasil pemerintahan berintegriti yang diamalkan di Kelantan.

Katanya, hasil ketelusan yang diamalkan itu membolehkan pelbagai program pembangunan berjalan dengan baik.
"Pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar sekarang menjadi contoh nyata bahawa Islam bukan agama yang menganjurkan keganasan".

"Tidak ada satu agama pun di dunia ini sama ada Kristian, Buddha, Hindu mahupun Islam boleh dilabel sebagai agama pengganas, tetapi ramai sering menyebut Islam terrorist".

"Namun saya tidak pernah percaya, Islam sejak dahulu adalah agama yang membawa tamadun dan membawa manusia mengenal sains. Malah hari ini Kelantan adalah contoh Islam bukan agama keganasan,”
katanya ketika mengunjungi hormat Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kota Darulnaim semalam.

Rombongan itu turut disertai Menteri Penasihat Kedutaan, Muhammed Fuseini Inusah dan Setiausaha Pertama, F.M. Brown.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dan pegawai kerajaan negeri.

Daniel Kwasi berkata, kunjungannya ke Kelantan amat bermakna kerana dapat mengenali dengan lebih rapat Menteri Besar Kelantan.

“Saya memilih Kelantan untuk peringkat awal lawatan kerana ia begitu unik apabila mempunyai seorang Menteri Besar yang penuh integriti,” ujar beliau.

Katanya integriti yang ada pada Nik Abdul Aziz sudah lama diketahui ramai.

“Saya kagum dan teruja dengan apa yang sudah dicapai Menteri Besar di negeri ini. Beliau amat dikenali sebagai pemimpin yang baik dan berintegriti, tidak selalu kita jumpa pemimpin yang hebat dalam sejarah.

“Tuhan hanya memberi amanah kepada ‘true man’ dan saya berharap Tuhan akan terus memberi kesihatan yang baik kepada beliau untuk meneruskan segala kerja,”
katanya.

Beliau memberitahu rombongannya kini dalam rangka lawatan ke seluruh Malaysia dan Kelantan dipilih negeri kedua selepas Sarawak.

Beliau juga mengakui pembangunan Kelantan tetap rancak dan berharap hubungan dapat diperluas termasuk dalam sektor ekonomi dan sosial dengan Ghana.

Menurutnya juga pencapaian Menteri Besar Kelantan dalam menyatukan rakyat dan membawa pembangunan menjadi inspirasi kepadanya.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan mengalu-alukan mana-mana kedutaan asing datang bagi mendengar dan melihat sendiri pembangunan sosio ekonomi negeri ini.   (Sumber: harakahdaily)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...