Jumaat, 15 Januari 2010

Ulama Yemen gesa lancar jihad

SANAA 14 Jan. - Majlis Ulama Yemen hari ini menyeru rakyat melancarkan jihad jika berlaku campur tangan tentera asing di negara ini, berikutan spekulasi Amerika Syarikat (AS) mungkin menghantar askar bagi menyertai kempen Sanaa untuk memburu militan al-Qaeda. Seruan itu terkandung dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh 150 ulama di negara ini.

"Jika mana-mana pihak berkeras mahu menyerang atau menduduki negara ini, maka menurut Islam, jihad menjadi satu kewajipan," menurut kenyataan yang dibacakan pada sidang media di sini. Mereka juga menekankan 'tentangan keras terhadap sebarang campur tangan asing dalam hal-ehwal Yemen, sama ada secara politik atau ketenteraan'.

Ulama tersebut yang termasuk Syeikh Abdulmajeed al-Zendani yang dilabel oleh pentadbiran AS sebagai 'pengganas global' turut menyuarakan pendirian menentang sebarang perjanjian atau kerjasama keselamatan atau ketenteraan antara Yemen dengan mana-mana negara asing jika ia melanggar Syariah. Mereka menolak 'penubuhan sebarang pangkalan tentera asing di Yemen atau kawasan perairannya'.

Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata di Senat AS, Carl Levin semalam menggesa White House menimbangkan operasi untuk menggempur kedudukan militan al-Qaeda di Yemen dengan pesawat tanpa juruterbang, serangan udara atau operasi sulit, tetapi bukan dengan menyerang negara ini.

"Kebanyakan pilihan patut dipertimbangkan, tanpa melibatkan serangan oleh tentera AS," kata Senator Michigan daripada Parti Demokrat.

Zendani pada Isnin lalu memberi amaran, sebarang campur tangan tentera AS di Yemen untuk memerangi al-Qaeda akan dianggap sebagai pendudukan tentera asing. Kerajaan Yemen dalam pada itu telah memperhebatkan operasi untuk memerangi militan al-Qaeda, sambil menegaskan bahawa ia mampu menghadapi militan itu sendiri tanpa campur tangan tentera asing.

"Di sini kami bertindak lebih awal untuk menghadapi ancaman. Yemen sama sekali tidak akan menjadi tempat persembunyian pengganas," kata ketua agensi keselamatan Yemen, Ali Anisi, semalam.      - AFP (sumber berita: Utusan Malaysia)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...