Sabtu, 24 Oktober 2009

Bangsaku oh Bangsaku!


“APA nak jadi dengan (bangsa) Melayu ustaz? Mana peranan ustaz-ustaz di Malaysia ni” Keluhan seorang wanita usianya sekitar awal 50an. Saya terkedu bila dipertikaikan peranan ustaz-ustaz. Seolah-olah institusi agama tidak menyumbang sedikitpun kepada pembinaan insan anak bangsa, sehinggakan peranan ibubapa di rumah, peranan masyarakat di kampung halaman, peranan kerajaan yang mempunyai kuasa mentadbir sedikitpun tidak dipersalahkan. Dilonggokkan kesalahan itu di bahu ustaz-ustaz.


Surat khabar yang tadinya dibuka helaiannya untuk dibaca, kini menjadi “hilang punca”. Saya sendiri tak tahu apa yang dah saya buka. Sedar-sedar dah sampai ke mukasurat akhir. “Sebab itu saya tidak pernah percaya kepada (bangsa) melayu yang akan membela nasib saya, apa gahnya melayu?” sergah saya membuka bicara.



Isu ini timbul apabila akhbar tabloid hari ini (22 Oktober) memaparkan cerita “Rasul Melayu” yang dijatuhkan hukuman penjara setelah dibicarakan. Ramai yang terkejut dengan dakwaan sebagai nabi untuk bangsa melayu. Apatah lagi cerita Abdul Kahar ini dicekup pihak berkuasa pada bulan ramadhan baru-baru ini di kediamannya sedang bersarapan pagi. Isu buang anak, isu “penkid”, isu dadah, rempit dan seangkatan dengannya dipelopori oleh bangsa yang menghunus keris (melayu). Justeru soalan demi soalan dihalakan kepada saya tentang betapa “bobroknya” nama melayu dan gagalnya institusi agama berperanan dalam masyarakat.


Sepanjang  hampir 4 tahun menjadi guru di sekolah kerajaan, saya banyak bertemu kumpulan yang kurang pegangan agamanya tetapi berdegar bicara soal agamanya. Sandaran mereka pada kebanyakan cabang ibadah bersumberkan “orang tua-tua kata” dan “dengar-dengar” atau “petua-petua pelik”. Jauh sekali mereka menyebut dari al-Quran atau hadis. Sehinggakan apabila mereka melontarkan pandangan dalam perkara yang melibatkan disiplin ilmu, membuatkan saya terpaksa banyak merespon dengan “senyuman” sebagai mengelak untuk menganggukkan kepala tanda setuju dengan isi hujah yang diperkatakan. Boleh saja saya menyangkal secara “mubasyarah” (direct), tetapi negatifnya lebih banyak berbanding positifnya. Jadi, isu “Rasul Melayu” yang menjadi tajuk utama muka hadapan akhbar hari ini merupakan antara ruang yang ada sebagai “platform” untuk saya memulakan bicara, berkongsi pengetahuan agama dan membetulkan tanggapan-tanggapan mereka selama ini yang kununnya, tanggapan tadi disokong oleh ugama.


Bila statement saya berbunyi “Sebab itu saya tidak pernah percaya kepada (bangsa) melayu yang akan membela nasib saya”, ada yang mula menggerutkan dahi kehairanan. Ada juga yang mencebik muka tanda “malas ambil tahu”. Syukurlah ada juga yang sedia dan setia mendengar hujah dan berbincang.


“Muhammad Bin Abdullah dipilih Allah menjadi nabi akhir zaman dari bangsa yang terpilih (arab), keturunan yang terpilih (quraish), suku kaum yang terpilih (bani hasyim). Tapi tidak kedengaran sedikitpun intipati dakwah baginda berslogankan “bangsa” sepanjang 23 tahun baginda membawa Islam, bahkan baginda sendiri menentang perkauman!” terang saya cuba meyakinkan mereka. “Kalaulah agenda dakwah baginda itu adalah berteraskan “bangsa”, nescaya hanya babak-babak bahagia, selesa yang dapat kita baca dan dengar dari tokoh-tokoh sejarah dan dari ensiklopedia sejarah Muhammad nabi akhir zaman” terang saya untuk membangkitkan minat mereka untuk terus mendengar.


Saya katakan, ujian demi ujian yang dihadapi baginda adalah berpunca daripada baginda SAW menentang perkauman, membetulkan aqidah bangsa arab. Sembahan berhala, menyembelih kerana berhala, bertenung nasib, berjudi, merendahkan martabat wanita adalah antara budaya zaman berzaman diamalkan nenek moyang mereka. Maka sebab itulah baginda diperangi oleh bangsa sendiri, dipulau oleh suku puak sendiri, diusir oleh saudara mara sendiri, malah diancam bunuh oleh keturunan sendiri. Islam kemudiannya didokong oleh para sahabah yang dididik oleh baginda mengenal Allah yang Esa. Mengetahui tanggungjawab sebagai hamba kepada Rabb nya. Melaksanakan segala tuntutanNya jua meninggalkan segala laranganNya dengan hati yang terbuka. Merasa kagum dengan penciptanNya. Merasa takut dengan azab nerakaNya. Meyaqini syurga adalah janjiNya bagi mereka yang beriman. Inilah “klimaks” dakwah baginda. Melahirkan generasi yang robbani sekalipun tidak mempunyai sebarang pengiktirafan akademik yang menyanjunginya.


Tidak hairanlah, hari ini kita mendengar golongan cerdik pandai yang merosakkan Islam. Pengikut Rasul Melayu ini bukan calang-calang latar belakang. Begitu juga pengikut ayah Pin. Golongan bijak yang merompak secara eksklusif, golongan berpangkat menyalah gunakan kuasa, dan banyak lagi nilai-nilai “mahmudah” yang sudah hilang ditelan kemajuan.


Dalam skop yang lebih kecil, kebanyakan masyarakat pada hari ini sudah hilang kepercayaan kepada Islam. Anak-anak membesar tanpa mengenal tuhannya. Pendek pengetahuan agamanya, panjang maklumat hiburannya. Kaya latarbelakang “idola” nya, miskin untuk menjejak “uswah” nabinya. Lirik-lirik lagu memenuhi ruang atmosfera kepalanya, berbanding “asmaul husna” yang susah untuk mendapat tempat di hatinya. Solat tidak lagi menjadi aktiviti keluarga, suara al-Quran tidak lagi kedengaran memecah tembok rumahnya. Artis adalah idolanya, ulama` menjadi seterunya. Suara agama tidak boleh berkumandang menegur jiwa yang lalai, sebaliknya jiwa yang lalai yang perlu disemai. 


Inilah hakikat bangsa kita. Bangsa yang menghidangkan hiburan duniawi pada masyarakatnya. Bangsa yang tidak habis-habis berbicara tentang kepentingan orang melayu. Bimbang melayu hilang di dunia, tapi “lega” andai Islam tertanggal dari jiwa. Bimbang andai anaknya tidak mengumpul seguni “A” tapi selesa bila anaknya buta wahyu. “Kesian kan!”


Benarlah sabda baginda SAW:


“Islam datang dalam keadaan dagang (pelik), begitu juga Islam akan pulang sebagai dagang. Maka beruntunglah mereka yang turut serta berdagang”


Justeru… Apa ada pada bangsa, andai bangsa tidak punya agama?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...