Ahad, 29 November 2009

Catatan Aidiladha tahun ini

PULANG ke Semenyih pada kali ini, bukan hanya sekadar untuk sambutan aidiladha sahaja, tapi juga untuk menerima 'orang baru' dalam keluarga. Perasaan gembira dan gementar sentiasa bermain difikiran. Gembira untuk sambutan aidiladha bersama keluarga mertua di sini, begitu juga gementar andainya dihari perayaan ini terdapat tanda-tanda besar akan lahirnya 'putera' yang sekian lama kami tunggu buat penambat kasih rumahtangga kami yang sudah 4 tahun usianya. Gementar kerana, dibimbangi Dr. Mashitah yang bertugas di Hospital Pusrawi Kajang tidak dapat menyambut kelahiran cahaya mata kami. Kepercayaan dan harapan kami tersemat pada nya, apatah lagi pengalaman dia menyambut kelahiran pertama kami menguatkan lagi sandaran harapan kami padanya, barangkali 'kesarjanaanya' membuat kami percaya padanya. Maklum sajalah, hari raya adalah hari bersama keluarga. Alhamdulillah... detik gementar itu telah pun berlalu. Kini kami menanti penuh sabar, detik masa dan ketikanya.

Solat aidiladha di surau al-Ittihad Taman Tasik Semenyih (TTS). Solat di imamkan dan khutbahnya disampaikan oleh Tuan Haji Syukri, imam 1 surau TTS. Acara korban berjalan seperti tahun-tahun sebelumnya. 3 ekor lembu berjaya dikorban dan dilapah serta dibahagikan-bahagikan kepada para peserta. Alhamdulillah, pengurusan yang cekap dan perancangan yang rapi, kerja-kerja penyelenggaraan daging korban dapat disempurnakan sebelum jam 12.30 tengahari. Kemudian masing-masing bergegas mempersiapkan diri untuk solat jumaat.

Jam 3.00 petang, kami menuju ke rumah maklang Pah-Paklang Jit, yang terletak di taman Bandar Tasik Kesuma. Buat julung-julung kalinya sambutan 'family gathering' di rumahnya. Kemeriahan di sana membuatkan saya rasa sedikit 'cemburu'. Cemburu kerana 'kemesraan' dan 'kasih sayang' mereka masih segar dan mekar, berbanding apa yang dapat saya rasakan disebelah saudara mara disebelah saya. Namun syukur alhamdulillah, saya masih ada mak, abah, adik-adik, ipar duai serta keluarga saudara mara terdekat yang masih kuat, utuh dan prihatin kepada keluarga kami, dan menyokong kami dalam segala hal.

Walaupun tanpa Hamim, Acik dan A`mru (di Bt.Arang), Azrin (di Beirut), Munirah dan Ukasyah (di KSS) serta paknjang dan maknjang sekeluarga tidak dapat berada dalam majlis keluarga hari itu, namun kemeriahannya tetap sama. Senyuman, ketawa, gembira menjadi penyeri aidiladha kali ini. Sesekali terdetik juga, bagaimana suasana kemeriahan di Jejawi. Walaupun saya tidak berada di sana, namun saya dapat rasakan, mak dan abah pasti gembira dengan kepulangan anak-anak dan cucu tersayang menyerikan sambutan aidiladha di sana. "Selamat hari raya buat mak dan abah tercinta, begitu juga buat Hamiz, Aiman, Musab, Ani dan Aufa, tak lupa juga buat Taisir yang berada di Mesir, maaf zahir dan batin dari Hafiz, Along dan Hilyatulhusna buat semua"

Malamnya pula, hidangan sup tulang menjadi sajian para jemaah di surau. Sudah lamanya rasanya tak makan sup tulang periuk besar ini. Rasanya mesti tak sama dengan sup yang dimasak dalam kuantiti yang sedikit. 'Pergggghh' itulah nikmat penangan sup tulang. Keenakannya tak dapat digambarkan. Cuaca hujan renyai-renyai dengan iklim yang sejuk menjadikan sup tulang bagaikan 'GorPis' panas. Tongkol demi tongkol dicedok dan dihidangkan. Daging tulang-tulang belakang habis dikunyah, dihisap antara rantaian tulang dengan seenaknya. Cuaca sejuk yang mengiringi pesta makan kami berubah menjadi panas. Ramai yang mula berkira-kira untuk mencari 'limau nipis' bahkan ada yang bercita untuk mengunyahnya, sebagai langkah 'potong lemak' atau 'berjaga-jaga' dari perkara yang tak diingini berlaku. Inilah antara kemeriahan aidiladha pada tahun ini.

Semoga aidiladha kali ini, menjadikan kita manusia yang baik dan bertaqwa dengan memahami pengertian korban yang sebenarnya di kehendaki agama. "Selamat Hari Raya Aidiladha Maaf Zahir & Batin"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...