Sabtu, 30 Januari 2010

KBS sulung 2010

JUMAAT 29 Jan, Panitia Pendidikan Islam SK Santan telah berjaya menjalankan aktiviti Kem Bestari Solat (KBS) kali 1 untuk murid-murid tahun satu 2010. Program yang dirancang semenjak penghujung 2009 dapat dilaksanakan mengikut taqwim sekolah. Ini merupakan program kedua Panitia Pendidikan Islam setelah program ceramah Maal Hijrah yang diadakan pada minggu pertama pesekolahan.

Objektif kem ini, lebih kepada 'ta`aruf'. Iaitu memperkenalkan kandungan program kepada murid-murid tahun satu, selain menanam minat dan tanggungjawab terhadap kefardhuan solat lima waktu. Baginda Rasulullah SAW sangat menekankan pendidikan solat terhadap anak-anak. Sabda baginda yang bermaksud: "Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka (anak lelaki dan perempuan) ketika mereka berusia sepuluh tahun...". 

Sesungguhnya tuntutan solat ini adalah tuntutan asas dan pokok dalam agama Islam. Seseorang itu akan terlebih dahulu diperhitung  amalan solatnya di hadapan Allah sebelum dilihat segala 'hasanah' zakat, sedekah, haji dan lain-lain. Insyaallah, siri-siri KBS yang berikutnya akan memantapkan lagi asas-asas bacaan dalam solat, di samping praktikal solat yang lebih disiplin dan teratur.

Program KBS kali pertama ini, dihadiri seramai 50 orang murid dari kelas 'Maju' dan 'Jaya', manakala fasilitator nya seramai 7 orang guru. Program yang bermula jam 2.30 petang  ini mendapat sambutan yang sangat menggalakan dari ibubapa murid. Semoga sokongan ini akan berterusan selama anak-anak mereka di SKS insyaallah.

Segunung tahniah, kami dedikasikan buat Ketua Panitia (KP) Pendidikan Islam Ustazah Fhadla Ismail di atas kemitmen yang sangat tinggi, segala program yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan mengikut taqwim sekolah. "Syukur alhamdulillah..! Dah selesai satu KBS" ujar ustazah Nawal. "Tengok la, sapa KP tahun ni, ayaq mineral pun dapat, biskut pun sedap" sampuk ustaz Dzahar sambil mengisyaratkan pada KP. Kami akan cuba memberi komitmen yang terbaik terhadap KP insyaallah. Program berakhir dan bersurai jam 5.15 petang setelah selesai solat asar berjamaah. Tahniah warga PI... Segala kerjasama didahului dengan ucapan jazakallahu khairan kathira, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian. 
Santan Boleh!

Khamis, 28 Januari 2010

What you give, you get back!

‘WHAT you give, you get back’ betul ker? Saya kurang bermain dengan pepatah mat saleh dalam hidup berbanding pepatah dan saranan agama. Mungkin kemampuan menguasai BI agak kurang berbanding BA. Namun minat untuk menguasai BI tetap ada, walaupun mempraktisnya masih ada rasa malu. Tak kesahlah, yang penting setiap yang bermanfaat mesti kita kutip.

‘Apa yang kita beri, akan kita terima semula’ sejauh mana kebenarannya. Bila diteliti berulang kali, ada benarnya penyataan ini. Allah menegaskan manfaat bersedekah (memberi) dalam surah al-Baqarah (261) maksudnya:

‘Perumpamaan (infaq) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. dan Allah Maha luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui’.

Alangkah pemurahnya Allah terhadap hambanya, dibalasinya ganjaran yang terlalu banyak, hadiah buat mereka yang pemurah, kerana mereka yang pemurah itu adalah hambanya yang benar-benar yaqin dengan janji Allah. 

‘Pelik tapi Benar’ itulah realiti yang terhidang dalam jiwa kita. ‘Pelik’ adalah kerana sebegitu ‘pasti’ janji Allah dan janji Rasul, namun kita masih enggan berubah menjadi jiwa ‘pemberi’ bahkan selesa menjadi jiwa ‘penerima’. ‘Benar’ adalah merujuk realiti sikap dan sifat yang ada pada (kebanyakan) jiwa muslim. Belum lagi dibahas soal ikhlas atau tidak.

Kebiasaannya kita berbeza kenderaan bila ke masjid/surau tetapi kita (kebanyakannya seakan) bersepakat dalam menderma. Bagi yang berpendapatan rendah atau susah mungkin nilai sebegitu wajar bagi mereka. Tapi bagaimana mereka yang berkereta dan berumah besar? berstatus VIP atau pendapatan yang mencecah 4 hingga 5 angka? Pandangan ini bukannya mempertikaikan keikhlasan seseorang dalam bersedekah, tetapi wajarkah dengan nilai sebegitu kita beramal?  Keyakinan kita terhadap harta yang kita milik itu adalah dari Allah untuk kita belanjakannya ke jalan Allah adalah ‘retorik’ semata-mata. Sedangkan apa yang kita berikan (nafkahkan) hari ini adalah matawang untuk kita berbelanja di akhirat. Setiap sen dan RM jika kita niatkannya untuk akhirat, pastinya Allah menggandakan ganjaran pahala tersebut. Maka setiap apa yang kita berikan di dunia, Allah akan berikan hasilnya di akhirat. 'Benarlah ‘what you give, you get back’.

Baginda SAW mengingatkan kita betapa pentingnya berbuat baik dan berbakti kepada ibubapa, kerana setiap kebaikan dan bakti itu akan kita peroleh dari anak-anak kita pula. Jika kita memilih menjadi ‘tanggang’, pasti ‘tanggang’ mencari kita. Begitulah sebaliknya. Jadi ‘what you give, you get back’.

Keruntuhan moral golongan remaja hari ini sering dikaitkan dengan kegagalan warga guru di sekolah. Ibubapa juga (sebahagiannya) turut menjadi ‘pinggan tambah’ menyalahkan guru apabila anak-anak mereka berkelakuan tidak selayaknya. Tahukah ibubapa sekalian, budaya menswastakan 100% pendidikan anak-anak kepada ‘bibik’ atau ‘pengasuh’ di rumah, dan ‘guru’ dan ‘ustaz’ di sekolah mengundang bencana yang sangat besar? Anak-anak dahagakan ‘contoh yang hidup’ daripada ibubapa.

Lupakah kita, ketika anak-anak kita dilarang merokok, ibubapa pula ‘mengembut’ bagaikan kilang melepaskan asap. Kita sedarkan mereka dengan kewajipan solat, ibubapa pula tidak pernah dilihat bersolat. Justeru, jangan hanya suka mencebik, memuncung mulut salahkan orang lain. Apa yang kita tunjukkan pada anak-anak, itulah yang akan kita dapat dari anak-anak. ‘What you give, you get back’

Begitu juga, seni dalam berumahtangga. Untuk menikmati ‘bahagia’ berumahtangga suami/isteri hendaklah saling memberi. Memberi kepercayaan,  kasih sayang, kejujuran, ketaatan, dan sebagainya. Pastinya kerukunan itu membentuk ‘baiti-jannati’. Untuk beroleh kebahagiaan perlukan pengorbanan. Sanggupkah kita berkorban apa saja demi menjaga kerukunan mahligai kita? Andai kita gagal berkorban, pastinya bahtera kita sentiasa dipukul ombak. Justeru segala yang kita ‘nafkah’ demi kerukunan mahligai yang dibina, akan kita peroleh manisnya. Manis yang tak mampu diungkap ‘takahnya’. Hanya peminumnya dapat mengetahui ‘qualitinya’. ‘what you give, you get back’.

Orang-orang yang sanggup memberi penat lelah di dunia untuk menjaga ketaatan pada Allah, pastinya Allah sediakan mahligai untuknya di akhirat kerana sanggup memberi penat dan lelah dalam ketaatan padaNya. Orang-orang yang yaqin terhadap ganjaran Allah, mereka tidak mengharapkan balasan dari sesama makhluq, kerana pahala Allah mengatasi segala kemewahan yang ada di dunia. Begitu juga, Allah tidak mengharapkan balasan dari hambanya di atas karunianya yang tidak terhitung. Kerajaan Allah sedikitpun tidak tergugat sekalipun seluruh makhluq menderhakai-Nya, kerana Allah itu ‘al-Wahhab’ Maha Pemberi. Maka apa yang kita berikan pada-Nya, pasti akan kita peroleh nikmat dan lazat dari-Nya.

‘What you give, you get back’

Ahad, 24 Januari 2010

Puteriku segak ke sekolah


Hari ini adalah hari ketiga puteri kami bersekolah di Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski) Ummu Aiman Matri. Banyak perubahan berlaku padanya walaupun tidak drastik. Apa yang pasti, setelah menjemputnya sekitar jam 2.15 petang, mulutnya tak henti-henti menceritakan perjalanan persekolahannya. Walaupun susun atur ayatnya terkadang tidak teratur, namun siapa saja yang mendengar celotehnya, dapat memahami apa yang nak digambarkannya.      
sarapan pagi
Semenjak hari pertama lagi (malamnya), dia teruja untuk ke sekolah. Dia mudah bangun pagi bila dikejutkan. Tiada lagi bahasa rengek merengek seperti sebelumnya. Uminya akan persiapkan segala keperluan di malam harinya. Keesokan paginya pula, uminya akan pakaikan uniform sekolah sambil membetulkan lipatan tudung di kepalanya. “kakak mai sini, umi bubuh bedak…nanti kalau nak kencing, cakap cikgu tau” begitulah bait nasihat umi yang sering aku dengar setiap pagi. Biasanya pesanan itu tak habis di situ, bahkan akan diulang lagi bila dimuka pintu sebelum menaiki kenderaan. Sesekali aku hanya gelengkan kepala, melihat kerisauan isteriku. “Mungkin sifat semula jadi sebagai ibu kot noo” sahut aku menyokong tindakan isteriku.
bersedia ke sekolah
Perjalanan sejauh 6km ke Matri, mengambil masa 15 minit dari rumah, menjadikan aku terpaksa bertolak seawal 7.00 pagi. Ianya bagi megelak kesesakan lalu lintas yang berlaku di hadapan Sekolah Menengah Seri Tunjung yang terletak berhampiran dengan kawasan perkampungan Matri. Jika ‘pengurusan masa’ ini berjalan seperti yang dirancang, maka aku akan sampai ke SKS pada jam 7.30 pagi. Begitulah ‘schedule’ setiap hari.
Biasanya sekitar 2.15 petang barulah aku menjemputnya. “Kakak dah solat? hari ni kakak belajar apa?” soalku sebelum meninggalkan perkarangan sekolah. “dah... cikgu ajar matahari, cikgu kata Allah jadikan matahari... kakak belaja alif ba ta dengan pegang pensil dengan platesyen (plasticiene)” terang hilya dengan bersungguh-sungguh. Begitulah setiap hari, ada saja cerita baru.
'bye kawan-kawan' 
Menurut guru-guru Taski Ummu Aiman, bulan januari adalah bulan persediaan. Persediaan asas sebelum memulakan pembelajaran formal pada februari. Aktiviti-aktiviti berbentuk ‘pre-learning’ ‘pre-sensor’ ‘pre-writing’ ‘pre-reading’ adalah perkara yang ditekankan pada bulan pertama.  “Aktiviti-aktiviti ini bertujuan mengesan dan mengenal pasti  masalah yang dihadapi oleh anak-anak tuan, supaya kita sama-sama boleh bertindak dan membantu menyelesaikan masalah anak-anak tuan” tegas ustazah Yati dalam satu taklimat waris. 
 
‘Awal belajar mengenal Allah’ adalah moto Taski Ummu Aiman. Ciri pembelajaran  berteraskan ‘tauhid’ dalam setiap subjek adalah tunjang ‘kekuatan’ Taski Ummu Aiman. Tidak hairanlah, mengapa Taski Ummu Aiman menjadi perhatian kebanyakan ibu bapa yang menitik beratkan soal ‘tarbiah’ untuk anak-anak mereka. Semoga usaha mereka berjaya dalam melahirkan generasi iman dan amal.

Khamis, 21 Januari 2010

Antara Semenyih & Santan

....aabahh!! cepatlaa dastar kakak… umiii!! Kakak nak pegi sekolah…” teriak hilyatulhusna. Belum sampai seminggu berada di Santan, setelah dua bulan lebih bercuti di Semenyih, puteri sulung kami sudah merasa bosan di rumah.

Di sana, siang hingga malam adalah masa untuk bermain. Sepupu sepapat yang muda setahun darinya adalah kawan-kawan sepermainannya. Keriuhan mereka menjadikan rumah ‘opah’ segar, riuh dengan kelibat cucu-cucu yang baru empat orang, sesekali ‘Aufa Humaira` bertandang, bertambah ribut gelagat mereka. Bertambah pening orang yang berada di situ. Keadaan mereka sukar dikawal lagi. Pada mereka, inilah masanya untuk bersuka ria, inilah masanya untuk mendapat perhatian, inilah masanya untuk memeningkan kepala siapa saja yang ada di situ.

Kini, semua itu sudah berlalu. A`mru al-Hakim, U`kasyah dan Aufa Humaira` kembali dengan rutin harian. Mereka bertiga di selatan, manakala Hilyatulhusna dan Muhammad Faruq di utara. ‘Samsally Villa’ kembali lengang. Lengang dari hiruk pikuk ‘cucu-cucu opah wan’. Buat semua anak-anak buah paklong dan maklong...

“kalau ada sumur diladang, boleh paklong menumpang mandi 
kalau bertemu cuti panjang, insyaallah kita bersama lagi”

Kami bercadang nak mendaftarkan hilyatulhusna pada bulan februari di Taski Ummu Aiman, Matri. Pra sekolah milik ABIM Perlis yang berpengkalan di Tunjung, Beseri. Namun segalanya berubah. Berubah kerana permintaan yang seakan mendesak nak ke sekolah. “...abahhh umii, kakak nak pegi sekolah, nak bawak beg tarik, nak beli buku pensil warna... jomla pi dastar kakak” pujuknya menunjukkan minat. Alhamdulillah, pada petang 19 Januari kami daftarkannya dan membeli uniform sekolahnya. "Esok Husna datang sekolah yer, ustazah tunggu Husna pagi esok" pujuk ustazah dengan penuh harap.

Sepanjang perjalanan pulang, dia ‘teruja’ untuk mengenakan uniform berwarna unggu, sambil meminta dibelikan beg tarik untuknya ke sekolah. Kami hanya tersenyum dengan gelagatnya dan terus memacu kenderaan ke Kangar untuk dapatkan ‘beg tarik’ kegemarannya. “...kakak janji dengan umi tau, belajar sungguh-sungguh, esok kakak jangan nangis tau…” tegas isteriku. “ok” hilya mengangguk sambil mengisi baju sekolah ke dalam beg tariknya.

Maka bermulalah beberapa episod baru dalam kehidupan kami. Episod anak mula ke sekolah. Episod menguruskannya untuk tidur awal dan bangun seawal pagi bersihkan diri dan bersiap ke sekolah. Episod ‘pengurusan masa’ untuk tiba di tempat kerja seperti biasa. Episod ‘pengurusan kewangan’ yang lebih bijak untuk persekolahannya. Dan yang lebih penting, episod untuk kemenjadian ‘syakhsiyyah solehah’ yang diharapkan.

“Ya Allah! Bantulah kami dalam mendidik anak-anak kami, berikanlah kekuatan, semangat dan ketabahan hati menghadapi segala cabaran dan dugaan. Janganlah Engkau uji kami sesuatu yang tak termampu kami pikul, pada-Mu kami berserah, dan pada-Mu kami harapkan hasanah”

Jumaat, 15 Januari 2010

Ulama Yemen gesa lancar jihad

SANAA 14 Jan. - Majlis Ulama Yemen hari ini menyeru rakyat melancarkan jihad jika berlaku campur tangan tentera asing di negara ini, berikutan spekulasi Amerika Syarikat (AS) mungkin menghantar askar bagi menyertai kempen Sanaa untuk memburu militan al-Qaeda. Seruan itu terkandung dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh 150 ulama di negara ini.

"Jika mana-mana pihak berkeras mahu menyerang atau menduduki negara ini, maka menurut Islam, jihad menjadi satu kewajipan," menurut kenyataan yang dibacakan pada sidang media di sini. Mereka juga menekankan 'tentangan keras terhadap sebarang campur tangan asing dalam hal-ehwal Yemen, sama ada secara politik atau ketenteraan'.

Ulama tersebut yang termasuk Syeikh Abdulmajeed al-Zendani yang dilabel oleh pentadbiran AS sebagai 'pengganas global' turut menyuarakan pendirian menentang sebarang perjanjian atau kerjasama keselamatan atau ketenteraan antara Yemen dengan mana-mana negara asing jika ia melanggar Syariah. Mereka menolak 'penubuhan sebarang pangkalan tentera asing di Yemen atau kawasan perairannya'.

Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata di Senat AS, Carl Levin semalam menggesa White House menimbangkan operasi untuk menggempur kedudukan militan al-Qaeda di Yemen dengan pesawat tanpa juruterbang, serangan udara atau operasi sulit, tetapi bukan dengan menyerang negara ini.

"Kebanyakan pilihan patut dipertimbangkan, tanpa melibatkan serangan oleh tentera AS," kata Senator Michigan daripada Parti Demokrat.

Zendani pada Isnin lalu memberi amaran, sebarang campur tangan tentera AS di Yemen untuk memerangi al-Qaeda akan dianggap sebagai pendudukan tentera asing. Kerajaan Yemen dalam pada itu telah memperhebatkan operasi untuk memerangi militan al-Qaeda, sambil menegaskan bahawa ia mampu menghadapi militan itu sendiri tanpa campur tangan tentera asing.

"Di sini kami bertindak lebih awal untuk menghadapi ancaman. Yemen sama sekali tidak akan menjadi tempat persembunyian pengganas," kata ketua agensi keselamatan Yemen, Ali Anisi, semalam.      - AFP (sumber berita: Utusan Malaysia)


Rabu, 13 Januari 2010

Tahniah buat warga SK Santan!


GB sedang menerima piala kemenangan bersama Pn.Norsharmila (Guru PSS)

Rabu, 30 Disember 2009- Tahniah kepada Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Santan kerana telah berjaya merangkul Tempat Pertama Anugerah Pusat Sumber Sekolah Kebangsaaan Kategori Sekolah Rendah Luar Bandar 2009. Anugerah tersebut diadakan sempena Majlis Hari Kualiti 2009 Kementerian Pelajaran Malaysia yang diadakan di Auditorium Kompleks E, Putrajaya dan telah disempurnakan oleh Y.B. Dr. Hj. Mohd Puad Bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.   (sumber berita: BTP Perlis)

Isnin, 4 Januari 2010

Hari pertama persekolahan 2010

PERHIMPUNAN pagi hari ini berjalan dengan baik. Guru-guru semuanya kelihatan ceria. Murid-murid datang awal ke sekolah. Sekitar jam 7.20 pagi persekitaran sekolah sudah dipenuhi oleh pengunjungnya. Para ibubapa bagi murid baru (tahun 1 & pra sekolah) kelihatan ceria, masing-masing mengukir senyuman bila berselisih dan bertembung di laluan sekolah. Senyuman mereka penuh dengan harapan. Harapan untuk melihat anak-anaknya berjaya.

Sebahagiannya ada yang sanggup mengambil cuti bekerja, hanya untuk memantau dari jauh kelibat anak-anaknya. Menangis kah, sedih kah, ceria kah, gembirakah, dapat kawan kah. Bahkan ada yang sanggup menemani anak-anak mereka makan ketika waktu rehat. Hebat kan! Itulah pengorbanan ibubapa. Anak-anak adalah segala-galanya, kerana anak adalah amanah dari Penciptanya. Memberi pelajaran adalah tanggungjawanya, dan yang lebih penting sekali memahamkan anaknya mengenal Allah dan rasulnya juga tanggungjawab besar yang bakal disoal oleh Allah kepada sekalian ibubapa. Nabi SAW bersabda:

"Setiap bayi itu dilahirkan dalam 'fitrah', Maka (tanggung jawab) ibubapanya lah menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Majlis bermula pada jam 7.50 pagi dengan nyanyian 3 buah lagu. Lagu negaraku, negeri Perlis & lagu sekolah. Kemudian di ikuti dengan bacaan doa. Ustaz Mohd Dzahar Ahmad (GPI) mempengerusikan majis sulong 2010. Banyak perkara yang ditekankan oleh beliau. Selain perihal lonjakan akademik, soal pembentukan syakhsiyah juga ditekankan. "Justeru bagi merealisasikan kecemerlangan syakhsiyah murid, ibubapa diseru untuk bersama-sama memantau perihal anak-anak di luar waktu sekolah. Solat hendaklah dilaksanakan dengan sebaiknya, kerana ia merupakan tunjang kepada agama" ujar pengerusi majlis.

GPK Hem Pn.Syarifah Naziran Sy. Taha juga menyampaikan ucapan. Ucapannya banyak menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan buku kesihatan murid dan pemeriksaan kesihatan dari pihak hospital dalam masa yang terdekat, disamping beliau mengalu-alukan kedatangan murid-murid dan para waris ke SKS.

En.Shahril Ridzwan Wan Abdullah (GB) mengalu-alukan kedatangan murid baru, para waris dan kedatangan 4 orang guru baru. Beliau juga merakamkan setinggi penghargaan kepada 3 orang guru yang berpindah, di atas sumbangan bakti dan keringat mendidik anak bangsa di SKS. Beliau juga turut mengumumkan berita baik kemenangan SKS mendapat 'Johan PSS Peringkat Kebangsaan Kategori Sekolah Luar Bandar' yang di adakan pada tahun lepas. Tepukan gemuruh dari semua yang hadir sebaik saja GB mengumumkan kemenangan tersebut. "Alhamdulillah, alhamdulillah alhamdulillah... Kemenangan ini wajar dikongsi oleh warga sekolah dan PIBG. Bersesuaian dengan moto sekolah 'Satu Sekolah Bersama PIBG, Warga Sekolah Di dahulukan, Pencapaian Di Utamakan' Segala tenaga yang disumbangkan oleh semua pihak saya ucapakan jutaan terima kasih" ujar GB sambil mengangkat piala kemenangan.

Perhimpunan sulong ini, berakhir pada jam 8.30 pagi. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan seperti biasa. Manakala murid tahun satu mengikuti minggu transisi sebelum memulakan pembelajaran secara lebih fokus pada minggu hadapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...