Selasa, 3 November 2009

Berharganya Masa


TAQWIM 1430/2009 semakin ke penghujung. Begitulah cepatnya masa berlalu meninggalkan kita. Dulu, semasa masih tadika, cikgu-cikgu gambarkan “Masa” seperti “Emas”. Maka terungkaplah “Masa Itu Emas”. Setelah masuk ke institusi pondok, ustaz dan ustazah gambarkan “Masa” laksana “Pedang”. Maka diratiblah dalam bentuk syair 


  "الوقـتُ كا لسّـــيـْفِ فـإن لـَمْ تـَقـْطـَعْهُ قـَـطـَعَــكَ"


Maksudnya:
Masa itu ibarat pedang, maka jika kamu tidak memotongnya, dia pasti memotong kamu”


Begitulah betapa pentingnya masa bagi manusia. Masa adalah kehidupan. Sedetik masa berlalu, ia tidak boleh diganti. Hanya orang yang bijak sahaja yang akan memanfaatkan masa yang dianugerahkan padanya.

Ibnu Umar RA meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh sekumpulan Ansar. Lalu bertanya seorang dikalangan mereka “wahai Rasulullah! siapakah (ciri) orang yang paling bijak?” jawab baginda: “Orang yang sangat banyak mengingati mati, dan sangat kuat mempersiapkan diri untuk menghadapi mati. Mereka pergi meninggalkan dunia dengan kemuliaan, dan memperoleh kemuliaan akhirat”  (Ibnu Majah)

Hampir seminggu blog ini tak di update. Bukan bosan untuk terus berkarya, atau kering idea untuk berbicara, tetapi kesibukan tugas yang dihadapi mutakhir ini. Ditambahkan lagi faktor kesihatan yang sedikit mengganggu. Setelah sembuh, bergelut pula untuk ulang alik ke Putera Medical Center (PMC) kerana kesihatan bonda yang sedikit terganggu, sehingga terpaksa “admitted” di wad 5. Sehingga catatan ini ditulis, bonda masih lagi berada di sana. “Semoga Allah sembuhkan penyakit bonda” itulah doa yang sentiasa terpahat dibibir. Begitulah cepatnya masa berlalu. 

Di rumah, sedar tak sedar perut isteriku semakin membesar. “Dah berapa bulan anak kita ni?” itulah soalan yang selalu saya ungkapkan, sekalipun diratib beberapa kali tentang usia anak kami yang bakal dilahirkan. Begitu juga Hilyatul Husna, dalam keasyikan menggonggong botol susunya, dia seakan mengharapkan perhatian “Abah! Kakak dah besarkan! kakak dah 3 tahun kan! Tahun depan kakak sekolah matghi (MATRI) kan, nanti abah hantar adik di Montel Kid, umi hantar kakak sekolah kan!” sergah hilya minta persetujuan. Fahamlah saya, dia sudah besar dan begitu cepat masa berlalu. 

Sebelum berkahwin dulu, tanda tanya yang sering mengusik lamunan ialah “bagaimana nak menjadi “suami yang baik” kepada isteri dan “ayah yang baik” kepada anak-anak”. Itu tidak termasuk “punca kewangan” yang selalu mengerutkan dahi bila berada di alam rumahtangga. Apatah lagi sebelum berkahwin, elaun bersih mengajar hanya RM500. Semangat yang tadinya berkobar-kobar ingin berumah dan tangga akhirnya “tersentot” seketika. Apatah lagi ada suara-suara sumbang bernada sinis “himpun la dulu duit kalau nak kawin, jangan susahkan mak abah” kata-kata ini sangat menyentuh perasaan saya. 

Justeru (ketika bujang) sebelum melelapkan mata, otak saya mula bermatematik, “agaknya bila tahun gaji bulanan yang sebanyak ini (RM500) dapat dihimpun kemudian baru boleh nak kawin?” 

Itulah asam garam untuk berumahtangga. Kini, usia perkahwinan kami sudah menjangkau 4 tahun. Rezki datang bergolek bila sudah berkahwin, sekalipun terpaksa membuat pinjaman peribadi membiayai pengajian isteri yang masih berbaki setahun. Namun segala kesempitan ditunjukkanNya jalan keluar. “Syukurrrr Alhamdulillah meminjam intonasi iklan Hai-O. 

Sekarang, disebalik kebahagian bersama isteri dan anak, kami masih mempunyai ibu dan ayah, adik-adik ipar duai yang sangat akrab, saya menanti penuh debaran kelahiran cahaya mata kami yang kedua. Insyaallah dijangka pertengahan disember 2009. Boleh jadi awal dari tarikh yang diberikan. 


Terima kasih buat mak dan abah di Jejawi dan Semenyih. Adik-adik serta ipar duai yang sangat “sporting”. Sungguh lama rupanya mak dan abah berkorban untuk membesarkan kami. Kini.. giliran kami menabur jasa dan bakti yang sebenarnya tidak terbalas kepada mereka. 

Begitulah… berharganya anugerah “Masa”.

1 ulasan:

  1. A quite good story..

    Harap blog ni sentiasa update info-info yang menarik.

    don't forget to leave your comment in myutusanmalaysia.blogspot.com

    Wani-dsp,
    My Utusan Malaysia

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...