Ahad, 13 Disember 2009

Perjalanan sebuah kelahiran

09 Disember 2009, 11.00 pagi, kami (bersama mak) bergegas ke Pusrawi Selangor Medical Center (PSMC) Kajang, setelah isteriku mengadu sakit setiap 10 minit berselang-seli. Setibanya di sana, setelah melalui beberapa prosedur kemasukan wad,  isteriku langsung dibawa menaiki kerusi roda menuju ke ‘labour room’ kerana tanda-tanda besar untuk melahirkan anak sudah ada.

 Perasaan ketika itu, tidaklah cemas sangat. Mungkin kerana pengalaman anak pertama dahulu banyak membantu menenangkan gemuruh yang ada. Ketika itu jugaklah, kami sibuk menghubungi saudara mara terdekat, terutamanya mak dan abah yang masih di Perlis memaklumkan situasi terkini. Alhamdulillah, ucapan SMS yang berbaur doa dan semangat menjadikan kami tabah menanti ketibaan ‘orang baru’ dalam keluarga kami. Mak kelihatan tenang, keberadaan mak bersama, terasa lebih kuat mengharungi saat ini. “Terima kasih Mak”.

Semasa di ‘labour room’, pihak hospital memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran yang dialunkankan oleh al-Ghamidi melalui DVD sebagai peneman hati buat isteriku yang sedang  bertarung dengan kesakitan. Peluh yang terpacul di dahinya, memek muka yang tak seperti biasa, membuatkanku faham betapa susahnya melahirkan anak. “Beginilah betapa peritnya mak-mak kita melahirkan kita” lontarku spontan buat semangat padanya.

Sekitar jam 3.00 petang, Dr.Mashitah datang melawat buat kesekian kalinya memantau perkembangan ibu dan baby melalui alat yang dipasang. Dibelek-beleknya laporan graf yang tidak ku faham bacaannya, sambil sesekali bertanyakan isteriku “sakit sangat tak? Sabar ye, boleh sabar tak? Nak ambil injection tahan sakit?”. Isteriku hanya mampu menggelengkan kepala kerana cuba mengawal memek muka sakit kepada doktor. Walhal aku sudah 3 jam berada di sisinya, sambil menggenggam erat tangannya, membantunya bertarung dengan kesakitan yang dialaminya, sesekali aku berpesan agar banyakkan berselawat dan baca ayat daripada surah A`basa, dengan mengambil berkat mudah-mudahan Allah permudahkan urusan bersalin ini.


Maksudnya: Kemudian dia memudahkan jalannya (kelahirannya). (ayat 20)

“Sebab apa taknak ambil injection (tahan sakit)” soalku minta kepastian. “taknak, takut kesan pada baby” sahut isteriku spontan.  Keengganannya untuk mengambil injection tadi adalah demi anaknya yang dikendong 9 bulan dengan penuh keperitan dan kepayahan. Khawatir jika sesuatu yang megancamnya andai suntikan itu diambil untuk keselesaannya. Dalam sesi pemantauan Dr Mashitah sekitar jam 3.00 petang tadi, ada beberapa perkara yang dimaklumkan pada kami selain rahim baru terbuka 3cm, antaranya kondisi ibu dan baby ok, jantung baby pun ok, position kepala baby pun dah masuk ke rahim cumanya kedudukan baby masih mendongak ke atas. Kami pasrah mendengar perkembangan ini dan kami berkeyakinan semuanya akan berjalan dengan baik dengan kuasa Allah. “Jangan fikir-fikir sangat, khair insyaallah, banyak bersabar” itu saja yang mampu ku ucap untuk berkongsi pilu melihat isteri yang terus menerus di asak kesakitan. Aku faham, untuk pintu rahim terbuka 10cm bukannya senang. Biasanya 1cm mengambil masa satu jam.

Setelah solat asar, aku dipanggil Dr.Mashitah memaklumkan “rahim sudah 5cm tapi baby still menelentang, tapi insyaallah nanti dia pusing la tu, lagipun anak pertama dulu pun dia pusing last-last minute jugak kan”. Aku hanya menganguk dan berserah. Sesekali aku cuba berandaian “kalau sekarang dah terbuka 5cm baru pukul 5.00 petang, maknanya pukul 10.00 malam baru bersalin la, harap-harap baby pusing la” getus hati penuh harapan dan berserah pada-Nya.

Tiba-tiba terdetik antara doa yang mustajab adalah doa orang yang bermusafir. Sepantasnya aku SMS pada mak dan abah yang sedang dalam perjalanan ke sini sambil menceritakan perkembangan baby yang masih menelentang dan mohon didoakan moga-moga keajaiban berlaku, apatah lagi berat mata memandang melihat isteriku yang semakin dahsyat sakitnya dan semakin basah baju dek peluh yang mencurah sekalipun berada di bawah penghawa dingin yang betul-betul di atas kepalanya.

“Abang! Sakit sangat ni, rasa macam baby menendang-nendang nak keluar ni” teriak isteriku minta dipanggilkan doktor. “ha, dah boleh dah ni! Dah pusing pun…Good! Ayahnya nampak tak rambut baby tu” tegas Dr.Mashitah sambil mengenakan apron dan alatan-alatannya. “Subhanallah, subhanallah, subhanallah” spontan ucapan itu keluar setelah melihat sendiri kepala yang hanya 1/3 keluar berbentuk ‘kon’. Jam dinding menunjukan 5.30 petang.“Bismillahirrahmanirrahim” Dr.Mashitah menyelop  (memasukan) tangannya untuk mengeluarkan baby yang sedikit tertelan najis, sambil meminta isteriku terus meneran tanpa putus asa. Setelah keseluruhan kepalanya keluar, doktor sempat mencuci najis yang berada dalam mulutnya.

“Macam mana boleh jadi bulat?” hatiku berbisik. Kepala yang pada awalnya keluar seperti ‘kon’ dan sekarang membentuk bulat sedikit bujur. Apabila keseluruhan tubuhnya keluar (5.38 petang) suara tangisan memecah kekalutan kami. Suasana di ‘labour room’ bertukar secerianya. Alunan al-Ghamidi terus menerus menyusup kegembiraan kami. Degupan nadi yang tadinya berlari kencang, kembali tenang setenang alunan al-Ghamidi mengalunkan surah at-Tahrim.

Syukur alhamdulillah. Anugerah Allah yang sangat berharga. Disebalik kegembiraan ini tersemat sejuta tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai ibu dan bapa mencorak agamanya. Tanggungjawab menjadikannya anak-anak yang soleh solehah. Mendukung Islam setingginya. Mendaulatkan Islam dalam kehidupannya. Berakhlak mulia sebagai pakaiannya. Amin ya rabbal a`lamin.

1 ulasan:

  1. salam ustaz! tahniah2! dapat baby baru! alhamdulillah.. syukurrr... saya tumpang gembira..

    sebenarnya masa lahir badan baby mmg bleh dipatah2kan spy celuih melalui rahim sbb ketika itu baby ada 300 tulang.. semakin meningkat dewasa, tulang2 tu akan bersambung dan hanya tinggal 206 jumlahnya seperti kita sekarang ini.. kuasa TUHAN - sunhanALLAH! (sbb tu kepalanya bleh jd mcm bentuk kon)

    ustaz apa cerita skang? sihat?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...