Khamis, 21 Januari 2010

Antara Semenyih & Santan

....aabahh!! cepatlaa dastar kakak… umiii!! Kakak nak pegi sekolah…” teriak hilyatulhusna. Belum sampai seminggu berada di Santan, setelah dua bulan lebih bercuti di Semenyih, puteri sulung kami sudah merasa bosan di rumah.

Di sana, siang hingga malam adalah masa untuk bermain. Sepupu sepapat yang muda setahun darinya adalah kawan-kawan sepermainannya. Keriuhan mereka menjadikan rumah ‘opah’ segar, riuh dengan kelibat cucu-cucu yang baru empat orang, sesekali ‘Aufa Humaira` bertandang, bertambah ribut gelagat mereka. Bertambah pening orang yang berada di situ. Keadaan mereka sukar dikawal lagi. Pada mereka, inilah masanya untuk bersuka ria, inilah masanya untuk mendapat perhatian, inilah masanya untuk memeningkan kepala siapa saja yang ada di situ.

Kini, semua itu sudah berlalu. A`mru al-Hakim, U`kasyah dan Aufa Humaira` kembali dengan rutin harian. Mereka bertiga di selatan, manakala Hilyatulhusna dan Muhammad Faruq di utara. ‘Samsally Villa’ kembali lengang. Lengang dari hiruk pikuk ‘cucu-cucu opah wan’. Buat semua anak-anak buah paklong dan maklong...

“kalau ada sumur diladang, boleh paklong menumpang mandi 
kalau bertemu cuti panjang, insyaallah kita bersama lagi”

Kami bercadang nak mendaftarkan hilyatulhusna pada bulan februari di Taski Ummu Aiman, Matri. Pra sekolah milik ABIM Perlis yang berpengkalan di Tunjung, Beseri. Namun segalanya berubah. Berubah kerana permintaan yang seakan mendesak nak ke sekolah. “...abahhh umii, kakak nak pegi sekolah, nak bawak beg tarik, nak beli buku pensil warna... jomla pi dastar kakak” pujuknya menunjukkan minat. Alhamdulillah, pada petang 19 Januari kami daftarkannya dan membeli uniform sekolahnya. "Esok Husna datang sekolah yer, ustazah tunggu Husna pagi esok" pujuk ustazah dengan penuh harap.

Sepanjang perjalanan pulang, dia ‘teruja’ untuk mengenakan uniform berwarna unggu, sambil meminta dibelikan beg tarik untuknya ke sekolah. Kami hanya tersenyum dengan gelagatnya dan terus memacu kenderaan ke Kangar untuk dapatkan ‘beg tarik’ kegemarannya. “...kakak janji dengan umi tau, belajar sungguh-sungguh, esok kakak jangan nangis tau…” tegas isteriku. “ok” hilya mengangguk sambil mengisi baju sekolah ke dalam beg tariknya.

Maka bermulalah beberapa episod baru dalam kehidupan kami. Episod anak mula ke sekolah. Episod menguruskannya untuk tidur awal dan bangun seawal pagi bersihkan diri dan bersiap ke sekolah. Episod ‘pengurusan masa’ untuk tiba di tempat kerja seperti biasa. Episod ‘pengurusan kewangan’ yang lebih bijak untuk persekolahannya. Dan yang lebih penting, episod untuk kemenjadian ‘syakhsiyyah solehah’ yang diharapkan.

“Ya Allah! Bantulah kami dalam mendidik anak-anak kami, berikanlah kekuatan, semangat dan ketabahan hati menghadapi segala cabaran dan dugaan. Janganlah Engkau uji kami sesuatu yang tak termampu kami pikul, pada-Mu kami berserah, dan pada-Mu kami harapkan hasanah”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...