Ahad, 18 Oktober 2009

Mee, Koteaw dan Pasar Tani


PAGI 17 Oktober, di Pasar Tani Sena Indah, saya cuba gagahkan diri luangkan masa untuk mencari sarapan. Saja taknak susahkan isteri yang sedang sarat, tidur tak cukup, sakit-sakit belakang, namun disebalik kesusahan itu, saya juga tidak mampu sediakan pembantu rumah untuk melicinkan kerja-kerja rumah, sebagaimana saidina Ali sediakan pembantu rumah untuk isterinya saidatina Fatimah. Jadi, untuk menampung kekurangan itu, terpaksa jugaklah keluar cari sarapan.

Sesuatu yang menarik dan mengamit minat saya untuk berkongsi dengan para pembaca. Ketika sedang memilih sayur-sayuran, terdengar perbualan dikalangan makcik-makcik tu “koteaw ni yang melayu ke cina?” sambil memegang 2 bungkus jenama yang berbeza. “ Yang cap Pokok Kelapa tu Cha Yaa Nuu Alipp la, yang JMS tu orang kita” terang penjual dengan nada bersungguh-sungguh. “Ooo, tuuu ka! (macam itu ke?)” sambil tersenyum kepuasan mendengar penjelasan. “Tokua (tauhu) ni pun orang kita punya ka?” sambung makcik inginkan kepastian. “Tokua tu biasala, semuanya depa buat (cina), orang kita buat takdak” jelas penjual tu sejujurnya. Saya yang tiba lebih awal dari makcik-makcik tu terpaku seketika mendengar dialog kesedaran. Respon yang sempat saya berikan pada perbualan mereka hanya senyuman spontan tanda setuju dengan apa yang diperbualkan.


Situasi ini, mengimbau kembali kesedaran orang islam era 90an dahulu. Dulu, soal makan dan minum hanya isu kecil dan terpinggir. Sensitif pada produk-produk  muslim tersangat kurang, sekalipun mee, koteaw, tokua (tauhu) dah ada di pasaran keluaran al-Arqam. Masyarakat bandar suatu ketika dahulu menjadi tabiat apa yang sedap, semuanya di baham, tanpa menitik beratkan tuntutan ugama. Berpusu-pusu orang menyerbu warung atau kedai makan bila diberitakan keenakan masakannya. Sehinggakan tukang masaknya bukan beragama Islam pun dikunyah, di gumal dan di telan seenaknya. Masyarakat kampung pulak seenaknya membeli bahan-bahan dapur, lauk pauk, ayam dan daging daripada tokey cina yang masuk ke kampung-kampung dengan motor “Honda Cup” sambil membawa snek-snek ringan untuk meraih pasaran dari budak-budak kecil melalui tokwan dan tok mereka. Setiap pagi mereka akan “tercokoh” (menunggu) di beranda sambil memasang telinga menanti bunyi hon “pet pet pet pet” tanda tokey ikan dah datang. Sebahagiannya bergegas menuju ke motor dengan pakaian berkemban sambil menggenggam wang-wang kertas yang basah peluh. Itu dulu.

Kini, semuanya sudah banyak berubah. Sensitif pada sumber makanan semakin meningkat. Produk-produk muslim semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Sekalipun indeks kesedaran ini belum mencapai 50%, setidak-tidaknya kesedaran ini memberi gambaran positif betapa orang Islam sudah mula sensitif pada produk keluaran bumiputera. Tidak dinafikan, produk-produk seperti mee, koteaw sangat terhad. Kalau ada sekalipun hanya sekitar 10-15 bungkus sahaja. Mungkin disebabkan, kebanyakan usahawan muslim ini tidak mempunyai kemudahan memproduk barangan dengan jumlah yang banyak berbanding syarikat bukan muslim. Apapun, kesedaran orang ramai pada produk bumiputera semakin meningkat.

Islam menyuruh kita mencari makanan yang bukan sekadar kategorinya “halal” malah “toyyib” (baik / bersih). Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari segala yang baik-baik yang kami rezkikan kepadamu” (al-Baqoroh 172)

Saranan ini juga ditujukan Allah pada sekalian utusanNya melalui firmanNya yang bermaksud:

“Wahai para rasul, makanlah dari yang baik-baik dan beramallah akan yang baik” (al-Mu`minun 51)

Dua ayat ini menjelaskan, bahawa tuntutan mencari yang halal itu adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan seharian, kerana sumber makanan yang masuk ke dalam tubuh kita akan memberi kesan kepada pembinaan “syakhsiyyah” muslim. Sebuah kenderaan yang diperbuat dari bahan yang kurang kualiti, pastinya produknya jugak kurang kualiti. Begitu jugaklah manusia yang diperintahkan Allah untuk memperhambakan diri kepadaNya dengan melaksanakan segala tuntutanNya dan meninggalkan segala laranganNya, pastinya lebih-lebih dituntut untuk memberi perhatian dalam soal kualiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...