Selasa, 27 Oktober 2009

Doa Syeikh al-Qardhawi



Syeikh Dr.Yusuf Al-Qardhawi

من دعاء العلامة الشيخ يوسف القرضاوي


اللهم طهر أقوالنا من اللغو، وأعمالنا من العبث، وإرادتنا من الوهن، وأنفسنا من الشح، وألسنتا من الكذب، وأعيننا من الخيانة، وقلوبنا من النفاق، وعباداتنا من الرياء، وحياتنا من التناقض. 


اللهم إني ظلمت نفسي ظلما كثيرا، ولا يغفر الذنوب إلا أنت، فاغفر لي مغفرة من عندك وارحمن إنك أنت الغفور الرحيم. 

اللهم يا معلم آدم وإبراهيم علمنا ما ينفعنا، وانفعنا بما علمتنا، وزدنا علما، الحمد لله على كل حال، ونعوذ بك من حال أهل النار.  ربنا عليك توكلنا وإليك أنبنا وإليك المصير.



اللهم غير ما بأنفسنا، وحول حالنا من الضعف إلى القوة، ومن العسر إلى اليسر، ومن الخوف إلى الأمن، ومن اليأس إلى الأمل، ومن الذلة إلى العزة، ومن الهزيمة إلى النصر، ومن الفُرْقَة إلى الوحدة، ومن الغَي إلى الرُّشْد، ومن الضلالة إلى الهدى، ومن الانحراف إلى الاستقامة، ومن البدعة إلى السُّنَّة، ومن رذائل الجاهلية إلى فضائل الإسلام.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Bangsaku oh Bangsaku!


“APA nak jadi dengan (bangsa) Melayu ustaz? Mana peranan ustaz-ustaz di Malaysia ni” Keluhan seorang wanita usianya sekitar awal 50an. Saya terkedu bila dipertikaikan peranan ustaz-ustaz. Seolah-olah institusi agama tidak menyumbang sedikitpun kepada pembinaan insan anak bangsa, sehinggakan peranan ibubapa di rumah, peranan masyarakat di kampung halaman, peranan kerajaan yang mempunyai kuasa mentadbir sedikitpun tidak dipersalahkan. Dilonggokkan kesalahan itu di bahu ustaz-ustaz.


Surat khabar yang tadinya dibuka helaiannya untuk dibaca, kini menjadi “hilang punca”. Saya sendiri tak tahu apa yang dah saya buka. Sedar-sedar dah sampai ke mukasurat akhir. “Sebab itu saya tidak pernah percaya kepada (bangsa) melayu yang akan membela nasib saya, apa gahnya melayu?” sergah saya membuka bicara.



Isu ini timbul apabila akhbar tabloid hari ini (22 Oktober) memaparkan cerita “Rasul Melayu” yang dijatuhkan hukuman penjara setelah dibicarakan. Ramai yang terkejut dengan dakwaan sebagai nabi untuk bangsa melayu. Apatah lagi cerita Abdul Kahar ini dicekup pihak berkuasa pada bulan ramadhan baru-baru ini di kediamannya sedang bersarapan pagi. Isu buang anak, isu “penkid”, isu dadah, rempit dan seangkatan dengannya dipelopori oleh bangsa yang menghunus keris (melayu). Justeru soalan demi soalan dihalakan kepada saya tentang betapa “bobroknya” nama melayu dan gagalnya institusi agama berperanan dalam masyarakat.


Sepanjang  hampir 4 tahun menjadi guru di sekolah kerajaan, saya banyak bertemu kumpulan yang kurang pegangan agamanya tetapi berdegar bicara soal agamanya. Sandaran mereka pada kebanyakan cabang ibadah bersumberkan “orang tua-tua kata” dan “dengar-dengar” atau “petua-petua pelik”. Jauh sekali mereka menyebut dari al-Quran atau hadis. Sehinggakan apabila mereka melontarkan pandangan dalam perkara yang melibatkan disiplin ilmu, membuatkan saya terpaksa banyak merespon dengan “senyuman” sebagai mengelak untuk menganggukkan kepala tanda setuju dengan isi hujah yang diperkatakan. Boleh saja saya menyangkal secara “mubasyarah” (direct), tetapi negatifnya lebih banyak berbanding positifnya. Jadi, isu “Rasul Melayu” yang menjadi tajuk utama muka hadapan akhbar hari ini merupakan antara ruang yang ada sebagai “platform” untuk saya memulakan bicara, berkongsi pengetahuan agama dan membetulkan tanggapan-tanggapan mereka selama ini yang kununnya, tanggapan tadi disokong oleh ugama.


Bila statement saya berbunyi “Sebab itu saya tidak pernah percaya kepada (bangsa) melayu yang akan membela nasib saya”, ada yang mula menggerutkan dahi kehairanan. Ada juga yang mencebik muka tanda “malas ambil tahu”. Syukurlah ada juga yang sedia dan setia mendengar hujah dan berbincang.


“Muhammad Bin Abdullah dipilih Allah menjadi nabi akhir zaman dari bangsa yang terpilih (arab), keturunan yang terpilih (quraish), suku kaum yang terpilih (bani hasyim). Tapi tidak kedengaran sedikitpun intipati dakwah baginda berslogankan “bangsa” sepanjang 23 tahun baginda membawa Islam, bahkan baginda sendiri menentang perkauman!” terang saya cuba meyakinkan mereka. “Kalaulah agenda dakwah baginda itu adalah berteraskan “bangsa”, nescaya hanya babak-babak bahagia, selesa yang dapat kita baca dan dengar dari tokoh-tokoh sejarah dan dari ensiklopedia sejarah Muhammad nabi akhir zaman” terang saya untuk membangkitkan minat mereka untuk terus mendengar.


Saya katakan, ujian demi ujian yang dihadapi baginda adalah berpunca daripada baginda SAW menentang perkauman, membetulkan aqidah bangsa arab. Sembahan berhala, menyembelih kerana berhala, bertenung nasib, berjudi, merendahkan martabat wanita adalah antara budaya zaman berzaman diamalkan nenek moyang mereka. Maka sebab itulah baginda diperangi oleh bangsa sendiri, dipulau oleh suku puak sendiri, diusir oleh saudara mara sendiri, malah diancam bunuh oleh keturunan sendiri. Islam kemudiannya didokong oleh para sahabah yang dididik oleh baginda mengenal Allah yang Esa. Mengetahui tanggungjawab sebagai hamba kepada Rabb nya. Melaksanakan segala tuntutanNya jua meninggalkan segala laranganNya dengan hati yang terbuka. Merasa kagum dengan penciptanNya. Merasa takut dengan azab nerakaNya. Meyaqini syurga adalah janjiNya bagi mereka yang beriman. Inilah “klimaks” dakwah baginda. Melahirkan generasi yang robbani sekalipun tidak mempunyai sebarang pengiktirafan akademik yang menyanjunginya.


Tidak hairanlah, hari ini kita mendengar golongan cerdik pandai yang merosakkan Islam. Pengikut Rasul Melayu ini bukan calang-calang latar belakang. Begitu juga pengikut ayah Pin. Golongan bijak yang merompak secara eksklusif, golongan berpangkat menyalah gunakan kuasa, dan banyak lagi nilai-nilai “mahmudah” yang sudah hilang ditelan kemajuan.


Dalam skop yang lebih kecil, kebanyakan masyarakat pada hari ini sudah hilang kepercayaan kepada Islam. Anak-anak membesar tanpa mengenal tuhannya. Pendek pengetahuan agamanya, panjang maklumat hiburannya. Kaya latarbelakang “idola” nya, miskin untuk menjejak “uswah” nabinya. Lirik-lirik lagu memenuhi ruang atmosfera kepalanya, berbanding “asmaul husna” yang susah untuk mendapat tempat di hatinya. Solat tidak lagi menjadi aktiviti keluarga, suara al-Quran tidak lagi kedengaran memecah tembok rumahnya. Artis adalah idolanya, ulama` menjadi seterunya. Suara agama tidak boleh berkumandang menegur jiwa yang lalai, sebaliknya jiwa yang lalai yang perlu disemai. 


Inilah hakikat bangsa kita. Bangsa yang menghidangkan hiburan duniawi pada masyarakatnya. Bangsa yang tidak habis-habis berbicara tentang kepentingan orang melayu. Bimbang melayu hilang di dunia, tapi “lega” andai Islam tertanggal dari jiwa. Bimbang andai anaknya tidak mengumpul seguni “A” tapi selesa bila anaknya buta wahyu. “Kesian kan!”


Benarlah sabda baginda SAW:


“Islam datang dalam keadaan dagang (pelik), begitu juga Islam akan pulang sebagai dagang. Maka beruntunglah mereka yang turut serta berdagang”


Justeru… Apa ada pada bangsa, andai bangsa tidak punya agama?

Selasa, 20 Oktober 2009

Niqob... antara Budaya & Hukum!


PADA 13  Oktober sekitar jam 1.45 petang, saya diajukan beberapa soalan oleh sebahagian dari warga sekolah tentang isu Syeikhul Azhar Muhammad Sayyid Tantawi mengharamkan niqob di sekolah-sekolah dan Universiti al-Azhar (baca sini) dan begitu jugak kenyataan Tuan Guru Nik Abd.Aziz Bin Nik Mat dalam isu niqob di Kelantan (baca sini) meminta penjelasan saya secara ilmiyyah.


Ketika itu saya hanya mampu menerangkan sebab-sebab pegharaman dan rasionalnya pemakaian niqob di negara-negara barat yang menganggap pemakaian niqob adalah merupakan pandangan pihak radikal Islam. Adapun kemampuan saya mendatangkan nas al-Quran dan as-Sunnah ketika itu amat terhad apatah lagi menghuraikan nas mengikut fakta dan kehendak yang sebenar. 


Hari ini, kebetulan terdetik di hati untuk melayari laman Dr.Yusuf Al-Qardhowi, dan saya dapati tajuk "niqob" adalah posting terkini beliau. Puas saya membacanya dengan dalil-dalil yang dinukilkan secara amanah. Namun, untuk saya berkongsi (menterjemah) secara "harfiyah" adalah kelemahan saya dari sudut bahasa. Kelemahan ini amat saya kesali sebagai "Tholibul Ilmi" (penuntut ilmu).


Akhirnya, saya menemui penjelasan "niqob" ini dalam ruangan fatwa drmaza.com yang mengupas isu ini, juga menaqalkan dalil-dalil dan penjelasan-penjelasan syarak secara amanah "persis" apa yang disebut oleh Dr.Yusuf Al-Qardhowi.


Semoga sumbangan tak seberapa ini (hanya copy & link) dapat merungkai beberapa persoalan yang masih bersarang di benak kita semua.


Ikuti perbahasannya (di sini) oleh Dr.Mohd Asri Zainal Abidin. Wallahu a`lam bis sowab.

Isnin, 19 Oktober 2009

Happy Deepavali buat cikgu S.Thamayanty!


SABTU 17 Oktober, sekitar jam 11.15 pagi, seramai 11 orang dari warga SKS tiba di Kg. Kota Lama, Kangar untuk menziarahi rakan sejawat yang menyambut deepavali pada hari ini. Kunjungan ini bukanlah semata-mata nak mengucapkan “Happy Deepavali” padanya, malah ianya juga merupakan pengalaman melihat sambutan perayaan mereka dengan lebih dekat, selain ziarah menziarahi memang dituntut oleh Islam.

Ramai yang menyangka dapat melihat cikgu Thama akan mengenakan sari dihari lebaran, disamping aksesori gelang yang menghiasi tubuhnya. Ternyata sangkaan itu meleset. Dia senyum menyambut kami di muka pintu dengan pakaian “ala korta” semanis senyuman Preety Zinta dalam filem “Har Dil Jo Pyar Karega”. Ternyata dia seorang yang biasa dan mudah didekati.

Lebih kurang 1 jam kami menghabiskan masa berbual, mengenali keluarganya disamping hidangan “nasi beriyani+gulai kambing+ayam kampung+kueh mueh” yang sangat enak dan lazat. Sebelum kami “angkat kaki” meninggalkan rumahnya, datang pula satu keluarga “Melayu Muslim” dari Mata Ayer menziarahi mereka. Difahamkan mereka kawan baik ayahnya. Sudah selalu ulang alik ke situ. Bual bicara mereka bagaikan satu keluarga. Sudah lama mereka bersahabat. Hilai ketawa mereka sudah cukup menggambarkan betapa eratnya persaudaraan mereka. “Mesra alamnya mereka dengan bangsa lain” hati saya berbisik tanda kagum. Keluarganya semacam memahami “apa yang boleh” dan “apa yang tidak boleh” dalam Islam. Sehinggakan sebelum makan kami ditaklimatkan tentang hidangan yang tersedia, seperti dari mana dibeli, bahan apa yang digunakan dalam masakan, dan bermacam-macam lagi seolah-olah mereka memang bersedia menerima tetamu muslim. Apatah lagi sepupu mereka juga “India Muslim”.

Islam mengajar penganutnya menghormati antara satu sama lain. Penciptaan Adam dari pelbagai unsur tanah menunjukan kita semua adalah satu, datang dari ibu dan ayah yang satu (Adam & Hawwa) sekalipun warna kulit kita berbeza. Tidak ada keistimewaan antara satu sama lain. Kita adalah sama. Hamba pada Allah yang Maha Esa. Perpaduan yang kita laungkan di bumi, sudahpun di ajar oleh Allah pada hamba-hambaNya. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya kami ciptakan kamu dari (jenis) lelaki dan wanita, dan Kami jadikan kamu berpuak-puak (berbagai bangsa) untuk kamu saling mengenali antara satu sama lain, sesungguhnya orang yang lebih mulia (dikalangan kamu) di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa.....” (al-Hujurat 13)

 “HAPPY DEEPAVALI” buat cikgu S.Thamayanty.

Ahad, 18 Oktober 2009

Mee, Koteaw dan Pasar Tani


PAGI 17 Oktober, di Pasar Tani Sena Indah, saya cuba gagahkan diri luangkan masa untuk mencari sarapan. Saja taknak susahkan isteri yang sedang sarat, tidur tak cukup, sakit-sakit belakang, namun disebalik kesusahan itu, saya juga tidak mampu sediakan pembantu rumah untuk melicinkan kerja-kerja rumah, sebagaimana saidina Ali sediakan pembantu rumah untuk isterinya saidatina Fatimah. Jadi, untuk menampung kekurangan itu, terpaksa jugaklah keluar cari sarapan.

Sesuatu yang menarik dan mengamit minat saya untuk berkongsi dengan para pembaca. Ketika sedang memilih sayur-sayuran, terdengar perbualan dikalangan makcik-makcik tu “koteaw ni yang melayu ke cina?” sambil memegang 2 bungkus jenama yang berbeza. “ Yang cap Pokok Kelapa tu Cha Yaa Nuu Alipp la, yang JMS tu orang kita” terang penjual dengan nada bersungguh-sungguh. “Ooo, tuuu ka! (macam itu ke?)” sambil tersenyum kepuasan mendengar penjelasan. “Tokua (tauhu) ni pun orang kita punya ka?” sambung makcik inginkan kepastian. “Tokua tu biasala, semuanya depa buat (cina), orang kita buat takdak” jelas penjual tu sejujurnya. Saya yang tiba lebih awal dari makcik-makcik tu terpaku seketika mendengar dialog kesedaran. Respon yang sempat saya berikan pada perbualan mereka hanya senyuman spontan tanda setuju dengan apa yang diperbualkan.


Situasi ini, mengimbau kembali kesedaran orang islam era 90an dahulu. Dulu, soal makan dan minum hanya isu kecil dan terpinggir. Sensitif pada produk-produk  muslim tersangat kurang, sekalipun mee, koteaw, tokua (tauhu) dah ada di pasaran keluaran al-Arqam. Masyarakat bandar suatu ketika dahulu menjadi tabiat apa yang sedap, semuanya di baham, tanpa menitik beratkan tuntutan ugama. Berpusu-pusu orang menyerbu warung atau kedai makan bila diberitakan keenakan masakannya. Sehinggakan tukang masaknya bukan beragama Islam pun dikunyah, di gumal dan di telan seenaknya. Masyarakat kampung pulak seenaknya membeli bahan-bahan dapur, lauk pauk, ayam dan daging daripada tokey cina yang masuk ke kampung-kampung dengan motor “Honda Cup” sambil membawa snek-snek ringan untuk meraih pasaran dari budak-budak kecil melalui tokwan dan tok mereka. Setiap pagi mereka akan “tercokoh” (menunggu) di beranda sambil memasang telinga menanti bunyi hon “pet pet pet pet” tanda tokey ikan dah datang. Sebahagiannya bergegas menuju ke motor dengan pakaian berkemban sambil menggenggam wang-wang kertas yang basah peluh. Itu dulu.

Kini, semuanya sudah banyak berubah. Sensitif pada sumber makanan semakin meningkat. Produk-produk muslim semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Sekalipun indeks kesedaran ini belum mencapai 50%, setidak-tidaknya kesedaran ini memberi gambaran positif betapa orang Islam sudah mula sensitif pada produk keluaran bumiputera. Tidak dinafikan, produk-produk seperti mee, koteaw sangat terhad. Kalau ada sekalipun hanya sekitar 10-15 bungkus sahaja. Mungkin disebabkan, kebanyakan usahawan muslim ini tidak mempunyai kemudahan memproduk barangan dengan jumlah yang banyak berbanding syarikat bukan muslim. Apapun, kesedaran orang ramai pada produk bumiputera semakin meningkat.

Islam menyuruh kita mencari makanan yang bukan sekadar kategorinya “halal” malah “toyyib” (baik / bersih). Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari segala yang baik-baik yang kami rezkikan kepadamu” (al-Baqoroh 172)

Saranan ini juga ditujukan Allah pada sekalian utusanNya melalui firmanNya yang bermaksud:

“Wahai para rasul, makanlah dari yang baik-baik dan beramallah akan yang baik” (al-Mu`minun 51)

Dua ayat ini menjelaskan, bahawa tuntutan mencari yang halal itu adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan seharian, kerana sumber makanan yang masuk ke dalam tubuh kita akan memberi kesan kepada pembinaan “syakhsiyyah” muslim. Sebuah kenderaan yang diperbuat dari bahan yang kurang kualiti, pastinya produknya jugak kurang kualiti. Begitu jugaklah manusia yang diperintahkan Allah untuk memperhambakan diri kepadaNya dengan melaksanakan segala tuntutanNya dan meninggalkan segala laranganNya, pastinya lebih-lebih dituntut untuk memberi perhatian dalam soal kualiti.

Khamis, 15 Oktober 2009

Televisyen & Kehidupan

PETANG 14 OKT, ketika sedang menikmati hidangan petang bersama isteri dan anak sambil menonton televisen tiba-tiba terdengar satu bunyi yang sederhana kuat seperti pecahan kaca. Ketika itu jugak tv yang telah berusia hampir 4 tahun itu terpadam. Tercengang seketika, buntu dan tergamam dengan apa yang berlaku. Inilah pengalaman pertama mendengar dentuman dari kotak tv.

Gelisah dengan apa yang berlaku. Tv dengan kehidupan manusia sudah menjadi sebahagian dari keperluan,  begitu juga telefon bimbit. Setiap isi rumah zaman sekarang pastinya memiliki tv, sekalipun panorama rumahnya beratapkan nipah, berlantaikan papan dimamah usia. Silap-silap ASTRO pun ada. Kenapa jadi begitu? kerana kebanyakan manusia generasi kini dikuasai dunia, bukan manusia yang mengusai dunia. Apapun memiliki tv adalah sesuatu yang baik dan bagus jika diurus selia dengan baik.

Ketika artikel ini ditulis, hanya saya yang mengadap "laptop" mengisi masa terluang yang biasanya ketika ini sibuk dengan remote tv di tangan. Isteri pulak sibuk melayan anak dalam bilik mengisi keboringannya, yang kebiasaannya juga ketka ini menonton tv. Masing-masing seolah-olah buat bisnes masing-masing. "hah itu baru semalam penangan takdak televisen!" getus aku dalam hati, sambil mengelengkan kepala tanda hairan. Malam seakan terlalu lama. Lepas isyak rumah dah gelap, senyap sepi. Syahdu rasanya walaupun sesekali hilyatulhusna bersungut "tv bila nak siap umi..." meminta jaminan. "Esok siap insyaallah" isteriku cuba menenangkannya. Anak yang sedang meningkat usia 4 tahun, selain permainan yang mendampinginya, tv jugak dapat menghiburkannya. Tv adalah gurunya, sebab itu penting ibubapa mengurus selia institusi ini. Itulah "power" nya peranan tv pada kehidupan kini.

Bagi orang dewasa, pemikir-pemikir politik, peminat-peminat politik, lain pulak alasannya. Tiap hari kena tengok warta berita. Kalau tak tengok, beku kepala jadinya, seolah-olah hidup di planet,  sekalipun warta berita yang di hadap itu terkadang menjadi agen pemalsu berita. Itu yang terkadang kedengaran "gilanya punya berita...aku hampuk tv ni sat lagi ha" atau "isshh.. kalau la tv ni harganya 2 ringgit satu, aku sepak sehari 6 kali" dan bermacam-macam lagi versi marah dan geram pada warta berita palsu yang akhirnya geram itu dilepaskan pada kotak yang namanya "televisyen". Bagi ibu-ibu, tv sangat membantu mereka dalam menguruskan rumahtangga. Si kecil akan terpaku bila dihidangkan dengan siri-siri kartun. Ibu-ibu dapat buat kerja rumah dengan "efisyen" kerana tak diganggu oleh anak-anak. Macamana pulak dengan peminat filem hindi? wrestling? bolasepak dan sebagainya? "Lu pikiiiiiiiir lah sendiri" takbir Nabil yang cukup famous!

Coretan tengah malam ini sebenarnya nak hiburkan hati, berkongsi kisah dengan pembaca. Tapi last-last jadi ceramah bab televisyen pulak. Itulah idea-idea yang spontan tak dirancang. Sesuatu yang tak dirancang biasanya akan pincang. Mata pun dah kuyu... selamat malam...! Malam ini tanpa televisyen huhuhuhuhu...


Rabu, 14 Oktober 2009

Perempuan tua, Lembu dan Gaza


Artikel hebat ini di copy dari harakahdaily, untuk tatapan para pembaca, semoga kita mendapat banyak kebaikan dari kisah hebat ini.

Azamin Amin
Thu | Feb 19, 09 | 10:35:48 am

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu. Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata. Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya. Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut. Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah. Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.  



Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :

"Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana".


Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. “Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza?” soal imam itu.

Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan. Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu. Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut.

Sunyi seketika suasana. Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:

"Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.”

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:

"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.
Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.

Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)! Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu.

Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu. Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.

Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.


Sekiranya anda bersimpati, sudilah hulurkan sumbangan,demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin.

(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)

Ahad, 11 Oktober 2009

Ekspedisi ke Zoo Taiping & Lost World Tambun

EKSPEDISI ke Zoo Taiping & Lost World Tambun, mula bergerak pada jam 8.00 pagi dari SKS. Seramai lebih kurang 80 orang peserta berhimpun seawal jam 7.00 pagi dengan riak wajah kegembiraan, tak sabar-sabar ingin memulakan ekspedisi ini. Hilyatul Husna yang tidur lewat malam tadi, bangun sebingkasnya bila dibisikan ke telinganya "kakakkk..! bangun sayangg, nak pergi Zoo Taiping dah ni!"... Itulah kehidupan... saya yakin bukan hanya anak kecil sahaja yang teruja menanti waktunya, orang dewasa pun begitu juga... banyak persoalan yang berlegar dalam benaknya contohnya nak sarapan apa, menu apa nak di masaknya untuk santapan tengahari nanti. Itulah kehidupan!

Tiba di Zoo Taiping pada jam 11.40 pagi seperti yang dirancang. Sebelum masuk, perut yang agak kekejangan dari pagi tadi mesti di isi. Maka berselerakan masing-masing mencari lokasi untuk menjamah juadah yang disediakan dari malam tadi. Sedihnya; bekalan nasi goreng yang kami bawak ditakdirkan "basi"! sian pulak kat isteriku, yang bangun seawal jam 5.00 pagi menyiapkan nasi goreng. "nak buat camana kaklong! dah takdak rezki kita" sahut Taisir mententeramkan kaklong nya. Mujurlah kak Maznah, kak Norma, Nawal pakat bawak nasi serba sikit. Jadi yang sikit itulah di kongsi bersama. "Terima kasih lah yer".

Kami menghabiskan masa melihat macam-macam binatang dengan menaiki keretapi zoo. Kalau tak, boleh terpeleot kaki ni.
Serik sangat dah pusing Zoo Negara berjalan kaki. Disebalik kegembiraan di sana ada pengajaran. "Demi tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan semua ini sebagai sia-sia, maha suci Engkau, maka jauhkanlah kami dari azab nerakaMu"

1.40 tghari: Ekspedisi diteruskan menuju ke Lost World Tambun. Tempat yang sangat dinanti-nantikan oleh kanak-kanak dan dewasa. Alhamdulillah 3.15 ptg tiba di lokasi seperti yang dirancang. "wah cantiknya, tapi sbb apa nama Lost World?" saya bertanya pada kak Norma. "ntah, ustaz tengokla nanti kat dalam, mungkin ustaz akan dapat jawapan" jawabnya membiarkan saya dalam teka teki.














Walaupun harga tiket yang mahal (RM37 dewasa, RM24 kanak-kanak) pengunjung tetap berpusu-pusu kesini. Saya menilai berdasarkan banyak nya kenderaan yang "parking" kat luar. "mewah sebenarnya rakya M`sia ni, sekalipun negara menghadapi kemerosotan ekonomi, budget untuk bercuti ni diperuntukan banyak berbanding dengan yang lainnya" sambut Taisir.

Kami diingatkan agar terlebih dahulu menunaikan solat jama` dan qasr, takut-takut terleka nanti. Selesai solat, aktiviti mandi-manda pun bermula. Ada yang berkira-kira untuk menyewa pelampong, ada juga yang berhasrat nak meluncur dari terowong tinggi, malah ada juga yang berkira-kira untuk tidak mandi. Sekadar menemani anak-anak. Namun sebilangan besarnya bagaikan "itik" bermain air, meluncur bak kanak-kanak, dan berbagai ragam lagi.

Kegembiraan ketika berada di sana sangat susah untuk digambarkan, hanya gambar yang mampu menceritakan betapa bahagianya dan seronoknya menghabiskan masa di sana.

Hampir 3 jam bermandi manda, ada yang pucat bibir dek lamanya bermain air. Kalau ikutkan hati pasti ada yang tak mau balik. Namun apakan daya, Lost World tutup jam 6.00 petang. Maka terdengarlah di hujung-hujung telinga rasa tak puas lagi mandi. Ada yang mula merancang nak kunjung semula Lost World Tambun ni. Lepas tu nak datang awal pagi, nak duduk sampai petang. "terserahlah labu... tempat camni siap duit je... ada pitih sumenya jalan" getus saya sambil tersenyum. Mujurlah ikut rombongan Pra Sekolah SKS ni, sekurang-kurangnya dapat tiket diskaun.
Kami bergerak pulang meniggalkan Lost World Tambun pada jam 6.30 petang dengan perasaan puas dan gembira. Semasa perjalanan pulang, semuanya terkulai layu, masing-masing melabuhkan badan dengan nyenyaknya, sekalipun sesekali keselesaan itu terganggu kerana jalan yang terhentak-hentak. Namun semuanya itu ibarat dipersetankan, rehat adalah segala-galanya. Tidak ada sesuatu yang mampu membeli harga sebuah kerehatan yang cukup mendamaikan. Laksana "orang mengantuk di sorongkan bantal".

7.15 malam, kami berhenti di R&R Gunung Semanggol, untuk solat jama` dan qasr dan makan malam. Sebelum turun, kak Norma (ketua bas) mengingatkan para peserta agar tidak melengah-lengahkan masa yang ada, dan meminta semua berada dalam bas selewatnya-lewatnya jam 8.30 malam.

Kebanyakannya mencari juadah berat untuk santapan malam. Al-maklumlah masing-masing main air, dah tentu lapar. Bekal yang di bawa tak dibenarkan membawa masuk pulak. Maka makan nasi di R&R ibarat "mengayuh" basikal dengan laju. "Sabar , sabar! perlahan-lahan makan tu, jangan sampai tercekik" sapa isteriku.

8.40 malam, bas mula meluncur meneruskan perjalanan. Masing-masing dilihat "kuyu" biji mata. Kali ini tidur menjadi lebih selesa, kerana "tangki" sudah terisi. Tiada bualan malam di dengar sepanjang perjalanan pulang, yang tinggal hanyalah celoteh DJ Sinar f.m yang sesekali memutarkan lagu mendodoikan tidur kami.

11.15 malam, syukur alhamdulillah ekspedisi kami tiba dengan selamat. Masing-masing mengangkat beg sambil sesekali memanjangkan leher mencari waris masing-masing. Tak sempat nak berucapan "maaf-maafan" antara satu sama lain. Yeelah, semuanya penat dan letih.

Penutup coretan ini, saya dedikasikan ucapan terima kasih pada kak Maznah dan kak Norma (Guru Pra Sekolah) kerana melibatkan kami dalam ekspedisi hebat ini. "Best sangat! seronok sangat! pegalaman musafir yang best, percutian yang mengasyikkan" itulah yang mampu saya luahkan. Insyaallah kalau ada peluang rehlah lagi, jangan lupakan kami ye kak Maznah & kak Norma!

Selamat Malam...!

Sabtu, 10 Oktober 2009

Syabbas adik Adi Putra..!



JARANG sangat saya berteleku di depan tv untuk melayan segmen-segmen hiburan di kaca tv, biasanya, segmen yang selalu membuat saya beriktikaf lama depan kaca tv adalah siaran bolasepak dunia, atau segmen sukan yang lain... tapi malam tadi, saya agak kagum bila menonton AC? (AC SEMPOI)... tetamu jemputannya Adik Adi Putra Bin Abd.Ghani dari Perak, seorang yang seolah-olah dihantar oleh Allah dikalangan orang Islam berbangsa melayu mengukir nama di persada antarabangsa sebagai tokoh matematik abad ini...

Rasa kagum menguntum di dalam sanubari, kerana kelebihan yang di anugerahkan Allah padanya... sesekali hati ini berbisik ketika Adi Putra menyelesaikan masalah-masalah matematik yang dahsyat-dahsyat "mengapa tidak aku berada di situ" ... Namun semua itu hanya perasaan kagum yang ada pada Adi Putra, tidak ada sedikitpun sekelumit "dengki" padanya... kerana apa yang ada padanya adalah datangnya dari Allah... bukannya dibeli atau dicuri dari mana-mana...

Kekaguman saya bertambah, apabila ditanya oleh AC "apakah hasrat atau cita-cita Adi Putra dalam matematik?"... sepantas Adi Putra menjawab "cita-cita saya nak membina 3 satelit, 2 satelit di bumi dan 1 satelit di langit dan hanya dapat di akses oleh negara-negara Islam sahaja"... wah! seusia 10 tahun mampu menyusun jawapan sebegitu? dan yang menariknya password (kata laluan) satelit tadi adalah dari AL-QURAN..!
Mengimbau kehebatan Adi Putra ni, teringat saya pada kisah Sayyidina Umar Al-Khattab yang menjadi sahsiah hebat sebelum dan selepas Islam... begitu juga sahabat-sahabat baginda yang lain seperti sayyidina Khalid Al-Walid... Kehebatan mereka dicatat dalam timbunan kitab-kitab sirah, sebagai motivasi dan renungan ummat akhir zaman... tetapi jika direnungkan lagi, kisah-kisah hebat mereka lebih dikenang dan disanjung apabila mereka menjadikan Islam sebagai AD-DEEN! benarlah apa yang disabdakan baginda Rasulullah SAW: (maksudnya)

"Barangsiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, akan dianugerahkan padanya faqeh (faham) dalam urusan ugama"
(riwayat Muslim)

Maka sahabat-sahabat seperti Umar, Khalid dan lain-lain dipilih Rasulullah menjadi kepimpinan hebat kerana "faham dalam urusan ugama" sekalipun jangka masa pengislaman mereka lebih muda dari sahabat-sahabat yang lain... begitu jugaklah situasi yang akan berlaku pada adik Adi Putra... genius yang dianugerahkan padanya bukan hanya sekadar atau untuk mampu membina 200 formula matematik sahaja, tetapi kebijaksanaan itu hendaklah membongkar rahsia-rahsia alam samaada di langit atau pun di bumi untuk ditimba permata-permata tadi oleh golongan yang berakal dan mengambil pedoman... akhirnya Islam akan diyakini satu-satunya ugama samawi yang wajib di anuti bertuhankan ALLAH Rabbul Jalil...!

Semoga suatu hari nanti adik Adi Putra akan menjadi manusia yang hebat menyumbang sesuatu untuk Islam khasnya dan penduduk bumi amnya.

Jumaat, 9 Oktober 2009

"Saya bersetuju dengan Ust Zolkharnain Abidin"


Artikel ini saya copy dari halaman Al-Fadhil Ust Zolkharnain Abidin kerana saya bersetuju dengan pandangan beliau terhadap ulama` muda yang hebat dari Malaysia Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis) 
(Baca dulu tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin di sini)

SATU-“Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur, dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian Umno. Jangan paksa atau ajak ulama masuk Umno, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal ini dapat digarapkan ke seluruh pelusuk masyarakat Melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberi kebaikan kepada niat yang jujur ini…”

Patutlah tiada ulama yang menang MT Umno. Ulama tidak boleh diajak masuk Umno. Maksudnya, kalau ulama ingin terlibat dengan politik, pilihan mereka bukan Umno tetapi parti lain. Baguslah, Umno memang tidak sesuai untuk ulama pun. Cuma kalau maksud petikan di atas ialah ulama tidak boleh terlibat dengan politik, ini boleh dikira mengurung ulama di dalam masjid. Kurung ulama dalam masjid selari dengan idea Kamal Atarturk. Bahaya tu!

DUA-“Mungkin ada yang menganggap mustahil hal ini boleh berlaku dalam Umno. Walau pun saya secara peribadi bukan ahli Umno, namun pernah cuba membaiki dan menguatkan pegangan Islam dalam kerajaan Umno Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Alhamdulillah, saya melihat ada kesannya yang bukan sedikit…
…Maka kesan tidak langsung ketika itu rakyat tidak membuang Umno di Perlis, walau pun disingkirkan di Kedah yang bersebelahan dengannya. Namun bukanlah agenda saya untuk memenangkan Umno dalam pilihanraya, tapi agenda saya ialah dakwah. Saya inginkan Islam itu subur dalam semua organisasi termasuklah Umno.”

Rupa-rupanya usaha bekas Mufti ini membantu menguatkan pegangan Islam dalam kerajaan Umno Perlis tidak dihargai pun. Dia berundur kerana tidak tahan dengan sepak terajang politik di sini. Baginya, rakyat Perlis tidak tolak Umno kerana jasanya itu. Mufti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, kalau sayangkan Umno patut belajar daripada Dr Asri bagaimana untuk memenangkan Umno di negeri masing-masing.

TIGA-Ada orang menegur saya, mengapa saya tidak pernah bersetuju atau sering bermentaliti tipikal terhadap Dr Asri macam orang PAS yang lain juga?

Kerana…

Kalau dia menulis mengenai Umno, bahasanya lunak, pendekatannya mesra, tegurannya menyedapkan hati. Tetapi kalau dia menulis mengenai PAS, pasti ada sindiran dan sinisan, pendekatannya keras dan tegurannya bertujuan memperkecilkan.

Kalau dia menulis mengenai PAS istilah maki hamun, mengumpat, mengutuk tidak pernah ditinggalkan untuk ditujukan kepada PAS, seolah-olah semua itu adalah rutin harian orang PAS. Seolah-olah Umno tidak pernah buat kerja itu semua. Sedangkan dia tahu ada kerja Umno yang lebih memudaratkan daripada itu.

Kalau dia menulis mengenai PAS, sindiran bahawa Islam yang ditampilkan PAS sekadar reka bentuk, rupa paras, Islam berdasarkan kepentingan politik dan banyak lagi perlekehannya terhadap amalan Islam yang dibuat oleh orang PAS. Seolah-olah PAS hanya beretorik dengan Islam, tidak serius dan hanya bermain-main.

Tetapi, kalau dia menulis mengenai Islam Umno pula, dia akan kata, dalam Umno memang telah ada Islam cuma perlu diperkuatkan lagi. Umno memang ada program Islamik tetapi agak terhad. Islam Hadhari Umno pun dipertahankan pada awalnya dahulu.

Dia memang senang untuk bersikap mesra, lunak, halus, berbudi apabila menulis mengenai Umno berbanding PAS, walau pun dia bukan ahli Umno, akuinya.

EMPAT - Saya menghargai usaha Dr Asri menegur mana-mana pihak, tetapi teguran itu biarlah seimbang dan adil. Saya tidak meminta dia memuji PAS sama seperti saya tidak meminta dia mengutuk Umno. Apa yang saya minta ialah, tulisannya mengenai PAS hendaklah objektif sama seperti tulisannya mengenai Umno.

Maaflah, selagi saya belum berjumpa dengan tulisannya dalam akhbar arus perdana yang seimbang, adil dan objektif terhadap PAS, saya tetap bermentaliti tipikal terhadapnya, macam orang PAS yang lain juga.

Kenapa? Sebab saya orang PAS.

Oh, baru saya teringat. Kalau dia menulis mengenai PAS sama seperti dia menulis mengenai Umno tentu tulisaanya tidak tersiar dalam akhbar arus perdana.
Mengapa saya lupa yang itu?

"saya yang menurut perintah"


KBS di SKSantan

PETANG kelmarin ikuti mesyuarat JU B.A & JU P.I di JPNPs... Agenda utama lebih kepada melaksanakan program pengukuhan atau pemantapan aktiviti j-QAF seperti
  • Kem Bestari Solat (KBS)
  • Kem Literasi Al-Quran (KLAQ)
  • Majlis Khatam Al-Quran (MKQ)
  • Kursus Pemantapan guru j-QAF kohot 2008.
Masalah yg timbul dlm melaksanakan semua tu adalah "kekangan masa"... Masa yang hanya tinggal 1 bulan lebih kurang... semua ini gara-gara peruntukan yang turun di penghujung usia 2009 dengan jumlah yg amat terbatas dan terhad... barangkali inilah antara petanda-petanda kecil kedudukan program j-QAF di era Perdana Menteri yang ke enam... Peperiksaan akhir tahun, anugerah kecemerlangan, perkhemahan tahun 6 antara aktiviti yg biasanya dijalankan di sekolah... kini dengan adanya peruntukan utk aktiviti j-QAF, maka pegawai & JU j-QAF peringkat negeri kena memikirkan pelaksanaannya berjalan dengan baik sekalipun terpaksa bertarung dengan kesesakan aktiviti-aktiviti yang tertangguh di peringkat sekolah dan aktiviti-aktiviti yang sememangnya berada dalam takwim sekolah... Namun sebagai penjawat awam, setiap keluhan yang menjelma, pastinya berakhir dengan hati yang redha dan bertanggungjawab, cuba memikirkan pelaksanannya dengan cara yang terbaik semaksima mungkin... "Saya yang menurut perintah" katakan...


Namun disebalik keserabutan melaksanakan kehendak kerajaan terhadap murid-murid di sekolah, aku turut rasa bersyukur dan berterima kasih kerana difahamkan oleh Ustaz Zulkifli Bin Deraoh (Pegawai j-QAF Perlis) bahawa peruntukan KBS tahun ini dah pun ada, dan akan disalurkan ke sekolah-sekolah... "Alhamdulillah... dapat jugak selesaikan hutang makanan program KBS dengan pengusaha kantin yang cukup baik hati, mendahulukan modal yang hampir mencecah seribu ringgit untuk siri-siri KBS di sekolah"

Ahad, 4 Oktober 2009

UMNO BUKAN PARTI ISLAM

Posted on September 21, 2009 by ustaz Idris Ahmad

Utusan Malaysia 11/9/2009 melaporkan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Sik Kedah menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini. Seperti yang dijangka Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengimejkan beliau sebagai pejuang Islam tulin. 

Sudah menjadi kebiasaan kepada mana-mana pemimpin umno di negara ini mereka perlu menjadikan Islam sebagi alat untuk menarik perhatian orang-orang melayu Islam di negara ini. Isu Islam tidak boleh diketepikan dalam politik Malaysia kerana ia sinonim dengan Islam sebagai agama majoriti penganut di negara ini.Teras politik di Malaysia ialah Melayu Islam. 

Doktor Mahathir pernah menyebut di dalam buku Malay Dilema kerajaan buat projek Islam hanya untuk meraih undi sokongan orang melayu dan Islam kepada Umno dalam pilihanraya. Tidak hairan kepada kita semua di kalangan pemimpin Umno cuba membina imej mereka sebagai pejuang Islam. Kalau di zaman Tun Hussin Onn dengan program bulan dakwah, Tun Dr Mahathir dengan Penerapan Nilai-Nilai Islam, zaman Dato’ Seri Abdullah Badwi Islam Hadhari, maka Datuk Seri Najib Dailog Ulama’ dan Umara’. Dan saya yakin dialog ini supaya rakyat ditipu lagi dengan program Islam.

Maka tidak hairanlah kepada kita ia akan memprogramkan Najib sebagai tokoh yang boleh menarik orang Islam menyokong Datuk Seri Najib waktu beliau memimpin nanti. Al maklumlah semua makhluk di bumi kenal siapa peribadi Datuk Seri Najib, maka imej perlu digilap supaya nampak sebagai wira agama yang wara’. Kenapa Datuk Seri Najib bercakap umno juga parti Islam, kerana tempat yang beliau berucap adalah kawasan yang kuat berpegang dengan Islam dan penghayatan agama yang betul.

Di situ terdapat institusi pondok yang begitu berpengaruh, di mana tok gurunya adalah penyokong Pas tegar. Seperti Pondok Tok Guru Haji Salleh, Pondok ustaz Ismail, berhampiran dengannya juga pondok Tok Guru Haji Awang Lanai, Pondok Ustaz Bakar, Pondok Tok Guru Haji Umar Parit Panjang. Menjadi kebiasaan kepada pemimpin umno apabila bercakap ikut suasana. Mengambil rasmi sumpah-sumpah, kalau pokok hijau dia bertukar hijau, kalau pokok kuning dia bertukar kuning.

Atas asas apa Datuk Seri Najib mendakwa umno parti Islam?. Kalau kerana kerajaan pimpinan umno beri tanah, buat masjid, buat sekolah agama, dirikan surau, kutip zakat. Maka parti yang memerintah United Kingdom boleh dianggap sebagai parti Islam. Kerana kebajikan yang mereka buat lebih banyak daripada umno buat di Malaysia. Rakyat hidup dalam suasana yang cukup aman dan tidak tertekan dengan inflasi. Rakyat miskin diberi rumah, perubatan hospital percuma, sekolah percuma, hatta sekolah agama rakyat di UK yang dipimpin oleh Yusuf Islam diberi RM9000.00 perkapita setahun. Sedangkan kerajaan yang kononnya dipimpin oleh parti Islam telah menarik balik perkapita yang bernilai RM60-RM90 kepada sekolah agama rakyat. 

Datuk Seri Najib juga dalam ucapannya menyingkap kisah perang Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan telah berjaya dipihak Islam. Ucapan ini kalau Karpal Sing baca tentu dia ketawa, kerana dia kenal siapa Datuk Seri Najib.

Macam mana umno hendak mengatakan bahawa dia parti Islam. Dalam menanggani isu murtad umno tidak membela dan membisu dalam isu ini. Malahan apabila ada di kalangan pemuda Pas dan orang Islam tunjuk perasaan di Citytel Pulau Pinang dan Hotel Sentosa di Johor Baharu ketika kumpulan Artikel 11 membuat program untuk membolehkan orang Islam bebas murtad. Maka Tan Sri Nazri Aziz Ahli Majlis Tertinggi Umno kata ini kerja bodoh. Nampaknya Umno sanggup berdiam dalam isu murtad. 63 tahun kewujudan Umno kita tidak dengar Umno bertindak sesuatu untuk mengadakan undang-undang murtad.

Isu pengabaian terhadap agama mengenai murtad adalah satu contoh sahaja. Banyak lagi isu mereka yang mengguris perasaan orang Melayu Islam. Kalau umno parti Islam, orang agama dalam umno kena diberi peranan penting, bukan hanya hanya untuk menjadi peluru melawan Pas dan membaca doa dan marhaban sahaja. Mereka bukan dijadikan rujukan untuk mengemudi negara.

Sebaliknya si jahil yang menjadi kepala, manakala si alim menjadi pengikut. Apabila ini terjadi banyak dasar yang bertentangan dengan Islam telah berlaku. Kalau umno parti Islam, mana pergi tokoh agama dalam Umno di persada politik tanah air. Tokoh-tokoh seperti Dr Hamid Osman, Dr Yusuf Nor, Dr Abdullah Mohd Zin, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Datuk Awang Jabar, Datuk Ikhwan Nasir, Datuk Firdaus Ismail al-Hafiz, Nakhaei Haji Ahmad, Mustafa Taib, Datuk Dasuki, Mohd Nor Idris, Wan Mokhtar, ustazah Sharifah Dora. Tidak ada seorang pun tokoh agama yang dipilih dalam MKT Umno. Semua mereka ini sudah menjadi “kupang tembaga”.

Jelas memang orang agama dalam Umno, hanya “boneka Umno” dan “kuda tunggangan Umno. Kalau benar umno parti Islam, kenapa umno tidak dengar nasihat mufti dalam soal agama, sebaliknya nasihat mufti ditong sampahkan sahaja. Ini adalah sebahagian contoh nasihat mufti yang ditolak mentah-mentah,
  1. Apabila Majlis mufti mengatakan sure heboh haram Umno tidak ikut

  2. Apabila majlis mufti mengatakan kongsi raya haram Umno tidak ikut.

  3. Apabila Majlis mufti kata bertafakkur di depan tugu, pemimpin umno sendiri tidak ikut

  4. Apabila mufti membantah penggunaan kondom, methadon untuk mengelak penyakit aids Umno tidak ikut.

  5. Garis panduan hiburan yang dibuat oleh JAKIM Umno tidak ikut.

  6. Tidak ada seorang pun perwakilan Umno yang memilih untuk kerusi majlis tertinggi orang kelulusan agama.

  7. Sepatutnya Umno meletakkan Mufti seperti penasihat undang-undang yang akan menasihati kerajaan kalau ada enakmen yang bertentangan dengan Islam. Kalau nasihat Penasihat Undang kerajaan wajib ikut supaya ia selari dengan undang-undang, kenapa mufti tidak boleh nasihat kerajaan dalam bidang agama yang wajib diikut. Walaupun yang mencadangkan itu ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kalau mufti dan JAKIM pun Umno tidak mahu menerima pakai. Siapa lagi Umno mahu dengar nasihat? Sepatutnya kalau umno parti Islam, kenapa Kementerian Pelajaran tidak menjadikan sebagai satu peraturan mewajibkan para pelajar Islam memakai tudung di sekolah kerana ini adalah suruhan Allah. Sekurang-kurangnya boleh mengubat keruntuhan akhlak di kalangan para pelajar. Dengan memakai pakaian yang menutup aurat akan memelihara aurat pelajar perempuan yang sedang membesar. Kerana ini akan mengurangkan daya tarikan untuk melakukan perzinaan di kalangan pelajar.

Cuba bayangkan uniform sekolah berwarna putih. Apa akan terlihat pada badan pelajar perempuan yang bersebelahan dengan pelajar lelaki. Inilah yang perlu direnung oleh pemimpin Umno/BN. Islam yang umno pejuangkan tidak mewajib pelajar perempuan memakai tudung, tetapi mewajibkan pelajar lelaki berstokin. Inilah hukum Islam ala umno.

Rumusannya umno bukan parti Islam, ini berdasarkan kepada dasar parti umno, tindakan umno, penghayatan Islam (seperti isteri pemimpin yang tidak bertudung) kesemuanya tidak menepati dengan ciri sebuah parti Islam. Ia hanya layak sebuah parti untuk perjuangan mengisi perut sahaja. kan umno, penghayatan Islam (seperti isteri pemimpin yang tidak bertudung) kesemuanya tidak menepati dengan ciri sebuah parti Islam. Ia hanya layak sebuah parti untuk perjuangan mengisi perut sahaja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...