Jumaat, 9 Oktober 2009

"Saya bersetuju dengan Ust Zolkharnain Abidin"


Artikel ini saya copy dari halaman Al-Fadhil Ust Zolkharnain Abidin kerana saya bersetuju dengan pandangan beliau terhadap ulama` muda yang hebat dari Malaysia Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis) 
(Baca dulu tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin di sini)

SATU-“Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur, dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian Umno. Jangan paksa atau ajak ulama masuk Umno, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal ini dapat digarapkan ke seluruh pelusuk masyarakat Melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberi kebaikan kepada niat yang jujur ini…”

Patutlah tiada ulama yang menang MT Umno. Ulama tidak boleh diajak masuk Umno. Maksudnya, kalau ulama ingin terlibat dengan politik, pilihan mereka bukan Umno tetapi parti lain. Baguslah, Umno memang tidak sesuai untuk ulama pun. Cuma kalau maksud petikan di atas ialah ulama tidak boleh terlibat dengan politik, ini boleh dikira mengurung ulama di dalam masjid. Kurung ulama dalam masjid selari dengan idea Kamal Atarturk. Bahaya tu!

DUA-“Mungkin ada yang menganggap mustahil hal ini boleh berlaku dalam Umno. Walau pun saya secara peribadi bukan ahli Umno, namun pernah cuba membaiki dan menguatkan pegangan Islam dalam kerajaan Umno Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Alhamdulillah, saya melihat ada kesannya yang bukan sedikit…
…Maka kesan tidak langsung ketika itu rakyat tidak membuang Umno di Perlis, walau pun disingkirkan di Kedah yang bersebelahan dengannya. Namun bukanlah agenda saya untuk memenangkan Umno dalam pilihanraya, tapi agenda saya ialah dakwah. Saya inginkan Islam itu subur dalam semua organisasi termasuklah Umno.”

Rupa-rupanya usaha bekas Mufti ini membantu menguatkan pegangan Islam dalam kerajaan Umno Perlis tidak dihargai pun. Dia berundur kerana tidak tahan dengan sepak terajang politik di sini. Baginya, rakyat Perlis tidak tolak Umno kerana jasanya itu. Mufti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, kalau sayangkan Umno patut belajar daripada Dr Asri bagaimana untuk memenangkan Umno di negeri masing-masing.

TIGA-Ada orang menegur saya, mengapa saya tidak pernah bersetuju atau sering bermentaliti tipikal terhadap Dr Asri macam orang PAS yang lain juga?

Kerana…

Kalau dia menulis mengenai Umno, bahasanya lunak, pendekatannya mesra, tegurannya menyedapkan hati. Tetapi kalau dia menulis mengenai PAS, pasti ada sindiran dan sinisan, pendekatannya keras dan tegurannya bertujuan memperkecilkan.

Kalau dia menulis mengenai PAS istilah maki hamun, mengumpat, mengutuk tidak pernah ditinggalkan untuk ditujukan kepada PAS, seolah-olah semua itu adalah rutin harian orang PAS. Seolah-olah Umno tidak pernah buat kerja itu semua. Sedangkan dia tahu ada kerja Umno yang lebih memudaratkan daripada itu.

Kalau dia menulis mengenai PAS, sindiran bahawa Islam yang ditampilkan PAS sekadar reka bentuk, rupa paras, Islam berdasarkan kepentingan politik dan banyak lagi perlekehannya terhadap amalan Islam yang dibuat oleh orang PAS. Seolah-olah PAS hanya beretorik dengan Islam, tidak serius dan hanya bermain-main.

Tetapi, kalau dia menulis mengenai Islam Umno pula, dia akan kata, dalam Umno memang telah ada Islam cuma perlu diperkuatkan lagi. Umno memang ada program Islamik tetapi agak terhad. Islam Hadhari Umno pun dipertahankan pada awalnya dahulu.

Dia memang senang untuk bersikap mesra, lunak, halus, berbudi apabila menulis mengenai Umno berbanding PAS, walau pun dia bukan ahli Umno, akuinya.

EMPAT - Saya menghargai usaha Dr Asri menegur mana-mana pihak, tetapi teguran itu biarlah seimbang dan adil. Saya tidak meminta dia memuji PAS sama seperti saya tidak meminta dia mengutuk Umno. Apa yang saya minta ialah, tulisannya mengenai PAS hendaklah objektif sama seperti tulisannya mengenai Umno.

Maaflah, selagi saya belum berjumpa dengan tulisannya dalam akhbar arus perdana yang seimbang, adil dan objektif terhadap PAS, saya tetap bermentaliti tipikal terhadapnya, macam orang PAS yang lain juga.

Kenapa? Sebab saya orang PAS.

Oh, baru saya teringat. Kalau dia menulis mengenai PAS sama seperti dia menulis mengenai Umno tentu tulisaanya tidak tersiar dalam akhbar arus perdana.
Mengapa saya lupa yang itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...