Ahad, 29 November 2009

Catatan Aidiladha tahun ini

PULANG ke Semenyih pada kali ini, bukan hanya sekadar untuk sambutan aidiladha sahaja, tapi juga untuk menerima 'orang baru' dalam keluarga. Perasaan gembira dan gementar sentiasa bermain difikiran. Gembira untuk sambutan aidiladha bersama keluarga mertua di sini, begitu juga gementar andainya dihari perayaan ini terdapat tanda-tanda besar akan lahirnya 'putera' yang sekian lama kami tunggu buat penambat kasih rumahtangga kami yang sudah 4 tahun usianya. Gementar kerana, dibimbangi Dr. Mashitah yang bertugas di Hospital Pusrawi Kajang tidak dapat menyambut kelahiran cahaya mata kami. Kepercayaan dan harapan kami tersemat pada nya, apatah lagi pengalaman dia menyambut kelahiran pertama kami menguatkan lagi sandaran harapan kami padanya, barangkali 'kesarjanaanya' membuat kami percaya padanya. Maklum sajalah, hari raya adalah hari bersama keluarga. Alhamdulillah... detik gementar itu telah pun berlalu. Kini kami menanti penuh sabar, detik masa dan ketikanya.

Solat aidiladha di surau al-Ittihad Taman Tasik Semenyih (TTS). Solat di imamkan dan khutbahnya disampaikan oleh Tuan Haji Syukri, imam 1 surau TTS. Acara korban berjalan seperti tahun-tahun sebelumnya. 3 ekor lembu berjaya dikorban dan dilapah serta dibahagikan-bahagikan kepada para peserta. Alhamdulillah, pengurusan yang cekap dan perancangan yang rapi, kerja-kerja penyelenggaraan daging korban dapat disempurnakan sebelum jam 12.30 tengahari. Kemudian masing-masing bergegas mempersiapkan diri untuk solat jumaat.

Jam 3.00 petang, kami menuju ke rumah maklang Pah-Paklang Jit, yang terletak di taman Bandar Tasik Kesuma. Buat julung-julung kalinya sambutan 'family gathering' di rumahnya. Kemeriahan di sana membuatkan saya rasa sedikit 'cemburu'. Cemburu kerana 'kemesraan' dan 'kasih sayang' mereka masih segar dan mekar, berbanding apa yang dapat saya rasakan disebelah saudara mara disebelah saya. Namun syukur alhamdulillah, saya masih ada mak, abah, adik-adik, ipar duai serta keluarga saudara mara terdekat yang masih kuat, utuh dan prihatin kepada keluarga kami, dan menyokong kami dalam segala hal.

Walaupun tanpa Hamim, Acik dan A`mru (di Bt.Arang), Azrin (di Beirut), Munirah dan Ukasyah (di KSS) serta paknjang dan maknjang sekeluarga tidak dapat berada dalam majlis keluarga hari itu, namun kemeriahannya tetap sama. Senyuman, ketawa, gembira menjadi penyeri aidiladha kali ini. Sesekali terdetik juga, bagaimana suasana kemeriahan di Jejawi. Walaupun saya tidak berada di sana, namun saya dapat rasakan, mak dan abah pasti gembira dengan kepulangan anak-anak dan cucu tersayang menyerikan sambutan aidiladha di sana. "Selamat hari raya buat mak dan abah tercinta, begitu juga buat Hamiz, Aiman, Musab, Ani dan Aufa, tak lupa juga buat Taisir yang berada di Mesir, maaf zahir dan batin dari Hafiz, Along dan Hilyatulhusna buat semua"

Malamnya pula, hidangan sup tulang menjadi sajian para jemaah di surau. Sudah lamanya rasanya tak makan sup tulang periuk besar ini. Rasanya mesti tak sama dengan sup yang dimasak dalam kuantiti yang sedikit. 'Pergggghh' itulah nikmat penangan sup tulang. Keenakannya tak dapat digambarkan. Cuaca hujan renyai-renyai dengan iklim yang sejuk menjadikan sup tulang bagaikan 'GorPis' panas. Tongkol demi tongkol dicedok dan dihidangkan. Daging tulang-tulang belakang habis dikunyah, dihisap antara rantaian tulang dengan seenaknya. Cuaca sejuk yang mengiringi pesta makan kami berubah menjadi panas. Ramai yang mula berkira-kira untuk mencari 'limau nipis' bahkan ada yang bercita untuk mengunyahnya, sebagai langkah 'potong lemak' atau 'berjaga-jaga' dari perkara yang tak diingini berlaku. Inilah antara kemeriahan aidiladha pada tahun ini.

Semoga aidiladha kali ini, menjadikan kita manusia yang baik dan bertaqwa dengan memahami pengertian korban yang sebenarnya di kehendaki agama. "Selamat Hari Raya Aidiladha Maaf Zahir & Batin"

Jumaat, 20 November 2009

Sekitar Majlis Persaraan Cikgu Zul

 
Cikgu Intan Dzulhailah mempengerusikan majlis

En.Rahim Bulat (Pemangku YDP PIBG) turut menyampaikan ucapan
 
En.Khairuddin Wahab (wakil Pengarah JPNPs) turut berkongsi pengalaman  

En.Zulkifli Saad (GPK1) menyampaikan amanat buat warga sekolah


 Volkswagen Antik untuk perarakan pulang cikgu Zulkifli
 
En.Khairuddin menyerahkan replika persaraan sebelum cikgu Zul dihantar ke rumahnya
 
 Lambaian seorang pendidik buat anak muridnya
 
Senyuman & lambaian penuh syahdu, GB memandu sendiri kereta perarakan

 "doakan kejayaan kami!"
 
"belajar rajin-rajin tau, semoga berjaya, doakan cikgu"
 
"SKS sentiasa di hati cikgu, terima kasih semua"

Kesimpulannya; kami berterima kasih di atas sumbangan cikgu Zul sepanjang berada dalam dunia pendidikan. Saya percaya cikgu akan sentiasa bercerita babak-babak manisnya berkehidupan di dunia pendidikan. Pastinya saya dan kawan-kawan terutama guru-guru j-QAF di SKS sangat gembira dengan kemesraan cikgu. Kebaikan cikgu pasti terukir dilubuk hati kami.


Buat Tuan Guru Besar, En. Shahril Ridzwan Wan, saya merakamkan penghargaan buat cikgu, kerana berusaha gigih sehingga majlis persaraan ini menjadi "gah dan hebat"  sekalipun berhadapan dengan berbagai cabaran dan ujian dalam menjayakan majlis ini. Tidak pernah saya lihat satu istiadat persaraan sebegini rupa walaupun sepanjang saya berkhidmat sudah dua orang guru bersara wajib dari perkhidmatan. 

Saya juga percaya slogan yang cikgu laungkan "Satu sekolah bersama PIBG, warga sekolah didahulukan, pencapaian di utamakan" akan terlaksana insyaallah.! Good Luck SKSantan! Santan BOLEH!

Khamis, 19 November 2009

Amirul, PSRA dan UPSR - Tahniah!


TELEFON mula berdering. SMS masuk bertali arus menanyakan UPSR sekolah masing-masing. Semuanya teruja menanti keputusan penuh debaran. Bagi saya, debaran keputusan UPSR sedikit pun tidak bertiup di sanubari saya. Entah mengapa… saya pun tak faham. Mungkin kerana saya tidak melalui sistem  persekolahan nasional. Namun begitu, tempias “ingin tahu” pencapaian UPSR sekolah tetap ada, mungkin kerana sudah berada di arus pendidikan. Mau tak mau, perasaan itu pasti berbenih apabila bergelar seorang guru.

“Sekolah kita 9 orang dapat 5A, yang 4A 1B tak kira lagi… dalam belas-belas jugak la” ujar Pn. Nawal melalui telefon. “Haa adikkk! Adik dapat berapa A ha? Nak call mak lah” sahut isteri saya sambil mencapai handphone yang berada di atas sofa. Saya yang masih terpinga-pinga dengan situasi itu baru terperasan, rupanya si Amirul Firdaus (adik ipar) juga sedang menanti keputusan dengan penuh debaran.

“Kurang memuaskan. Dapat 3A 2B je. Takpelah” jelas mertuaku dengan nada biasa. Lagipun seminggu sebelumnya adik sudah mendapat 94% dengan keputusan “Mumtaz” dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA). PSRA adalah penilaian matapelajaran agama di seluruh Selangor, meliputi matapelajaran akhlak, sirah, tauhid, feqah, imla` , seni khat, tajwid dan hafazan al-Quran. Saya melihat, keputusan UPSR nya sedikitpun tidak menjejaskan peluangnya untuk menyambung pelajarannya di sekolah yang menyediakan aliran agama dan aliran sains jika dibandingkan dengan calon-calon yang hanya mendapat 5A tetapi hanya “Maqbul” dalam PSRA. Bahkan jika di amati, peluangnya lebih cerah berbanding kawan-kawannya yang mendapat 5A.

Apapun tahniah buat Amirul Firdaus dari abang hafiz, along dan hilyatulhusna. Sesungguhnya kejayaan itu adalah hadiah buat diri adik. Banyak bersyukur pada-Nya yang menganugerahkan kecerdikan dan kebijaksanaan sebagai alat untuk mencari ilmu. Ilmu itu di datangi (dicari), bukan mendatangi. Justeru untuk memperoleh ilmu pasti dengan usaha. Syair arab ada terungkap:

“Andainya ilmu itu dapat diperolehi dengan angan-angan,
nescaya takkan ada di bumi ini orang yang jahil”


Buat semua calon UPSR 2009 “alfu mabruuk buat kalian... yang mendapat 5A "banyakkan syukur padaNya"... yang tak dapat 5A "usaha lagi, kerana Allah tak menilai A kamu, tapi DIA menilai usaha kamu"... yang dapat 5A ingat..! itu bukan kerana usaha kamu tetapi adalah anugerahNya pada kamu... "Banyakkan bersyukur".

Rabu, 18 November 2009

Rezki itu milik Allah

HAMPIR 2 minggu jari ini tidak mengetuk keyboard, gara-gara sibuk dengan aktiviti sekolah musim peperiksaan dan persiapan ke Kuala Lumpur untuk menghantar adik (Taisir) ke Mesir setelah hampir 4 bulan pulang bercuti di tanahair. Kepulangannya bukan sekadar bercuti, tetapi menabur secebis bakti buat masyarakat di kampung. Menjadi imam terawikh, mengimarahkan masjid melalui jemputan imam sepuluh malam terakhir, slot-slot motivasi di sekolahnya adalah antara agendanya sepanjang berada di tanahair. Kalaulah di Kuliah al-Quran ada ujian "praktikal tahunan", saya rasa aktiviti-aktiviti sebegini boleh dijadikan sumbangan untuk pengajiannya. Alhamdulillah, kini dia sudahpun selamat tiba di Kaherah dan sedang menuntut di Kuliah al-Quran Shoubra. Semoga kepulangannya suatu hari nanti, membawa manfaat pada masyarakat dan Islam insyaallah.

Terkenang saya, memori 2002. Ketika itu kami 3 beradik (Hamiz & Aiman) menyambung pengajian di sana. Habis satu airport seolah-olah menjadi milik rombongan kami. Mak dan abah hantar sampai KLIA. Sedara mara yang lain hanya mengucapkan "selamat jalan" di Lapangan Terbang Alor Setar. "Pesta Banjir" menghiasi majlis wada` (perpisahan) kami. Airnya bukan hanya mengalir ditebing kami, namun desirannya turut kedengaran dipenjuru-penjuru alur bersebelahan kami.

Itulah tangisan kegembiraan yang penuh dengan harapan. Kegembiraan kerana kejayaan memberi pendidikan kepada anak-anak, setelah berhempas pulas, berpanas terik, bergolak bergadai, berkorban demi untuk melihat anak-anaknya berjaya. Kenduri kesyukuran dibuat, bukan untuk bermegahan dalam kampung atau untuk meminta-minta merayu bantuan orang ramai, tetapi untuk berkongsi kegembiraan bersama saudara mara terdekat begitu juga masyarakat setempat.

Jauh disudut hati, tangisan ini juga sebagai "kepuasan". Puas kerana boleh buktikan kepada sebilangan masyarakat, yang melihat institusi pondok sebagai "kolot" dan "tiada masa depan". Sekian lama ibubapa kita bersagang, bertekak, berhujah untuk meyakinkan sebilangan masyarakat yang tidak henti-henti menyerang, menyuntik racun, berprovokasi tentang "rezki masa depan" dek kerana mengkhadamkan diri di institusi pondok yang dilihat daif dari segala segi dan tidak menjamin masa depan yang baik.

Golongan ini seolah-olah cuba berfalsafah dengan kehidupan. Berfalsafah sehingga lupa tuhan yang menganugerahkan kehidupan. Falsafah "tak ada UPSR, PMR, SPM"
  • akan hilang masa depan.
  • akan pincang rumahtangga.
  • akan hidup mengemis dan meminta-minta.
  • tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di kolej atau universiti.
  • tidak dapat menikmati kesenangan dalam hidup
  • tidak mampu berkereta seperti orang lain
  • tidak mampu memiliki rumah seperti orang lain
  • tidak menyumbang kepada pertumbuhan kemajuan negara.
  • negara tidak merasa bangga.
  • dan banyak lagi...............
Pastinya falsafah dangkal ini bertunjangkan "hawa nafsu". Jauh dari mentauhidkan Allah. Mereka mengukur kejayaan dengan usaha yang mereka curahkan. Pada mereka "kejayaan adalah milik mereka. Setiap yang berusaha wajib beroleh hasilnya / kejayaannya" tanpa bersandarkan "tawakkal" kepadaNya. Tidakkah kita hanya disuruh untuk berusaha, bukan untuk menentukan sesuatu kejayaan.

Teringat saya pada ungkapan indah Saidina Ali RA dalam syairnya yang bermaksud:

"Bertaqwalah kamu kepada Allah seandainya kamu lalai, kerana Allah akan melimpahkan rezki kepadamu dari sumber yang kamu tidak menyangkanya" 

"Andainya kamu menyangka rezki itu puncaya adalah "kekuatan", nescaya tiadalah rezki untuk beburung kecil (u`sfur) kerana habis dibaham beburung besar (nasaj)"

Kini, di era kerancakan pembangunan, era globalisasi, era dunia tanpa sempadan, tidak ada seorangpun  lulusan institusi pondok dicatat sebagai "pengemis" atau "peminta sedekah". Malah institusi pondok (menitik beratkan tarbiah) lebih mendapat sambutan kerana kegagalan sistem pendidikan masa kini.

"Wahai Tok Saudaraku, wahai bapa saudaraku! Rezki itu bukan di tangan manusia. Rezki itu adalah milik Allah. Dialah menjadikan seseorang itu berharta, Dia juga yang menjadikan seseorang itu papa. Berserahlah kepadaNya dalam segala urusan di dunia, dan berdoalah untuk beroleh bahagia di akhirat" (Dedikasi buat mereka yang tidak yakin pada institusi pondok).

Sabtu, 7 November 2009

Antara percaya dan tidak

ANTARA percaya dengan tidak. Itulah ungkapan yang bermain dibenak saya. "Mengapa bila Dr. Asri yang dicekup, baru isu tauliah diperbahaskan". Sedarkah kita amalan "tauliah" ini apabila dilaksanakan dengan campur tangan politik akan merugikan umat Islam (masyarakat) setempat. Di Perlis contohnya, banyak lagi masjid yang mempunyai imam-imam yang tidak berkualiti bacaannya. Pelat "makhrajnya" nya. Sumbang "tajwid" nya. Samar "fasohah" nya. Mendatar intonasi khutbahnya. Sedikit sangat mereka (imam) yang mempunyai "kesarjanaan" (meminjam istilah drmaza) atau latar belakang akademik yang selayaknya untuk memikul jawatan imam. Alhamdulillah, masjid-masjid besar di Perlis mempunyai imam-imam yang sangat berkualiti, apatah lagi mempunyai "kesarjanaan" dalam bidang itu.

Persoalannya; bagaimana dengan (sebilangan besar) imam-imam di kampung-kampung? Atas "merit" apa mereka dilantik?. Atau mereka dilantik dengan kuasa "tangan ghaib" orang politik? atau yang bekerja untuk maslahat org politik? Di atas instrumen apa mereka dinilai? Tidakkah Rasulullah telah memberi kriteria-kriteria  untuk memilih imam? Mengapa tak di ikut? Kununnya pengamal sunnah! Sunnah apa yang di ikut? Apakah sunnah itu hanya diteladani dalam soal-soal yang berkaitan dengan wirid jamaah, basmalah jahr atau sirr, qunut subuh atau tidak? Baginda SAW bersabda:

"Hendaklah dipilih menjadi imam pada suatu kaum mereka yang faqeh bacaannya, seandainya mereka sama (kelayakannya), hendaklah yang lebih megetahui sunnah, maka seandainya mereka sama (kelayakannya), hendaklah yang lebih dahulu hijrah, seandainya mereka sama (kelayakannya), maka hendaklah memilih mereka yang lebih berusia....... " (riwayat Muslim - Riyadhus Solihin, Bab 44, bil. hadis 348)

Semasa penangkapan Dr.Asri dulu, saya antara yang tidak bersetuju dengan penangkapan tersebut, kerana "kesarjanaan" yang dimilikinya, sudah cukup membuktikan dia seorang yang berilmu dan bertauliah. Namun disudut yang lain, saya juga merasa puas. Puas kerana akhirnya dia juga merasai bagaimana dicekup kerana tidak mempunyai tauliah (majlis).  Sepatutnya semasa menjadi mufti dahulu, dia sudah perjuangkan hal tauliah ini sehingga undang-undang ini dimansuhkan. Sekalipun alasannya, dia tidak menguat kuasakan undang-undang itu namun apakah dia bersetuju undang-undang itu terus dilaksanakan. Kedudukan yang disandang ketika itu, sebenarnya "platform" terbaik untuk dia bertindak memansuhkan "tauliah" itu. Apatah lagi dia juga petah berhujjah, dengan dalil-dalil serta rujukan-rujukan yang boleh di jadikan sebagai "evidence" buat semua.

Saya juga merasa kesal atas kenyataan, beliau merasa dukacita dengan kerajaan Pakatan rakyat (PR) dalam isu tauliah ini.Dukacitanya, (kerajaan Pakatan Rakyat) Selangor yang dikatakan cuba membawa agenda reformasi dan perubahan, tetapi undang-undang seperti ini masih ada,” katanya. (malaysiakini)

"Mengapa kerajaan PR yang dipersalahkan, mengapa tidak dihalakan sahaja senjata itu kepada "payung" tempat JAIS bernaung. Bukankah institusi agama di setiap negeri duduk kuasa di bawahnya? sehinggakan kuasa melantik pengerusi majlis agama atau jabatan agama mesti mendapat persetujuan darinya? atau bimbang dengan tekanan-tekanan yang mungkin datang?" saya terus menggomel seorang diri, sekalipun anak saya bertanya "abah cakap dengan sapa?" soalnya minta penjelasan.

Dari sudut yang lain, saya melihat Dr.Asri dikalangan yang beruntung. Kenapa? Sekali dia diuji, sokongan yang diraih sangat hebat. Lihat sajalah, pemimpin mana yang tidak membelanya. Baik dikalangan PR atau BN sama-sama menyokongnya. Bukan sekadar itu, Marina Mahathir juga datang ke mahkamah sampaikan pesanan ayahnya. Hebat kan!

Namun, bahasanya lunak bila menegur pemerintah, tapi sinis dalam menegur pembangkang. Kalau kerajaan PR di Selangor membuat dia berdukacita dek isu tauliah, bagaimana pula pihak yang JAIS bernaung di bawah bidang kuasanya? adakah beliau turut berdukacita dengan pihak tersebut? Kalau juga berduka, mengapa di sembunyikan kan pihak itu?

Sebenarnya antara percaya dengan tidak.

Khamis, 5 November 2009

Umrah untuk final Piala Malaysia

ISU minggu ini sangat menarik. Isu rasuah la, isu penangkapan Dr. Mohd Asri la, isu tuntutan royalti oleh kerajaan Kelantan la, dan banyak lagi lah. Tak tahu nak respon tentang isu apa. Banyak sangat isu. Tapi kalau takdak isu, minda pasti lembab, otak kurang fikir, orang pun takdak topik nak sembang, akhbar harian akan merudum penjualannya. Dalam banyak-banyak isu dan topik berita, saya tertarik dengan respon Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap imbuhan istimewa menanti pemain dan pegawai pasukan bolasepak negeri Kelantan yang berjaya memasuki final Piala Malaysia. Itu belum lagi membawa pulang trofi Piala Malaysia. Kalau hasrat ini tercapai, inilah buat julung kalinya Piala Malaysia bertandang di bumi "Serambi Mekah".


Ramai yang tertanya-tanya tentang imbuhan istimewa itu. YB MB menyebut, kerajaan akan memberikan imbuhan istimewa, yang tak pernah diberi oleh negeri-negeri lain. "Apa yang MB nak bagi agak anta syeikh? Takkan nak bagi tanah kot, duit royalti pun tak dapat!" Saya cuba berteka-teki dalam hal ini. Kenapa?

Kerana idea TGNA sangat unik. Sesuatu yang TGNA buat, walaupun pada mulanya banyak tentangan dan serangan, namun akhir sekali, semua dapat menerima ideanya. Contohnya; isu tuhan samseng suatu ketika dulu. Heboh satu malaya menyerang TGNA. Begitu jugak isu bawa Mawi buat konsert di Kelantan. Ramai yang menyerang TGNA, samaada dari BN atau PAS sendiri. Tapi akhirnya; semuanya tutup mulut bila melihat pelaksanaannya.

Hari ini (Rabu 4 Nov) saya tersenyum lama sambil menganggukkan kepala. "Apa yang menarik tu sampai tersengeh sorang-sorang?" cuit isteri minta penjelasan. "Hebat MB ni... hebat hebat!" saya membiarkan isteri dengan "telinga kera" meminta penjelasan. "Pasukan Kelantan dapat imbuhan menunaikan umrah kerana masuk final" jelas saya. (baca sini) 

Mungkin imbuhan sebegini agak biasa bagi orang yang punya lambakan wang. Tetapi imbuhan ini menarik perhatian saya kerana yang menganugerahkan imbuhan ini adalah kerajaan Kelantan yang di ikat kaki dan tangan oleh kerajaan pusat untuk mentadbir negeri "Cik Siti Wan Kembang". MB nya pulak orang kopiah lebai "Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat". Tapi ambil "cakna" dengan pasukan bolasepak negeri. Ambil berat tentang perkembangan hiburan tanahair sehingga berjaya bawa Mawi ke Kelantan. Akhirnya, saya dapat rasakan mesej yang nak disampaikan ialah "Islam bukan milik orang kopiah lebai, bukan milik yang bertitle "ustaz ustazah" dan bukan juga hanya mementingkan persoalan ibadat di masjid". Islam yang ditonjolkan sangat praktikal dan hidup. Itulah seninya kepimpinan TGNA. Kini semua golongan memahami Islam tidak menolak hiburan, tetapi Islam memandu hiburan mengikut lunas-lunas dan etika Islam.


Di samping umrah sebagai imbuhan, umrah juga merupakan peluang menjadi tetamu Allah. Boleh saja imbuhan itu ke Astralia, melihat keindahan kota Sydney, atau boleh saja ke Paris melihat kemegahan menara Eifel, atau ke Turki melihat khazanah kerajaan Otoman yang melakar kegemilangan tamaddun Islam suatu ketika dulu atau ke mana-mana saja. Namun pastinya semua itu tidak dapat disamakan dengan imbuhan menjadi tetamu Allah di tanah suci Mekah al-Mukarramah dan Medinah al-Munawwarah.

"Kalau lah saya dalam pasukan Red Warriors, pastinya saya akan merindui dan menanti hari itu... tapi apakan daya, saya hanya meminati pasukan Red Devils"

Selasa, 3 November 2009

Berharganya Masa


TAQWIM 1430/2009 semakin ke penghujung. Begitulah cepatnya masa berlalu meninggalkan kita. Dulu, semasa masih tadika, cikgu-cikgu gambarkan “Masa” seperti “Emas”. Maka terungkaplah “Masa Itu Emas”. Setelah masuk ke institusi pondok, ustaz dan ustazah gambarkan “Masa” laksana “Pedang”. Maka diratiblah dalam bentuk syair 


  "الوقـتُ كا لسّـــيـْفِ فـإن لـَمْ تـَقـْطـَعْهُ قـَـطـَعَــكَ"


Maksudnya:
Masa itu ibarat pedang, maka jika kamu tidak memotongnya, dia pasti memotong kamu”


Begitulah betapa pentingnya masa bagi manusia. Masa adalah kehidupan. Sedetik masa berlalu, ia tidak boleh diganti. Hanya orang yang bijak sahaja yang akan memanfaatkan masa yang dianugerahkan padanya.

Ibnu Umar RA meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh sekumpulan Ansar. Lalu bertanya seorang dikalangan mereka “wahai Rasulullah! siapakah (ciri) orang yang paling bijak?” jawab baginda: “Orang yang sangat banyak mengingati mati, dan sangat kuat mempersiapkan diri untuk menghadapi mati. Mereka pergi meninggalkan dunia dengan kemuliaan, dan memperoleh kemuliaan akhirat”  (Ibnu Majah)

Hampir seminggu blog ini tak di update. Bukan bosan untuk terus berkarya, atau kering idea untuk berbicara, tetapi kesibukan tugas yang dihadapi mutakhir ini. Ditambahkan lagi faktor kesihatan yang sedikit mengganggu. Setelah sembuh, bergelut pula untuk ulang alik ke Putera Medical Center (PMC) kerana kesihatan bonda yang sedikit terganggu, sehingga terpaksa “admitted” di wad 5. Sehingga catatan ini ditulis, bonda masih lagi berada di sana. “Semoga Allah sembuhkan penyakit bonda” itulah doa yang sentiasa terpahat dibibir. Begitulah cepatnya masa berlalu. 

Di rumah, sedar tak sedar perut isteriku semakin membesar. “Dah berapa bulan anak kita ni?” itulah soalan yang selalu saya ungkapkan, sekalipun diratib beberapa kali tentang usia anak kami yang bakal dilahirkan. Begitu juga Hilyatul Husna, dalam keasyikan menggonggong botol susunya, dia seakan mengharapkan perhatian “Abah! Kakak dah besarkan! kakak dah 3 tahun kan! Tahun depan kakak sekolah matghi (MATRI) kan, nanti abah hantar adik di Montel Kid, umi hantar kakak sekolah kan!” sergah hilya minta persetujuan. Fahamlah saya, dia sudah besar dan begitu cepat masa berlalu. 

Sebelum berkahwin dulu, tanda tanya yang sering mengusik lamunan ialah “bagaimana nak menjadi “suami yang baik” kepada isteri dan “ayah yang baik” kepada anak-anak”. Itu tidak termasuk “punca kewangan” yang selalu mengerutkan dahi bila berada di alam rumahtangga. Apatah lagi sebelum berkahwin, elaun bersih mengajar hanya RM500. Semangat yang tadinya berkobar-kobar ingin berumah dan tangga akhirnya “tersentot” seketika. Apatah lagi ada suara-suara sumbang bernada sinis “himpun la dulu duit kalau nak kawin, jangan susahkan mak abah” kata-kata ini sangat menyentuh perasaan saya. 

Justeru (ketika bujang) sebelum melelapkan mata, otak saya mula bermatematik, “agaknya bila tahun gaji bulanan yang sebanyak ini (RM500) dapat dihimpun kemudian baru boleh nak kawin?” 

Itulah asam garam untuk berumahtangga. Kini, usia perkahwinan kami sudah menjangkau 4 tahun. Rezki datang bergolek bila sudah berkahwin, sekalipun terpaksa membuat pinjaman peribadi membiayai pengajian isteri yang masih berbaki setahun. Namun segala kesempitan ditunjukkanNya jalan keluar. “Syukurrrr Alhamdulillah meminjam intonasi iklan Hai-O. 

Sekarang, disebalik kebahagian bersama isteri dan anak, kami masih mempunyai ibu dan ayah, adik-adik ipar duai yang sangat akrab, saya menanti penuh debaran kelahiran cahaya mata kami yang kedua. Insyaallah dijangka pertengahan disember 2009. Boleh jadi awal dari tarikh yang diberikan. 


Terima kasih buat mak dan abah di Jejawi dan Semenyih. Adik-adik serta ipar duai yang sangat “sporting”. Sungguh lama rupanya mak dan abah berkorban untuk membesarkan kami. Kini.. giliran kami menabur jasa dan bakti yang sebenarnya tidak terbalas kepada mereka. 

Begitulah… berharganya anugerah “Masa”.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...