Sabtu, 26 Disember 2009

Rokok, Fatwa dan Pelaksanaannya.

PADA 25 Disember selepas solat jumaat, saya dijemput untuk menyertai rombongan meminang (anak Wak Ahmad) di Kg. Labohan Dagang, Banting. Seronok juga sesekali berjalan melihat adat budaya setempat. Alhamdulillah majlis tersebut berjalan dengan lancar. Semoga segala usaha mereka mendapat rahmat dari Allah. 

Sekembali dari sana, kami singgah di Masjid Sultan Abd.Samad atau Masjid KLIA. Kubahnya yang indah dengan landskap yang cantik, menarik perhatian siapa saja yang menelusuri ke lapangan terbang antarabangsa KLIA. "Kita berhenti solat asar di masjid KLIA" ujar abah. Elok sangat lah, bukan senang nak singgah masjid ni. Walaupun masjidnya indah, besar tetapi tak ramai yang sedia berhenti solat di masjid tersebut. Mungkin semua orang sibuk mengejar masa untuk check-in atau mengejar waktu supaya tidak terlepas penerbangan.

Seni bina, ukirannya menambat hati kami. Tapi ada suatu yang menarik minat saya ialah papan tanda 'fatwa pengharaman rokok' dan 'zon menutup aurat'. Tulisannya begini 
"MEROKOK ADALAH HARAM, OLEH YANG DEMIKIAN ADALAH HARAM BAGI MANA-MANA ORANG ISLAM MENGHISAP APA-APA JENIS ROKOK. BAGI MAKSUD FATWA INI ROKOK IALAH TEMBAKAU YANG DIGULUNG DENGAN KERTAS ATAU DAUN NIPAH ATAU SELAINNYA".

Saya berkeyakinan, walaupun arahan tersebut hanya berbentuk 'papan tanda' namun implikasinya sangat mendalam. Mendalam kerana orang yang merokok dan membuka auratnya secara otomatis akan malu dan segan. Setidaknya dia segan dengan 'papan tanda' walaupun sebenarnya dia 'patut malu' dengan Penciptanya. Kata pujangga:  
"orang merdeka memadai dengan isyarat (untuk memahamkannya) sedangkan hamba perlu dipukul dengan tongkat (untuk memahamannya)"

Mengapa fatwa-fatwa sebegini tidak di publishkan secara besar-besaran untuk tontonan umum? Banyak sangatkah kos perbelanjaannya untuk memartabatkan perkara yang berkaitan agama? Sebagaimana kuatnya pengaruh iklan di kaca tv, corong-corong radio, ruang-ruang iklan di jalan raya,  sehingga anak kecil pun dapat meniru dan menghayatinya maka fatwa-fatwa sebegini 'lebih lebih lagi' perlu di publishkan untuk maklumat dan penghayatan umum. Sekurang-kurangnya, walaupun 'malu' itu kerana manusia, mudah-mudahan suatu hari nanti 'malu' itu tumbuh dan mekar kerana prinsip dan dasar agama Islam.

Kebanyakan warga yang beragama Islam hari ini, memahami Islam dalam ruang lingkup situasi. Tanpa situasi, amalan-amalan agama hanya bersifat sunat atau harus. 'Buat dapat Pahala-Tinggal tak dapat apa-apa' atau 'Buat dan Tinggal sama sahaja nilaiannya'.

Justeru memartabatkan fatwa pengharaman rokok ini hendaklah dilaksanakannya dengan cara yang bersungguh-sungguh. Meletakkan gambar-gambar kanser di kotak-kotak rokok, menaikkan harga rokok, melarang remaja bawah 18 tahun membeli rokok, tidak cukup untuk menyadarkan masyarakat era globalisasi hari ini. Fatwanya tidak dilihat segar kerana pelaksanaannya yang layu. Fatwa-fatwa sebegini mesti dislogankan di sekolah-sekolah, tempat-tempat awam, premis-premis kerajaan, media elektronik, media cetak dan sebagainya. Persoalannya... maukah kita berbuat demikian?

Isu haram rokok, adalah isu sensitif sebenarnya. Lebih-lebih lagi jika teguran ini dihalakan pemacunya kearah penyokong-penyokong, ahli-ahli atau aktivis  (yang merokok) sesebuah gerakan Islam, persatuan mahasiswa Islam. Mereka sedia berdebat dalam isu murtad,isu bid`ah, isu syiah, isu hizbu tahrir atau apa-apa isu dalam negara, namun mereka (yang merokok) tidak bersedia merubah diri mereka untuk menjauhi  makhluq yang namanya 'rokok' dari kehidupan mereka. Ada saja dalil, kata-kata ulama` yang menjadi perisai mereka. Sesetengahnya menganggap 'majlis fatwa' terburu-terburu dalam mewartakan fatwanya. Bahkan ada juga yang cuba-cuba bersilat dengan 'ilmu qias' untuk membenarkan dan mengiakan hebit mereka "arak pun tuhan haram secara berperingkat, inikan rokok yang jelas tidak disebut dalam al-Quran".

Kalau tenaga pengkuliah menegur hal ini, biasanya akan surutlah peratus kehadiran pada jemputan kesekian kalinya. Bahkan demi menjaga perasaan dan hati hadirin (yang merokok) isu-isu ini cuba dielakkan. Kalau ada teguran pun, ianya sekadar sepintas lalu sahaja. Pelik kan! Pelik tapi benar! Itulah hebatnya penangan rokok dalam masyarakat kita. Semoga tulisan ini sikit sebanyak dapat membantu sahabat saya 'khattab' untuk membuat kajian dalam hal rokok. Jutaan terima kasih juga buat jawatankuasa Masjid KLIA atas sumbangan dan usaha mereka memartabatkan fatwa yang hebat ini. "Semoga usaha kalian diberikan ganjaran yang besar dari Allah taala"

2 ulasan:

  1. salam abg hafiz..
    molek2, suka dgn artikel ni.
    jazkallah (",)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...