Sabtu, 27 November 2010

Eiduz Zawaaj buat Mak dan Abah!

Hari ini 27 November, adalah hari ulang tahun perkahwinan mak dan abah yang ke 33. Kesempatan ini kami semua ingin mengucapkan 'alf mabruk' buat mak dan abah. Angka 33 adalah angka yang besar bagi tempoh sebuah rumah tangga. Berkat perkahwinan mak dan abah, Allah kurniakan lima anak-anak lelaki. Alhamdulillah semuanya berjaya insyaallah.  Kami juga bersyukur kerana ditakdirkan menjadi anak-anak pada mak dan abah, serta mendapat perhatian, kasih sayang, pelajaran yang secukupnya. Kami sentiasa mendoakan rumah tangga mak dan abah ini sentiasa segar dan mekar, berkekalan hingga ke syurga insyaallah. Doakan juga masa depan dan rumah tangga anak-anak mak dan abah beroleh berkat dan berkekalan hingga ke syurga.

"Ya Allah Ya Tuhan kami..! Ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami, kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani kami sewaktu kami kecil... Ya Allah..! Kekalkanlah rumah tangga ibu dan ayah kami hingga ke syurga, siramilah keberkatan pada mereka, limpahilah rahmat buat mereka, panjangkan umur mereka, luaskanlah rezki mereka, sihatkanlah tubuh badan mereka, jauhkanlah mereka dari azab siksa Mu, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga Mu... Aamin  Ya Robbal `Aalamin"


Daripada:
Anak-anak dan menantu-menantu mak dan abah,
serta cucu-cucu dedey dan neney.

Jumaat, 26 November 2010

Diari Eidul Adha 1431

"Tak lupa juga makan malam kita (sebelum pulang) di Tesco Sg.Petani, dengan tosay nya, capati nya, mee claypot nya, dan berbagai lagi menu yang disajikan, semoga Allah murahkan rezki paklong Kaq sekeluarga"

Eidul adha kali ini (1431) disambut dengan seadanya saja. Memang menjadi kebiasaan di Malaysia eidul fitri lebih meriah dari eidul adha. Tahun ini giliran eidul adha di Perlis, jadi kami semua berhari raya di Perlis. Alhamdulillah semua dapat berhimpun kecuali Taisir yang masih berada di Shoubra, Mesir. Solat eidul adha kami di Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), di imamkan oleh al-Fadhil Ustaz Saleh Adam (Pemangku YDP Dewan Ulama` PAS Perlis) dan khutbah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Yaakob Bin Abu Seman (Ketua Pemuda PAS Perlis). Turut serta hadir YB Ustaz Hasyim Bin Jasin (ADUN Sanglang, merangkap Pesuruh Jaya PAS Perlis).

Hari raya kedua pagi, kami semua bergegas ke Batu 5, Kampung Titi Serong (Kampung abah), Kuala Perlis untuk program korban. Mak dan maklong Rohana ‘join tumpuk’ dengan keluarga paknjang Don, yang baru sahaja menetap di kampung ini. Setelah selesai pengagihan ‘tumpuk korban’ kami bergerak ke MRSM Merbok, rumah maklong Ron (Rohana) dan paklong Kaq (Bakar) pada petang harinya. Pada malamnya, aktiviti ‘barbeque’ bermula. Bukan setakat daging korban yan dibakar, ikan kembong, ikan tenggiri pun menjadi santapan enak kami malam tu. Yelah, naik jemu makan daging. Pakat makan daging bakaq sampai letih mengunyah.

Pada hari raya ketiga, kami tidak kemana-mana. Letih makan daging dan letih memeysah (persiapan) antara punca semua orang melingkaq di rumah saja, kecuali Aiman meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, sebagai persiapan awal menduduki peperiksaan SPM pada hari selasa.

Selesai solat maghrib, semua mengambil haluan masing-masing. Hamiz dan Ani pulang kerumah mertua di Mata Ayer.  Mak, abah dan Munab pulang ke Jejawi Dalam. Kami pula meneruskan perjalanan pulang ke Semenyih, lagipun along mula belajar pada Isnin 22/11. Syukur, Alhamdulillah kami selamat tiba di Semenyih pada pukul 8.30 pagi, setelah beberapa kali berhenti tidur dihentian 'Rawat dan Rehat' disebabkan mengantuk dan keletihan yang amat sangat. Nyaris-nyaris saja kami tidur di 'hotel budget' di Simpang Pulai.

"Jutaan terima kasih" buat maklong Ron dan Paklong Kaq kerana sudi menyediakan rumah mereka untuk aktiviti 'barbeque', begitu juga menyediakan tempat rehat yang sangat selesa buat rombangan kami dari Perlis. "Tak lupa juga makan malam kita (sebelum pulang) di Tesco Sg.Petani, dengan tosay nya, capati nya, mee claypot nya, dan berbagai lagi menu yang disajikan, semoga Allah murahkan rezki paklong Kaq sekeluarga". Semua orang makan dengan selera. Maklumlah dah mual dengan daging. Selera mamak juga jadi pilihan. Cuaca pulak hujan dari petang. Apa yang disaji semua licin di jamah. 'Laparrr katakan...' Ini adalah program raya kali kedua disambut dirumah maklong dan paklong selepas tahun 2008 dulu. Pastinya kenangan ini tak dapat dilupakan. "Benarlah kata pujangga, MASA yang LALU untuk DIKENANG".

Isnin, 8 November 2010

Tahniah kakak...!


HARI PENYAMPAIAN SIJIL dan HADIAH

Masa    : 08.00 - 12.30

Tarikh  : 06 November 2010 (Sabtu)

Tempat : Dewan Taski Ummu Aiman.

Posing dengan hadiah


Persembahan daripada murid 4 tahun


Tahniah kakak!


Majlis dimulakan dengan slot 'Motivasi ibubapa' disampaikan oleh Cikgu Azmi Bin Bahari (kaunselor). Antara isi kandungan motivasi tersebut "Ramai dikalangan kita merasa kagum dengan Rasulullah dan para sahabatnya, namun kekaguman itu berhenti hanya di situ (sekadar mendengar cerita), tanpa ingin mengikuti proses tarbiah yang sama yang dilalui oleh para sahabat baginda, justeru pendidikan di sini (MATRI) adalah merupakan antara usaha dan proses melahirkan insan yang mencintai Allah dan rasulnya, serta beramal dengan syariat Allah SWT "

Majlis ini dirasmikan oleh Cikgu Ghazali Bin Abdullah (SM Putra). Seterusnya di ikuti dengan persembahan murid-murid 4, 5 dan 6 tahun. Sebelum berakhir program ini, setiap murid diberikan hadiah sebagai tanda kenang-kenangan, begitu juga 'anugerah khas' yang diberikan kepada 'murid-murid terbaik' dan 'terbaik matapelajaran'.

Jumaat, 5 November 2010

BN Galas Batu Sapi dari PR..!


Di sebalik kemenangan Barisan Nasional di N.45 Dun Galas dan P.185 Parlimen Batu Sapi:


Positif nya:

1) BN merasakan mereka semakin mendapat tempat di hati rakyat, dan akan terus bekerja untuk itu. 

2) BN merasakan gagasan 1Malaysia yang cuba dibawa oleh Presiden Umno dan Barisan Nasional Dato` Seri Najib Tun Razak adalah BERJAYA!. 

3) BN juga berpuas hati, kerana kuasa yang ada boleh memerintah semua jentera kerajaaan dan swasta yang mendokong kerajaan untuk memburukkan pembangkang, terutamanya PAS, PKR dan DAP. 

4) BN juga yakin sokongan dari kaum Tiong Hwa terhadap PR menurun sekalipun tidak merudum. 

5) BN juga yakin warga Malaysia mudah dibeli dengan wang ringgit. Harta milikan pemberian kerajaan yang memerintah kepada rakyat adalah simbol keadilan dan kerajaan berkebajikan.




    Negatif nya:


    1) BN menang dengan 1001 keburukan memburukkan pembangkang dengan media massa. 

    2) BN cuba tonjolkan pelbagai GERHANA yang berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah setiap kali pilihanraya berlaku, sama ada pilihanraya kecil atau pilihanraya umum. 

    3) BN akan terus mengasak PR sebagai persediaan untuk PRU berikutnya pulak, agar momentum rakyat 'hilang percaya' terhadap kerajaan PR tidak 'sejuk bedi'. 

    4) PR terpaksa bekerja lagi  keras untuk memulihkan keyakinan kaum Tiong Hwa terhadap mereka.

       Kesimpulannya:

      1) PAS, PKR dan DAP wajib mengukuhkan organisasi masing-masing sebagai persediaan pilihanraya umm yang akan datang. 

      2) PAS, PKR dan DAP perlu sifarkan kontroversi yang boleh memburukkan nama PR. 

      3) PR yang memerintah kerajaan negeri mesti menunjukkan sikap baik dan telus dalam berkerjaan, kerana mutakhir ini pergolakan dalam kerajaan memerintah semakin menjadi-jadi.

        Isnin, 1 November 2010

        Kem Bestari Solat oh KBS


        Syukur Alhamdulillah, dan ucapan tahniah buat jawatan kuasa Pendidikan Islam j-QAF Sek. Keb. Santan, kerana berjaya menyempurnakan tugasan tahunan Kem Bestari Solat (KBS) sebanyak 2 kali bagi setiap aliran. Sesungguhnya tanpa komitmen dan tanggungjawab yang tersemat, dan juga perasaan ‘kekitaan’ sesama ahli, mana mungkin program besar ini mampu diharung dan disempurnakan. Apatah lagi guru-guru agama sebenarnya bertarik tali dengan program-program kementerian dan aktiviti-aktiviti panitia lain, bekerjasama dalam semua program. Apapun, kejayaan ini wajib dihargai dan disanjung, kerana ini adalah kejayaan ‘Rumahtangga Panitia Agama’ untuk tahun 2010.

        Berikut jadual pelaksanaan KBS 2010 di Sek.Keb.Santan:


        Bil
         Kelas
        KBS Pertama
        KBS Kedua
        1
         Tahun 1
        22 Januari
        08 Oktober
        2
        Tahun 2
        30 April
        30 Julai
        3
        Tahun 3
        07 Mei
        01 Oktober
        4
        Tahun 4
        14 Mei
        15 Oktober
        5
        Tahun 5
        22 Oktober
        -

        Sekalung penghargaan juga, ditujukan khas kepada Ketua Panitia (KP) Ustazah Fhadla Binti Ismail, yang sentiasa memerah otak untuk memastikan segala agenda di bawah kendaliannya berjalan dengan lancar dan baik. “Insyaallah sesi 2011 Ustazah akan kembali mengemudi bahtera Panitia Agama j-QAF, kami warga panitia akan memberikan kerjasama yang baik demi sama-sama menggerakkan bahtera panitia”.

        Warga Panitia juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pn.Rumaiza Binti Mt Hassan (Pengusaha Kantin SKS), mesra dipanggil ‘kakJa’ yang banyak membantu menyediakan makanan, tempat, dan bekerjasama dengan warga panitia setiap kali berlangsungnya program panitia. “Semoga Allah murahkan rezki kak Ja di mana saja kakJa mencari rezki insyaallah, segala jasa baik kakJa hanya Allah saja yang layak memberikan ganjarannya”.

        Sebenarnya, banyak lagi program panitia agama yang berjalan tapi tak dimasukkan ke ruangan ini. Ceramah Nuzul Quran, Sambutan Awal Ramadhan, Program Berbuka Puasa, dan banyak lagi aktiviti-aktiviti panitia yang tak sempat dimasukkan. Sesungguhnya segala yang diceritakan di dalam ruangan ini, bukanlah bertujuan untuk ‘berbangga-bangga’ dan ‘menunjuk-nunjuk’ tetapi ia lebih kepada menghargai usaha warga Panitia mengharungi setahun yang penuh dengan badai dan cubaan. Semoga paparan ini juga, warga Panitia akan lebih bersemangat dan bersedia dengan idea-idea yang lebih hebat buat anak-anak didik sesi 2011 nanti.

        “Ingat..! Kita ibarat sebatang tubuh, andai sakit salah satu anggota badan, pasti kita semua akan merasa pedihnya”. Selamat Berjaya. Santan Boleh!.

        Ahad, 24 Oktober 2010

        Antara Rosmah dan Ulama` Muda (kononnya)

        “Apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan. “Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim,”


        Isteri PM buat hal lagi. Kali ini dengan isu Islamic Fesyen Festival (IFF). Isunya ialah Datin Seri Rosmah Mansor sebagai Penaung Festival Busana Muslim yang diadakan pada 9 Ogos 2010 bertempat di Monte Carlo. Acara penunjukan fesyen Busana Muslim (kononnya) berorientasikan Islam dengan menggunakan kalimah Islam di kenakan ke tubuh model yang tidak melambangkan Islam, mendapat kritikan hebat dari pelbagai pihak.  Entah model itu dikalangan orang Islam atau tidak. Biar apapun, sebagai muslim wajib menunjukkan perasaan benci kepada sesiapa sahaja yang mempermainkan Islam.

        Kalau isu kartunis orang putih menghina nabi dan menghina Islam kita boleh tunjuk pendirian membantah dan mengutuk tindakan tersebut, isu 'Ayah Pin' mengaku nabi kita kutuk, isu 'As-Syaari al-Arqam' kita kutuk dan pihak kerajaan boleh ambil tindakan, maka Rosmah juga mesti di ambil tindakan. Kedudukan sebagai isteri PM bukan alasan. Nabi Muhammad SAW tidak meletakkan sebarang kedudukan istimewa terhadap anaknya Fatimah seandainya dia mencuri. Inikan Rosmah. Penampilannya pun tidak melambangkan Islam, apatah lagi untuk menjadi seorang yang mempertahankan Islam. 'Duta Islam jauh lagi la.'

        Namun disebalik isu yang berlaku, ada pulak seorang yang (kononnya) bergelar Ulama` Muda. ("errgh tapi betul ker dia ni ulama`?"). Dia berseorangan tampil mempertahankan tindakan Rosmah, dalam keadaan semua orang termasuk NGO dan persatuan mahasiswa mengecam tindakan biadapnya terhadap Islam baca sini

        "Hayyaa itu macam kaa jadi ulama`?". Rosmah tidak dipersalahkan, bahkan yang menegur dan yang mengutuk itu dipersalahkan. Mengapa..? Era 1 Malaysia ni ada elaun untuk ampu bini PM ke?. Atau 'kutu berahak' ni dah merasakan keberadaannya dalam umno seolah tidak dirasai.

        'hey syeikh! kalau anta nak berdakwah sekalipun masuk umno tu, jangan la sampai menggadaikan apa yang anta dah belajar. Kalau anta mencari kekayaan dalam hidup, anta akan dapat dengan ilmu yang anta ada. Lekeh kah anta, kalau anta tak mempertahankan Rosmah tu..? Dr. Asri pun minta Rosmah mohon maaf dan lantik penasihat syariah. Ana rasa Dr. Asri menunjukkan 'stand' yang betul (dalam isu ini) dan berperanan sebagai ulama` menegur dan menasihati pemerintah."Baca sini

        Mengapa kalau (ikhlas) nak menegur, kena pi jumpa dan tanya dulu cerita sebenar baru boleh tegur?. "hey syeikh! orang Islam nak buat suatu benda apa pun kena tengok dulu Quran (kata) boleh ke tidak, Hadis (kata) boleh ke tidak, Ulama` Muktabar kata apa dalam hal-hal macam ni. Itu baru adabnya. Bukan pi buat benda huduh dalam Islam, tenyeh Islam lepas tu mintak orang ramai 'mai jumpa' dulu dan tanya hal sebenar, jangan hukum. Susah sangatkah anta nak kata 'lain kali jangan memandai dalam isu yang berkait agama, Datin kena tanya ulama` dulu boleh ke tidak'.

        Kalau semua perkara kena pi mengadap orang yang buat salah dulu, tanya niatnya dulu, alasannya melakukan jenayah, maka Hakim atau Qadhi tak boleh (jatuh) hukum lagi terhadap suami yang dengan buas memukul isteri sampai dah nak setengah mampus dah. Kena selidik dulu. Mungkin 'pukul' itu hakikatnya adalah 'lambang' cintanya pada isterinya. Atau seorang perempuan yang beragama Islam melacurkan dirinya, apabila disabitkan kesalahannya, dia mempertahankan tindakannya dengan berkata "Yang Arif..! saya melacur adalah kerana ingin menyara kehidupan kami sekeluarga. Saya ikhlas melacur demi Islam Yang Arif!" Macam tu kaa syeikh..!

        Ana cadangkan agar anta tampil mengadap Rosmah dan berperanan sebagai 'penasihat syariah' kepada Rosmah khasnya dan kepada UMNO umumnya. Mudah-mudahan segala aktiviti-aktivitinya (Rosmah) dan aktiviti-aktiviti mereka (UMNO) di bawah seliaan dan pemantauan seorang yang bergelar Ulama` Muda (kononnya)".

        Nasihat ana untuk diri ana terutamanya dan diri anta (konon ulama` muda) dan pembaca-pembaca semua agar beristighfar dan bertaqwa kepada-NYA. Jadilah kita golongan yang mempertahankan Islam. Jangan kerana 'ucapan, akhlak' golongan agamauan menjadi 'bahan ketawa' masyarakat yang sedang memerhati dan menjinakkan hati dengan Islam.

        Mohon maaf andai tulisan ini mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak. Namun tulisan ini adalah simbol 'menyatakan kebenciaan' terhadap siapa sahaja yang mempersendakan Islam. Wallahu A`lam.

        Isnin, 27 September 2010

        Rabu, 15 September 2010

        Qawim..! Banyak bersabar.


        "Berdasarkan maklumat, Proton Putra itu dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina tetapi gagal sebelum bergesel dengan kereta terbabit, menyebabkan Proton Putra melambung dan menghempap sebuah kereta jenis Hyundai Matrix yang datang dari arah bertentangan."


         Kenderaan sepupuku Hyundai Matrix (silver) remuk teruk dilanggar Proton Putra.


        Proton Satria ini (dikatakan) adalah 'partner race' (Proton Putra) yang melanggar kenderaan sepupuku.


        Walaupun ngeri rupanya, namun pemandunya (dikatakan) selamat dan sempat melarikan diri pada malam kejadian.


        Enjin kenderaan kelihatan hancur lebur, kerana hentakan dan hentaman yang terlalu kuat.


         Grand Livina ini (dikatakan) adalah mangsa 'sondolan' Proton Putra sebelum ia melibas pokok dan melanggar Matrix (sepupuku) yang datang dari arah bertentangan.


        Pokok hanya tinggal batang, kerana disagat oleh Proton Putra sebelum melanggar sepupuku (Matrix) yang tidak bersalah


         Begitulah remuknya Hyundai Matrix yang tidak berdosa.


        Apapun, aku bersyukur kerana sepupuku (tak bersalah) selamat. Sekalipun Allah mengujinya dengan patah kedua kakinya, namun aku percaya pasti ada anugerah lain akan Allah anugerahkan padanya. "Ya Allah, sembuhkanlah deritanya, Engkau tuhan Maha Penyembuh"

        Buat Qawim, banyak bersabar. Begitu juga Paknjang Khairi dan Maknjang Nazariah banyak bersabar dan banyak berdoa. 'Sesuatu yang tidak kita suka itu, pastinya ada kebaikan  sehingga ditaqdirkan Allah kepada kita'.

        Gambar-gambar ini, di ambil dari website seorang kawan di Perlis, Mohd Umar Ahmad namanya. Untuk mengetahui laporan berita lanjut sila layari website beliau di sini

        Sabtu, 11 September 2010

        DeDiKasi AiDil FiTri


        Seuntai Kasih membuat Kita Sayang…
        Seucap Janji Membuat Kita Percaya…
        Sekecil Luka Membuat Kita Kecewa…
        Tetapi Sebuah Persaudaraan Selamanya Akan Bermakna…
        Dalam Bermesra Mungkin Terkasar Bahasa…
        Dalam Bergurau Mungkin Terlanjur Senda…
        Dalam Berjanji Mungkin Ada yang Belum diKota…
        Dalam Berbicara Mungkin Ada Yang Menyinggung Perasaan…
        Jika Ada diPohon Seribu Kemaafan…

        Kesempatan yang ada, kami sekeluarga mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN khusus buat ayahanda dan bonda tercinta

        MOHD HUSSIN BIN SENAPI dan KHARIAH BINTI ARIFF
        SAMSUDIN BIN TARAMUJI dan SALMAH BINTI SALLEH

        "ampunkan segala dosa kami, halalkanlah segala perit jerih sepanjang membesarkan kami, tegurlah kami andai ada silap dan salah, nasihatilah kami andai kami terleka... sesungguhnya nasihat ayahanda bonda sangat kami harapkan, redhokanlah kehidupan kami di dunia dan di akhirat" 

        juga dedikasi ini ditujukan buat adik-adik dan ipar duai 
        MOHD HAMIM dan SHAZARUL AZUWA
        MOHD KHAIRUL HAMIZ dan ANI AZIRA
        MOHD AZRIN dan MUNIRAH

        AIMAN, SHAZARUL SYAZWANI, SHAZARUL NADIAH, MUHAMMAD TAISIR, MUHAMMAD MUS`AB, MUHAMMAD AZIM RAHIMI DAN MUHAMMAD AMEERUL FIRDHAUS, dengan ucapan

        "maafkan abang hafiz dan along (kaklong) kerana kami banyak menyusahkan kalian dengan karenah anak-anak kami, juga maafkan andai ada kata-kata, pendapat yang dilontarkan, nasihat yang diberi, atau senda gurau yang terguris di hati kalian... ingatlah kami sangat sayangkan kalian" tidak dilupakan juga  anak-anak  saudara yang disayangi, U`kasyah, Nuha Nuwairah, A`mru al-Hakim, Ahda Sabeela, dan Aufa Humaira` yang berada di Jejawi Dalam, Perlis dan Taman Tasik Semenyih, Selangor… 

        Istimewa juga ucapan ini ditujukan buat semua rakan-rakan seperjuangan, pengunjung-pengunjung blog SenYum iTu SeDeKaH yang banyak memberi sokongan untuk kemajuan blog ini…

        "Sudilah kiranya sempena bulan baik ini, kita mendoakan kesejahteraan sesama kita, semoga ukhuwwah kita sentiasa bertaut, utuh dan tak mudah dilanda badai…"

        "SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI MAAF ZAHIR dan BATIN, SEMOGA RAMADHAN YANG BERLALU MENJADIKAN KITA DI KALANGAN YANG BERJAYA, JUA MOHON DIPERTEMUKAN LAGI DENGAN RAMADHAN-RAMADHAN YANG MENDATANG…"

        Tulus Ikhlas Daripada:
        MOHD KHIDZRUL HAFIZ BIN MOHD HUSSIN
        SHAZARUL HAZLINA BINTI SAMSUDIN
        HILYATUL HUSNA BINTI MOHD KHIDZRUL HAFIZ
        MUHAMMAD FARUQ BIN MOHD KHIDZRUL HAFIZ

        Rabu, 8 September 2010

        Kesilapan TV3 Jangan Diulang!





        KUALA LUMPUR, 7 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menghantar surat peringatan kepada Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd. (Media Prima) agar tidak mengulangi kesilapan menyiarkan iklan menyentuh sensitiviti umat Islam.

        Surat
        dari Ketua dewan itu, Nasrudin Hassan dihantar kepada Ketua Pegawai Eksekutif rangkaian itu, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan melalui faksmili semalam.

        Kandungannya antara lain mahu pihak TV3 berhati-hati dalam setiap bahan yang mahu disiarkan dan menggesa stesen tersebut mewujudkan lembaga penapisan atau pemantauan syariah.


        "DPP Pusat mengingatkan TV3 agar tidak mengulangi perkara ini lagi di masa akan datang serta menjaga sensitiviti umat Islam.


        "TV3 seharusnya mempunyai lembaga penapisan atau pemantauan syariah yang ketat agar sesuatu iklan atau filem yang ditayangkan di TV3 tidak bercanggah dengan syariah atau aqidah umat Islam serta boleh diterima oleh semua pihak," kandungan
        surat itu dipetik.

        Menurut Nasruddin, Iklan tersebut tidak sepatutnya disiarkan langsung kerana mengundang persepsi buruk daripada masyarakat khususnya umat Islam lebih-lebih lagi ia berlaku di dalam bulan Ramadhan yang berkat ini.


        Ini kerana iklan tersebut dilihat seperti menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memasukkan elemen beca terbang, bunga teratai dan

        pelita.

        "Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.


        Selain itu, Pemuda PAS turut meminta pihak berwajib termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Penerangan agar dapat meningkatkan pemantauan ke atas penyiaran seperti iklan, drama atau filem agar kandungannya tidak melanggar batas syarak.


        Beliau bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih kepada TV3 yang telah menarik balik iklan Aidil Fitri tersebut semalam setelah mendapat bantahan ramai.


        Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan.


        Iklan tersebut juga dilapor menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.


        Kos
        penerbitan iklan tersebut mencecah RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

        Rabu, 25 Ogos 2010

        UMNO lebih Sudu dari Kuah..!


        'Ya Allah, kukuhkanlah Islam dengan salah seorang yang paling engkau cintai iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu jahal bin Hisyam'. (Rasulullah SAW)


        Hangat diperkatakan di media massa isu nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng disebutkan dalam khutbah jumaat, pada masa yang sama nama Ketua Negara tidak disebut dalam khutbah tersebut. Ramai yang agak terdiam dalam memberikan respon dalam isu ini. Bahkan dikalangan (sebilangan) ustaz-ustaz  dan ilmuan juga bimbang untuk merespon isu ini andai diajukan soalan ini.

        Bimbang kerana dikhuatiri respon yang diberikan mendahului kehendak agama atau dibimbangi respon itu disalah tafsirkan sehingga digelar ‘menderhaka’ kepada Ketua Negara.

        Cuma apa yang menariknya, isu ini digembar gemburkan oleh umno dalam suasana dikatakan PRU 13 semakin hampir. Najib juga dalam ucapannya meminta isu ini disiasat.

        Sebenarnya dalam isu ini ramai yang menunggu golongan agamauan tampil memberi respon. Samaada respon itu pedas atau sebaliknya. Mengapa? Kerana ini isu agama. Persoalan agama hanya orang agama sahaja yang layak memberikan ulasan.

        Mana mungkin seorang yang hanya berkebun tapi bercakap pandai mempertikaikan peranan guru-guru di sekolah, atau seorang menteri pelajaran yang hanya inginkan ‘keputusan itu dan ini’ tanpa turun ke sekolah melihat dan mendengar pandangan guru-guru yang bergelumang dengan seribu satu macam masalah disekolah. Tidak kah pelik namanya!

        Di mana salahnya doa khatib ustaz Zakaria Ahmad yang berbunyi:

        "Ya Allah Ya Tuhanku Kau Selamatkan Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang." (bharian)

        Dimana salahnya? Batalkah khutbah tersebut? Rosakkah jumaat makmum Masjid Kubang Buaya, Butterworth Jumaat lalu dan Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor, 25 Jun lalu? Atau salahkah mendoakan orang bukan Islam agar pintu hatinya tertarik pada Islam?

        Umum percaya, sebenarnya isu ini lebih sudu dari kuah yang menyebabkan tafsiran ramai bahawa ada agenda politik kotor mengaibkan kepimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Mungkin ini adalah antara cara ‘try and error’ menjatuhkan kepimpinan negeri yang sedia ada dengan mengapikan ‘asap perkauman’.

        Nabi SAW pernah mendoakan agar Islam menjadi kuat dengan islamnya salah seorang dari dua Umar. Membawa maksud agar Allah bukakan pintu hidayah kepada salah seorang di kalangan mereka untuk memeluk Islam dan memperjuangkan serta mempertahankan Islam.

        Doa Rasulullah SAW berbunyi:

        اللّهم أعز الإسلام بأحـب الرجـلين إليك: بعمر الخطاب أو بأبي جـهل بن هشـام.

        'Ya Allah, kukuhkanlah Islam dengan salah seorang yang paling engkau cintai iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu jahal bin Hisyam'. (al-Tirmizi dan al-Thabarani)


        Allah maqbulkan doa baginda SAW. Akhirnya pada bulan zulhijjah tahun keenam kenabian, iaitu tiga hari selepas islamnya Saidina Hamzah, Umar al-Khattab memeluk Islam di hadapan baginda SAW. Ternyata tindakan baginda direstui dan diperkenankan Allah.

        Berbeza dengan situasi baginda SAW mendoakan keampunan bapa saudaranya Abu Tholib sekalipun beliau mati dalam kafir. Peristiwa ini ditegur oleh Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 113 yang bermaksud:

        Tiadalah sepatutnya bagi nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam’


        Firman Allah lagi dalam surah al-Qosos ayat 56 yang bermaksud:

        ‘Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk’

        Andailah doa khatib ustaz Zakaria Ahmad yang diaminkan oleh muslimin yang hadir dimaqbulkan Allah, pastinya warga muslimin akan beroleh keberuntungan yang besar. Seorang yang menunjukkan sikap yang baik kepada masyarakat, dan berjuang menegakkan keadilan untuk semua, pastinya tidak mustahil suatu hari nanti pintu hatinya akan terbuka untuk Islam.

        Sama-samalah kita mendoakan agar pintu hatinya terbuka memilih Islam sebagai ad-Deen. Janganlah kita menjadi manusia yang ‘lebih sudu dari kuah’ mencetuskan provokasi jahat menggerakkan fitnah yang sedang tidur.

        Letaklah agama itu di hadapan, melangkaui nafsu yang sentiasa mendorong kearah kejahatan. Berhentilah berjuang dengan slogan ‘keBANGSAan’ kerana tiada apapun yang boleh dibanggakan dengan bangsa.

        Sejahat-jahat bangsa yahudi pun sekurang-kurangnya disebut dalam al-Quran sekalipun al-Quran merakamkan kebiadapan bangsa Yahudi terhadap Islam yang dibawa baginda SAW dan para nabi dan rasul yang lain. Bangsa melayu?

        Perjuangan Rasulullah SAW adalah menyampaikan Islam, menegakkan Islam, justeru Islam yang dibawa baginda SAW boleh diterima seluruh lapisan masyarakat, merentasi tembok warna kulit, kerana yang dinilai di sisi Allah hanyalah ‘taqwa’. Biarlah di akhirat nanti bangsa melayu itu dibanggai kerana ‘taqwanya’ bukan kerana kerisnya, namanya atau bangsanya.

        Semoga beroleh manfaat.

        Sumber:
        1- al-Quran
        2- Soheh Muslim
        3- ar-Rahiqil Makhtum -alMubarakfuri.
        4- harakahdaily, bharian, sinar.

        Ahad, 15 Ogos 2010

        Ahlan ya Ramadhan


        "Delegasi Ramadhan sudahpun tiba di bumi untuk dilayan dan diberi perhatian kepada mereka. Sesungguhnya mereka adalah tetamu yang dihantar Allah buat hambanya yang beriman di bumi untuk sama-sama mengucapkan 'ahlan bika ya Ramadhan"

        Syukur pada Allah,kerana dipanjangkan usia sehingga dapat bersua dengan ramadhan kali ini, syukur kerana masih lagi diberi kesempatan bertemu dengan ‘saiyyidush shuhur’ (penghulu bulan). Sedangkan berapa ramai hambanya yang tidak berkesempatan bertemu ramadhan (1431) yang tibanya dengan keberkatan. Justeru kesempatan yang ada saya cuba senaraikan beberapa nota penting berkaitan ramadhan.

        1) Baginda SAW sering berdoa tatkala tiba bulan rejab agar dipertemukannya dengan ramadhan, kerana ramadhan datang dengan keberkatan, datang dengan tawaran-tawaran lumayan buat mereka yang beriman dengan hari kebangkitan. Doa baginda berbunyi:

        اللـــهمّ بـــارك لنــا في رجب و شعبـان و بلّغــنا رمضـان

        Maksudnya: Ya Allah! Berkatilah kami di bulan rejab, berkatilah kami di bulan sya`ban dan pertemukan kami dengan ramadhan.

        Justeru, untuk menerima sesuatu yang hebat, persiapan juga mesti hebat, perancangan juga mesti hebat. Pastinya hanya orang yang hebat sahaja dapat mengecapi lunaknya kehadiran ramadhan.

        2) Ramadhan adalah deligasi agung, untuk dilayan oleh seluruh warga bumi yang beriman. Sesungguhnya mereka adalah tetamu yang dihantar Allah buat hambanya yg beriman di bumi untuk sama-sama mengucapkan 'ahlan bika ya Ramadhan'

        أتاكَـُمْ رمضانَ سَـيّدالشُّهورِ فمرْحباً وأهلاً جاء شهرُ الصّيامِ بالبركاتِ فأكـْرِمْ به مِنْ زائر هو آتٍ.`

        “Telah datang Ramadhan penghulu segala bulan. Maka hendaklah kita mengucapkan selamat datang kepadanya. Telah datang bulan puasa membawa segala keberkatan, maka hendaklah memuliakan tetamu yang datang” (Penghayatan Ramadhan-SyeikhWajdi Ghunaim).


        Andai layanan kita baik, maka baiklah juga layanan yang akan kita perolehi di akhirat. Jika sebaliknya, maka tunggulah saat kita dilupakan Allah pada hari mahsyar. Firman Allah dalam surah Toha (127-128) yang bermaksud:

        Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal”.

        3) Ramadhan adalah madrasah yang akan melahirkan graduasi-graduasi yang cemerlang. Bagaikan setiap tubuh badan yang sakit perlukan rawatan dan ubatan, agar sakit yang ditelan cepat disembuhkan. Begitu jugalah ‘jiwa’ yang sentiasa memerlukan sentuhan ‘pakar’ dan ‘rawatan pakar’. Maka kedatangan ramadhan adalah mesin menjernihkan jiwa yang kotor, merawat jiwa yang sakit, mendekatkan hambaNya yang jauh dengan penciptanya, merendahkan syahwatnya, mendisiplinkan hambanya, dan mengajar hamba mengenal Penciptanya.

        Sabda nabi SAW:

        الصّلـوات الخـمس والجُـمُعَـةُ الى الجـمعة ورمضـانُ الى رمضـان مُـكـَـفـِّراتٌ لِمـَا بينهُنَّ اذا اجْـتـَنـَبَتِ الكبائرُ.

        ‘Di antara sembahyang lima waktu itu, dan (di antara) Jumaat dengan Jumaat yang lain, dan (di antara) Ramadhan dengan Ramadhan itu adalah sebagai penghapus dosa di antara keduanya, apabila ia menjauhi dosa-dosa besar’


        4) Ramadhan datang dengan limpahan tawaran rahmat dan hasanah yang sangat hebat. Barangkali tawaran inilah antara tawaran yang menjadikan ketinggian dan kebanggaan menjadi umat nabi Muhammad SAW.

        عن سلمان الفارسي رضي الله عنه قال: خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر يوم من شعبان فقال:" أيّها الناسُ قدْ أظلـَّــكـُمْ شهرٌ عظيمٌ مباركٌ, شهرٌ فيه ليلةٌ خيرٌ مِنْ ألفِ شهر, جعل الله صِيامَهُ فريضـَةُ وقيامَ ليلِهِ تطوُّعًا, من تقرّبَ فيه بخصلة منَ الخـَيْركان كمَن أدّى فريضة فيما سِواه ومَن أدّى فريضة فيه كمن أدّى سبعين فريضة فيما سواه"

        Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Salman al-Farisi RA katanya: Rasulullah SAW telah berkhutbah kepada kami pada hari akhir bulan Sya`ban, sabdanya: ‘Wahai manusia! Telah tiba padamu satu bulan yang agung lagi berkat, bulan yang didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan dimana Allah menetapkan puasa didalamnya sebagai satu kefardhuan, dan menghidupkan malamnya dengan ibadah sebagai amalan sunat. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah dengan sifat yang baik, ia bagaikan orang yang melakukan satu kefardhuan dibulan yang lain. Manakala seseorang yang menunaikan satu kefardhuan didalamnya ia bagaikan menunaikan tujuh puluh kefardhuan dibulan yang lain’.


        5) Ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran (al-Baqarah 185). Menunjukan kemuliaan yang diberikan Allah untuk Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Justeru membaca, mengamati, mempelajari, apatah lagi mengamalkan isi kandungannya mendatangkan ganjaran dan pahala yang sangat hebat nilainya.

        "من قرأ حرفا مِن كتـاب الله فله به حسنة والحسنة بعشرة أمثـالها, لا أقول "الـــــــــــــم" حرفٌ, ولكن ألِفٌ حرفٌ ولامٌ حرفٌ ومِيْمٌ حرفٌ".

        Nabi SAW bersabda: ‘Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah maka baginya satu kebajikan (pahala) dan satu kebajikan digandakan dengan sepuluh gandaan. Tidaklah aku katakan “الـــــمitu satu huruf, tetapi Alif (itu) satu huruf, dan Lam (itu) satu huruf dan Mim (itu) satu huruf’.

        Semoga artikel ringkas ini memberikan manfaat buat para pembaca. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

        Sumber rujukan:
        1) al-Quran
        2) al-Khuthob Minbariah -Syeikh U`saimin.
        3) Majalis Syahru Ramadhan -Syeikh U`saimin.
        4) Penghayatan Ramadhan (Edisi Terjemahan) -Syeikh Wajdi Ghunaim.
        Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...