Rabu, 18 November 2009

Rezki itu milik Allah

HAMPIR 2 minggu jari ini tidak mengetuk keyboard, gara-gara sibuk dengan aktiviti sekolah musim peperiksaan dan persiapan ke Kuala Lumpur untuk menghantar adik (Taisir) ke Mesir setelah hampir 4 bulan pulang bercuti di tanahair. Kepulangannya bukan sekadar bercuti, tetapi menabur secebis bakti buat masyarakat di kampung. Menjadi imam terawikh, mengimarahkan masjid melalui jemputan imam sepuluh malam terakhir, slot-slot motivasi di sekolahnya adalah antara agendanya sepanjang berada di tanahair. Kalaulah di Kuliah al-Quran ada ujian "praktikal tahunan", saya rasa aktiviti-aktiviti sebegini boleh dijadikan sumbangan untuk pengajiannya. Alhamdulillah, kini dia sudahpun selamat tiba di Kaherah dan sedang menuntut di Kuliah al-Quran Shoubra. Semoga kepulangannya suatu hari nanti, membawa manfaat pada masyarakat dan Islam insyaallah.

Terkenang saya, memori 2002. Ketika itu kami 3 beradik (Hamiz & Aiman) menyambung pengajian di sana. Habis satu airport seolah-olah menjadi milik rombongan kami. Mak dan abah hantar sampai KLIA. Sedara mara yang lain hanya mengucapkan "selamat jalan" di Lapangan Terbang Alor Setar. "Pesta Banjir" menghiasi majlis wada` (perpisahan) kami. Airnya bukan hanya mengalir ditebing kami, namun desirannya turut kedengaran dipenjuru-penjuru alur bersebelahan kami.

Itulah tangisan kegembiraan yang penuh dengan harapan. Kegembiraan kerana kejayaan memberi pendidikan kepada anak-anak, setelah berhempas pulas, berpanas terik, bergolak bergadai, berkorban demi untuk melihat anak-anaknya berjaya. Kenduri kesyukuran dibuat, bukan untuk bermegahan dalam kampung atau untuk meminta-minta merayu bantuan orang ramai, tetapi untuk berkongsi kegembiraan bersama saudara mara terdekat begitu juga masyarakat setempat.

Jauh disudut hati, tangisan ini juga sebagai "kepuasan". Puas kerana boleh buktikan kepada sebilangan masyarakat, yang melihat institusi pondok sebagai "kolot" dan "tiada masa depan". Sekian lama ibubapa kita bersagang, bertekak, berhujah untuk meyakinkan sebilangan masyarakat yang tidak henti-henti menyerang, menyuntik racun, berprovokasi tentang "rezki masa depan" dek kerana mengkhadamkan diri di institusi pondok yang dilihat daif dari segala segi dan tidak menjamin masa depan yang baik.

Golongan ini seolah-olah cuba berfalsafah dengan kehidupan. Berfalsafah sehingga lupa tuhan yang menganugerahkan kehidupan. Falsafah "tak ada UPSR, PMR, SPM"
  • akan hilang masa depan.
  • akan pincang rumahtangga.
  • akan hidup mengemis dan meminta-minta.
  • tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di kolej atau universiti.
  • tidak dapat menikmati kesenangan dalam hidup
  • tidak mampu berkereta seperti orang lain
  • tidak mampu memiliki rumah seperti orang lain
  • tidak menyumbang kepada pertumbuhan kemajuan negara.
  • negara tidak merasa bangga.
  • dan banyak lagi...............
Pastinya falsafah dangkal ini bertunjangkan "hawa nafsu". Jauh dari mentauhidkan Allah. Mereka mengukur kejayaan dengan usaha yang mereka curahkan. Pada mereka "kejayaan adalah milik mereka. Setiap yang berusaha wajib beroleh hasilnya / kejayaannya" tanpa bersandarkan "tawakkal" kepadaNya. Tidakkah kita hanya disuruh untuk berusaha, bukan untuk menentukan sesuatu kejayaan.

Teringat saya pada ungkapan indah Saidina Ali RA dalam syairnya yang bermaksud:

"Bertaqwalah kamu kepada Allah seandainya kamu lalai, kerana Allah akan melimpahkan rezki kepadamu dari sumber yang kamu tidak menyangkanya" 

"Andainya kamu menyangka rezki itu puncaya adalah "kekuatan", nescaya tiadalah rezki untuk beburung kecil (u`sfur) kerana habis dibaham beburung besar (nasaj)"

Kini, di era kerancakan pembangunan, era globalisasi, era dunia tanpa sempadan, tidak ada seorangpun  lulusan institusi pondok dicatat sebagai "pengemis" atau "peminta sedekah". Malah institusi pondok (menitik beratkan tarbiah) lebih mendapat sambutan kerana kegagalan sistem pendidikan masa kini.

"Wahai Tok Saudaraku, wahai bapa saudaraku! Rezki itu bukan di tangan manusia. Rezki itu adalah milik Allah. Dialah menjadikan seseorang itu berharta, Dia juga yang menjadikan seseorang itu papa. Berserahlah kepadaNya dalam segala urusan di dunia, dan berdoalah untuk beroleh bahagia di akhirat" (Dedikasi buat mereka yang tidak yakin pada institusi pondok).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...