Ahad, 24 Januari 2010

Puteriku segak ke sekolah


Hari ini adalah hari ketiga puteri kami bersekolah di Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski) Ummu Aiman Matri. Banyak perubahan berlaku padanya walaupun tidak drastik. Apa yang pasti, setelah menjemputnya sekitar jam 2.15 petang, mulutnya tak henti-henti menceritakan perjalanan persekolahannya. Walaupun susun atur ayatnya terkadang tidak teratur, namun siapa saja yang mendengar celotehnya, dapat memahami apa yang nak digambarkannya.      
sarapan pagi
Semenjak hari pertama lagi (malamnya), dia teruja untuk ke sekolah. Dia mudah bangun pagi bila dikejutkan. Tiada lagi bahasa rengek merengek seperti sebelumnya. Uminya akan persiapkan segala keperluan di malam harinya. Keesokan paginya pula, uminya akan pakaikan uniform sekolah sambil membetulkan lipatan tudung di kepalanya. “kakak mai sini, umi bubuh bedak…nanti kalau nak kencing, cakap cikgu tau” begitulah bait nasihat umi yang sering aku dengar setiap pagi. Biasanya pesanan itu tak habis di situ, bahkan akan diulang lagi bila dimuka pintu sebelum menaiki kenderaan. Sesekali aku hanya gelengkan kepala, melihat kerisauan isteriku. “Mungkin sifat semula jadi sebagai ibu kot noo” sahut aku menyokong tindakan isteriku.
bersedia ke sekolah
Perjalanan sejauh 6km ke Matri, mengambil masa 15 minit dari rumah, menjadikan aku terpaksa bertolak seawal 7.00 pagi. Ianya bagi megelak kesesakan lalu lintas yang berlaku di hadapan Sekolah Menengah Seri Tunjung yang terletak berhampiran dengan kawasan perkampungan Matri. Jika ‘pengurusan masa’ ini berjalan seperti yang dirancang, maka aku akan sampai ke SKS pada jam 7.30 pagi. Begitulah ‘schedule’ setiap hari.
Biasanya sekitar 2.15 petang barulah aku menjemputnya. “Kakak dah solat? hari ni kakak belajar apa?” soalku sebelum meninggalkan perkarangan sekolah. “dah... cikgu ajar matahari, cikgu kata Allah jadikan matahari... kakak belaja alif ba ta dengan pegang pensil dengan platesyen (plasticiene)” terang hilya dengan bersungguh-sungguh. Begitulah setiap hari, ada saja cerita baru.
'bye kawan-kawan' 
Menurut guru-guru Taski Ummu Aiman, bulan januari adalah bulan persediaan. Persediaan asas sebelum memulakan pembelajaran formal pada februari. Aktiviti-aktiviti berbentuk ‘pre-learning’ ‘pre-sensor’ ‘pre-writing’ ‘pre-reading’ adalah perkara yang ditekankan pada bulan pertama.  “Aktiviti-aktiviti ini bertujuan mengesan dan mengenal pasti  masalah yang dihadapi oleh anak-anak tuan, supaya kita sama-sama boleh bertindak dan membantu menyelesaikan masalah anak-anak tuan” tegas ustazah Yati dalam satu taklimat waris. 
 
‘Awal belajar mengenal Allah’ adalah moto Taski Ummu Aiman. Ciri pembelajaran  berteraskan ‘tauhid’ dalam setiap subjek adalah tunjang ‘kekuatan’ Taski Ummu Aiman. Tidak hairanlah, mengapa Taski Ummu Aiman menjadi perhatian kebanyakan ibu bapa yang menitik beratkan soal ‘tarbiah’ untuk anak-anak mereka. Semoga usaha mereka berjaya dalam melahirkan generasi iman dan amal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...