Selasa, 29 September 2009

Apa itu "AQIDAH" ?

Salah satu daripada pecahan amal mulia di bulan Ramadhan adalah beri’tikaf dan bertafakur. Ketika melakukan pelbagai muhasabah, maka saya ada terpandang satu ayat yang sedikit mencurigakan. Ia berbunyi begini:

Perdana Menteri berkata, “kita tidak akan membiarkan Umno dipermainkan dan akidah parti itu dipersoalkan mana-mana pihak. Jangan persoalkan akidah kita (Umno)” (Berita Harian 8 September 2009).

Melihatkan kenyataan ini, hati saya tertanya-tanya sama ada bolehkah manusia atau parti politik membuat akidah? PAS tidak pernah mencipta akidah. Islam ini bukan pandai-pandai PAS. Ia agama yang diturunkan kepada Nabi-Nabi oleh Allah Azzawajalla. Bermula dari Nuh a.s., Ibrahim a.s., Musa a.s., Isa a.s. dan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Apa yang PAS lakukan ialah meniru bulat-bulat keputusan yang telah dibuat oleh Allah S.W.T. melalui kalimat syahadah dan tauhid Allah dalam segala segi. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Katakan: Dialah Allah, Yang Maha Esa
Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu
Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan
Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.
(Surah Al Ikhlash: Ayat 1 hingga 4).

Dizaman dahulu, orang merujuk akidah itu sebagai i’tikad. Ia berasal dari perkataan aqoda dan bermakna ikatan. Akad nikah adalah ikatan antara A + B. Begitu juga dengan akad jual beli.

Akidah adalah kesimpulan. Ia persoalan tali pengikat yang menyimpulkan hubungan kita dengan Allah S.W.T. Orang yang berpegang dengan akidah dinamakan sebagai orang yang mempunyai kesimpulan hidup yang kukuh. Dalam hal ini Nabi S.A.W. pernah bersabda yang membawa matan, “telah ku tinggalkan engkau dengan dua perkara iaitu Al-Quran dan hadith. Berpeganglah keduanya dengan tangan kamu sekuat-kuatnya atau gigitlah ia dengan gigi gerham/taring (jika dikhuatiri akan terlucut).” Kandungan yang terdapat dalam akidah ialah Islam + Iman. Ia bertujuan untuk selamat di akhirat. Bercakaplah sama ada mengenai pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, taraf hidup atau budaya murni – pada akhirnya, kesemuanya sekali mesti menuju kepada mencari hasanah di akhirat. Di sini, Umno buat akidah untuk apa?

Saya cukup hairan bahkan terkejut apabila Presiden Umno tanpa segan silu menggunakan perkataan ‘akidah Umno’. Sejak bila Umno mencipta akidah? Jika dia buat sekalipun maka sahlah bahawa akidah jenis ini adalah palsu. Ia tidak dinilai di akhirat kelak.

Kita perlu cermat untuk membezakan antara dasar atau perlembagaan parti dengan perkara akidah dalam agama. Saya ingat, ilmuan Islam lebih arif untuk menjelaskan perkara ini. Inilah puncanya yang selalu saya katakan bahawa pintu rundingan antara PAS dan Umno sudah tertutup rapat. Apa yang mungkin boleh Umno lakukan ialah menukar dasar daripada kebangsaan kepada dasar Islam. Dengan cara ini, barulah rakyat ada keyakinan bahawa Umno ini parti yang sudah mempunyai akidah Islam. Perubahan dasar ini adalah satu perkara yang sangat mustahak kerana hidup dalam segenap perkara termasuk dasar parti Islam perlu diselaras dengan akidah Islam. Dasar ini harus berasaskan akidah yang tepat dan diredhai oleh Allah S.W.T. saja akan menuju ke jalan Syurga. Sebaliknya mana-mana dasar atau parti atau pertubuhan yang tidak selaras dengan akidah Islam adalah ditolak. Perkara akidah ini bukan boleh dibuat oleh mana-mana manusia. Mana boleh manusia atau pertubuhan membuat akidah partinya yang sendiri.

Akidah Islam boleh terpancar dalam pelbagai lafaz doanya. Di dalam doa Iftitah misalnya, terkandung aspek penyerahan menyeluruh terhadap rabb seperti, “sembahyangku, hajiku, segala aktiviti hidupku dan matiku (nyawaku) kerana Allah Taala.”

Begitu juga doa dan zikir-zikir masyhur yang menjadi amalan rata-rata umat Islam. Misalnya, selepas sembahyang kita berwirid yang membawa maksud:

a) “Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, semua kerajaan milikNya dan bagiNya segala pujian, Dia menghidup dan mematikan (semua perkara), sedangkan Dia sentiasa hidup dan tidak mati, ditanganNya segala kebaikan dan Dia Maha Berkuasa atas semua perkara.”

b) “Allah telah menjamin aku dan cukuplah Allah bagiku, Allah Maha Mendengar permohonan sesiapa yang bermohon (kepadaNya), tidak ada lagi selain Allah tempat meminta dan berhajat.”

c) “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada seorang lelaki (bapa), ibuku yang juga hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, berlaku ke atasku setiap ketentuanMu, terlaksana ke atasku setiap keputusanMu, aku mohon kepadaMu dengan (berkat) semua nama yang Engkau namakan kepada zatMu atau nama yang Engkau sebutkan di dalam kitabMu atau nama yang Engkau ajarkan kepada sesiapa sahaja dari kalangan makhlukMu atau nama yang Engkau rahsiakannya di dalam ilmu ghaib di sisiMu (aku mohon) agar Engkau menjadikan Al-Quran yang maha agung sebagai sumber ketenangan bagi hatiku, cahaya penglihatan mataku, menghapuskan perasaan dukacita dan sebagai penghalang kepada perasaan sedih dan gelisah.”

d) “Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang mengetahui perkara yang ghaib dan nyata. Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.”

Dari empat petikan maksud doa-doa di atas, sangat jelas konsep tauhid yang mengEsakan Allah. Dialah sumber kekuasaan, satu-satunya tempat ketaatan dan titik tumpuan dalam pengabdian makhluk. Ini bukan soal 1Malaysia kerana Islam mengajar kita bahawa tiada zat dan tiada Tuhan yang wajib dan boleh atau wajar disembah melainkan Allah Yang Maha Besar.

Jika mahu bercakap soal perpaduan dan penyatuan, maka inilah titik penyatuan dasar yang saya selalu sebutkan. Ertinya, jika Umno kononnya ikhlas untuk melakukan kerjasama demi kepentingan masa depan Islam dan ummah di negara ini, maka Umno perlu bersedia terlebih dahulu untuk mengubah dari dasar kebangsaan kepada dasar Islam.

Jika betullah nak jaga Islam, PAS lah partinya yang menjadi pilihan kerana dasar PAS sejak awal lagi ialah Al-Quran dan Hadith. Ini berlaku sejak penubuhannya di Pulau Pinang pada tahun 1951 lagi. Ini berikutan alim ulama’ dalam Umno keluar dari Umno untuk menubuhkan PAS kerana tidak yakin dengan perjuangan Umno yang berfahaman kebangsaan. Dengan latar belakang ini semua orang harus masuk PAS untuk bersama dengan PAS. Tidak timbul soal PAS dipelawa untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan demi kononnya untuk masa depan Islam dan ummah di negara ini. Ini bukan isu.

Kelantan sudah hidup hampir 20 tahun di bawah dasar Islam dan kami tidak mempunyai apa-apa masalah. Bahkan secara hikmah dan istiqamah, kami telah secara berperingkat-peringkat sedang menukar pemikiran rakyat (brainwash) daripada menjadi pak turut kepada cara hidup mat saleh secara membabi buta kepada menjadi pak turut kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Saya sesungguhnya tidak faham dengan pendirian Umno yang mengaku Islam tetapi dalam masa yang sama menolak Islam. Pada saya, Islam jenis ini setaraf dengan penduduk setinggan yang menduduki sesuatu tempat secara haram. Jika rumah setinggan didirikan di atas bahu jalan atau tanah-tanah kerajaan yang lain maka pihak kerajaan ada hak untuk meroboh, menghalau atau mengenakan denda. Sikap pemimpin Umno boleh kita analogikan seperti kes setinggan ini. Kita kena faham bahawa kita menumpang bumi Allah dan sedang menggunakan segala kemudahan yang Allah sediakan. Jadi, sepanjang masa dalam hidup kita, kita telah termakan budi dan berhutang budi. Jika kita sedar yang kita menumpang bumi Tuhan, maka kita kenalah patuh kepada undang-undang dan peraturan Pemiliknya.

Jadi jelaslah bahawa dalam hidup kita ini, hanya terdapat satu sahaja akidah iaitu akidah Islam. Jika ada juga akidah lain yang didakwa oleh sesiapa, maka sahlah ia adalah akidah bertaraf setinggan. Percubaan Umno yang membangkitkan rundingan mengenai masa depan Islam dan ummah di negara ini adalah cerita lama. Umumnya, rata-rata pemimpin PAS, sudah tidak lagi berminat dengan gimik-gimik kabur yang seumpama ini. Hanya orang PAS yang tidak mahir dengan gelagat lawan sahaja boleh keliru dengan permainan yang sedemikian. Pada saya, apa yang ada di hadapan cukup jelas. Sambil menegur dan berdakwah untuk saling ingat-mengingati dalam bulan Ramadhan yang sangat mulia ini, saya perlu memberitahu bahawa kami sedang melangkah dan akan terus melangkah. Kami menuju bulan purnama.


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Kelantan.


Bertarikh: 20 Ramadhan 1430 / 10 September 2009.

BEBERAPA KENYATAAN MENGHINA ISLAM DAN AKIBATNYA

Dalam akhbar HARAKAH bertarikh 30 Syaaban – 2 Ramadhan 1430/21 – 23 Ogos 2009, saya tertarik dengan dua fakta yang ditulis oleh Mohamed Hanipa Maidin dalam artikel beliau bertajuk “Sejak bila Umno tidak hina Islam.” Ia berbunyi seperti berikut:


i) Ucapan Dato’ Rais Yatim di Hotel Equatorial, Bangi semasa merasmikan seminar Inter Faith Commission (IFC) antara lain menyatakan (dalam bahasa Inggeris) yang terjemahannya:


(Dalam masyarakat majmuk) tiada orang yang boleh mendakwa bahawa agamanya adalah agama terbaik dengan mengenepikan agama-agama lain kerana dengan mengatakan demikian akan memusnahkan prinsip persamaan (agama) dan prinsip kemanusiaan.


Ucapan Rais Yatim ini telah diterbitkan di dalam Infoline Majlis Peguam.




ii) Dato’ Nazri Aziz pernah secara terang-terang di satu forum anjuran Majlis Peguam berkata Umno terpaksa menggunakan Islam kerana jika parti itu tidak berbuat demikian ia akan hilang undi kepada PAS.




Buat Rais Yatim dan orang-orang yang berfikiran seperti beliau, saya ingin bertanyakan begini. Dimana nak diletakkan pengesahan Allah S.W.T tentang taraf ugama islam melalui Ayat yang bermaksud:


Sesungguhnya Deen (agama) yang diredhai Allah hanyalah Islam? Inna deen na in dallah hil Islam? (Sebahagian Ayat 19: Surah Ali’Imran).”


Inikah caranya seorang pemimpin Islam membuat kenyataan? Dengan kata-kata seperti ini, syahadah kita yang bermaksud “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” akan menjadi satu lafaz kosong. Ia boleh menukarkan “Asyhadu” ; langsung tidak berfungsi. Sepatutnya secara pengertiannya yang bergerak, dia(Asyhadu itu) memberi erti bahawa kita yakin sampai sanggup menjadi saksi. Perihal seriusnya kalimat syahadah ini sampai ia tidak boleh diwakili kepada orang lain untuk dilafaz.


Ucapan dan pegangan pemimpin Umno yang sebeginilah sebenarnya yang perlu direnung oleh seluruh umat Islam. Inilah salah satu puncanya sehingga saya berani membuat penegasan bahawa Umno ini membawa Islam dari benih kacukan. Islam dari jenis palsu dan plastik. Memang tepat sungguh sikap PAS yang telah menolak sebulat suara teori Kerajaan Perpaduan.


Jika samalah kedudukan rakyat yang ada agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha maka apa pula halnya dengan mereka yang berfaham Atheis yang langsung tak beragama? Apa pula kedudukan golongan komunis yang menolak agama dalam kerangka pemikiran Rais? Sama? Tak serupa? Atau serupa tapi tak sama? Yang peliknya, dalam hal semangat Melayu, pemimpin Umno bermati-matian pula mempertahankan ketuanan Melayu. Apakah Rais bermaksud, faham kebangsaan Melayu itu berada di atas dari segala-galanya termasuk Islam itu sendiri? Malu sangatkah untuk iktiraf ketuanan Islam? Tidakkah Islam itu tempatnya di atas dan tiada yang mengatasi ?


Sedarkah kita bahawa jika dilayan logik pemikiran pemimpin bertaraf Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini, maka bila semua agama ini serupa tidakkah Hukum Murtad sudah tidak lagi diperlukan? Kubur muslim dan Non- muslim pun sudah menjadi tidak perlu kerana semua orang boleh ditanam bersekali? Mayat muslim pun apakah halal dibakar?


Sedarkah kita bahawa pemikiran jenis ini boleh membawa kita kepada fenomena perkahwinan campur antara muslim/non-muslim yang berleluasa tanpa perlu menukar agama. Ini juga bermakna Mahkamah Syariah tidak diperlukan lagi. Tak timbullah isu sebat Kartika sama ada perlu dibedal atau tidak mengikut peraturan dan syariat Islam. Pendek kata, kenyataan ini sudah tidak syak lagi telah menimbulkan keresahan yang bukan sedikit kepada umat Islam.


Menyentuh tentang kenyataan Dato’ Nazri Aziz pula, yang secara terang-terangan berkata di dalam satu forum anjuran Majlis Peguam bahawa Umno terpaksa menggunakan Islam untuk meraih undi kerana bimbangkan kehilangan sokongan kepada PAS jika tidak berbuat demikian; maka jelas di sini bahawa Umno tidak menjadikan Islam ugama untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kenyataan ini mengesahkan bahawa Islam bukan menjadi landasan perjuangan Umno. Islam itu bukan “a complete way of life”. Sahlah dengan ini, Umno hanya menggunakan Islam untuk tujuan-tujuan upacara dan “ritual” semata-mata. Ugama Islam hanya sekadar untuk cari makan dengan mengekalkan kekuasaan? Jika timbul keperluan, Islam itu boleh diperalatkan. Yang penting ialah hegemoni dan kekuasaan politik.


Jika begitu apa pula fungsi tilawah, perarakan maulidurrasul atau sambutan maal hijrah di sisi Umno yang dianjurkan selama ini? Dalam hubungan ini, jangan salahkan rakyat jika mereka menuduh Umno sebagai parti yang hanya pentingkan kuasa. Segala komitmen terhadap projek-projek agama hanya bertujuan kosmetik, pameran atau bahan perhiasan semata-mata untuk tujuan-tujuan materialistik.


Sebenarnya, inilah yang mendorong saya untuk mengatakan bahawa Umno ini sebuah parti politik sekular yang oportunis. Ia gemar dan selalu menggunakan faham kebangsaan dan Islam bagi mengelirukan orang Melayu. Umno menggunakan kesempatan sistem sekular yang memisah agama dengan kehidupan dan kadang kala mencampur adukkan segala benda itu untuk hidup sepenuhnya dalam tubuh pergerakan Umno. Ini yang menjadikan perjuangan mereka berkecamuk, tidak berhaluan dan tidak berdasar. Dasar Umno ialah “tiada dasar”.


Inilah juga alasannya ; saya mengistilahkan Umno ini sebagai parti yang mengamalkan Islam dari baka kacukan. Inilah juga Islam palsu yang saya telah namakan kepada parti Melayu ini kira-kira dua minggu yang lalu. Saya kata Umno ini beramal atas Islam plastik, dia memfitnah saya pula yang kononnya saya mengatakan mereka mengamalkan Islam Palestin. Inilah susahnya bermain dengan parti yang tidak menjaga agama dan menjadikan dosa pahala sebagai dasar, agenda dan program perjuangan.


Pendek kata sebelum Umno menuduh saya sebagai orang yang kononnya sedangkan mengelirukan umat mengenai Islam maka melalui bukti-bukti ini rakyat sekalian boleh melihat siapa dan parti manakah sebenarnya yang sedang keliru dan tekun mengelirukan rakyat dalam segenap segi. Sambil-sambil beriktikaf di masjid dalam bulan yang semulia ini, eloklah juga kita semua membuat renungan bagaimanakah cara yang sebenar untuk menyelamatkan Islam dan umat Islam dari tipu daya rakan-rakan kita dari Umno ini ?


Sebagai penutup, izinkan saya berundur dengan menumpang doa Nabi Allah Ibrahim a.s. yang berbunyi, “ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim : Ayat 41).




NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 5 Ramadhan 1430 / 26 Ogos 2009.

Ahad, 27 September 2009

Raya ke3 "Jom Berkelah & Beraya"



















































Ketika sarapan pagi, mak & abah cadangkan agar program "Jom Berkelah & Beraya" dipercepatkan pada hari ini (Selasa 22.09.09) yg sepatutnya pada hari Khamis (24.09.09) atas alasan hari khamis tu pakat ada agenda masing-masing... akhirnya sidang tergempar td diluluskan dan disokong tanpa ada bantahan:)... Syukran buat mak & abah atas idea yg bernas tu...

Perjalanan kami bermula pada jam 11.00 tghari... konvoi 3 kereta (Matrix 2 Viva 1) menuju ke Pusat Rekreasi Lata Bayu, Baling... perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 3 jam ke sana berubah menjadi 5 jam... apa tidaknya, sepanjang perjalanan dari Simpang Empat, Perlis kenderaan sudah makin banyak... rupa-rupanya sudah ada yang mula meninggalkan kampung halaman utk pulang ke kota, kembali bertugas pada keesokan harinya... perjalanan begini sangat meletihkan lutut & kaki bagi yang memandu kenderaan "manual gear"... alhamdulillah sekitar 1.00 tghari kenderaan kami dapat melepasi kesibukan di tol A.Setar (S)... perghh letih jugak lutut Den!! Bila sampai R&R Gurun untuk solat zohor... sekali lagi panorama kesibukan dilihat... restoran penuh, kerusi penuh, tandas penuh, tapi surau tak penuh... aneh kan!! Oops! mungkin depa "Jama` Takhir" kot..!

On the way ke Parit Panjang, cuaca sudah mula menunjukan petanda hujan lebat... setibanya di lokasi, mmg seperti yg dijangka... hujan lebat, angin bertiup kencang... akhirnya Lata Bayu hanya menjadi lokasi "GORPIS" shj...

"Kita merancang... Allah juga merancang... pastinya ketentuan Allah itu lebih baik buat kita semua"

Perasaan hampa terbungkam... hajat nak berkelah di Lata Bayu gagal... akhirnya konvoi "Jom Berkelah & Beraya" meneruskan agenda beraya dirumah Cikgu Nasrun & Cikgu Hasan di K.Ketil... 2 watak antara watak-watak hebat dalam mengasuh, menjaga & memberi perhatian pada kami sekeluarga... begitu juga sekolah yang menyimpan 1001 kenangan dalam kehidupan kami semua...

"Terima kasih mak & abah kerna memilih institusi ini sebagai agenda pembangunan insan kami"

"Jom Berkelah & Beraya" melengkapkan tentatif hari ini ke MRSM Merbok, untuk melepaskan letih, melabuhkan badan di sana, disamping aktiviti "bakar-bakar ikan" penutup diari musafir kami pada hari ini...

Selasa, 22 September 2009

Gema di pagi Syawwal 1430














الّله أكبر الّله أكبر الّله أكبر ولّله الحمد
Syukur alhamdulillah tuhan panjangkan umur kita semua sehingga dapat menikmati hari lebaran, hari agung bagi orang2 Islam... Budaya kunjung mengunjung menjadi agenda penting di hari lebaran... yang jauh didekatkan, yang dekat dieratkan... luput segala dosa-dosa kecil, dosa-dosa dendam apabila saling memaafkan antara satu sama lain...

Solat Eidul Fitri di Marasah Ad-Diniyyah (MADI) di imamkan oleh Ust. Ahmad Adnan Fadzil manakala khutbahnya oleh Dato` Dr Harun Din (Timb. Mursyidul Am Pas)... Banyak perkara yang disentuh dalam khutbah tersebut, antaranya kesungguhan UMNO & BN melaksanakan Islam di Malaysia contohnya pendirian mereka dalam isu Kartika yang ditangguhkan hukuman sebat keatasnya, dan banyak lagi isu yang disentuh oleh Timbalan Mursyidul Am...

Aktiviti kami sekeluarga pada hari raya pertama ialah menerima kunjungan sanak saudara, rakan taulan... tetamu datang silih berganti, senyuman terukir wajah berseri... gembira terpancar!!! Nasi minyak bersulamkan gulai daging dan rendang ayam menjadi menu keluarga kami di Jejawi... Perut pun seakan memberontak menguyah hidangan... takut pulak kalau2 krem... maklumlah... sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga disiang hari...

Raya ke2, berkunjung ke TT Serong, rumah Ngah Chot`s... makan laksa pulak tu... dah mmg trademark, menu depa "Laksa"... kami yang memang tak bersarapan sangat pagi ni, pakat "kayuh" laksa... teloq ghebuih pun 2,3 kali jugak tukaq pinggan... hahahaha macam melahap la pulak... aktiviti raya ke2 ni lebih pergi berhari raya rumah sedara mara je la...

"Bukanlah perayaan itu (hanya) hari mengenakan pakaian baru, dan bukanlah juga (hanya) hari menjamah hidangan yg enak, akan tetapi perayaan itu adalah mereka yang sangat takutkan hari pembalasan" (alhukama`)

Sabtu, 19 September 2009

Penghujung Ramadhan 1430

Sedar tak sedar kita sudah berada di penghujung ramadhan 1430... Terpancarlah beberapa episod perasaan dengan pemergian ramadhan... Sebahagiannya sangat gembira kerana esok hari lebaran, sebaliknya ada yang bersedih dan berduka sekalipun esok hari lebaran... Namun bagi aku, ramadhan kali ini berbaur macam-macam rasa... gembira pun ada, sedih pun ada...

Perasaan gembira terhambur kerana pada tahun ini dapat berhari raya bersama mak & abah serta adik-adik di Perlis. Maklumlah jodoh aku dengan orang luar Perlis, maka hari raya mestilah dibahagi-bahagikan ikut giliran, namun di mana sekalipun lokasi perayaannya, kegembiraan dan kemeriahan tetap sama... "Syukur Alhamdulillah".

Persiapan tahun ini sebenarnya tak nak sakan-sakan sgt, tapi bila mengenagkan Hilyatul Husna, maka buat jugaklah sikit2 persiapan. Apatah lagi tahun ni Taisir pun balik bercuti dari Mesir. Plan raya tahun ni keluarga El-Hussin nak konvoi ke Lumut... ntahlah Lumut tu kat mana, yang penting hasilnya adalah "kasih sayang" "kemesraan" dalam keluarga kami.

Perasaan hiba pulak datang dengan pemergian ramadhan... "Takut" bercampur "Harap" semoga amalan ramadhan yang seba kekurangan itu dinilai "Hasanah" oleh Allah SWT... Aamin...

Selain itu juga perasaan sedih muncul bila sesekali terkenangkan Allahyarham Cikgu Nordin Ahmad... Kembali kerahmatullah pada petang jumaat 4 September 09 bersamaan 14 Ramadhan 1430. Seorang guru yang berdedikasi di SKSantan... Banyak episod-episod suka duka sepanjang bergelar guru dikongsi bersamanya... Dialah Kawan, dialah Teman, dialah Abang... Semoga Allah tempatkannya dikalangan orang yang bertaqwa... Al-Fatihah!

Sempena ramadan kali ini, ampun dan maaf buat semua... terutamanya mak & abah di Jejawi serta di Semenyih, doakan kebahagiaan kami di dunia & akhirat... "Kullu A`am wa Antum bi Khair"

Jika memerintah, PAS jamin beri keadilan untuk semua

Dzulfikar Mashoor
Fri | Sep 18, 09 | 11:32:50 am MYT


TELOK KEMANG, 18 Sept: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam memberi jaminan bahawa PAS berdiri atas prinsip keadilan Islam akan terus memelihara hak semua rakyat, tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan status sosial.

"Islam memberi hak kepada orang Islam dan bukan Islam. Sesuatu yang tidak dilarang oleh agama lain, jika PAS memerintah, maka PAS tidak akan haramkan," katanya.
"Tetapi, seperti babi, arak, rasuah, maksiat yang ditegah ke atas orang-orang Islam, maka tidak boleh dijual kepada orang Islam. PAS mahu mendidik umat Islam supaya menjauhinya," katanya lagi. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyentuh isu bantahan pemindahan kuil ke Seksyen 23; dan kes pemindahan kandang babi yang dipercayai khalayak sebelum ini didalangi Umno.


Image"Di Selangor, Umno nak tunjuk merekalah yang mempertahankan Islam walhal kerajaan Umno lalu menipu orang Islam sendiri dengan membina taman perumahan tanpa ditunjukkan wujudnya kuil berusia 150 tahun dalam plan kepada pembeli-pembeli rumah (di Seksyen 19). "Mengarak kepala lembu, bukan sahaja menjadikan mereka menghina kepercayaan penganut Hindu, tetapi menunjukkan mereka tidak memahami ajaran Islam yang sebenar. "Umno sanggup tidak menyelesaikan kes kandang babi di kawasan awam di Kedah berpuluh tahun, kerana nak jaga hati orang Cina. PAS difitnah khianat Melayu (dan) pentingkan Cina, walhal kerajaan Pakatan di Kedah sebenarnya hanya pindah kandang itu ke suatu kawasan yang lebih sesuai untuk orang Melayu dan Cina sendiri,"jelasnya dalam Majlis Perlancaran Jentera PAS N31 semalam.


Tegasnya lagi, apa yang dilakukan PAS bertepatan dengan ayat al-Quran, Surah an-Nisa' ayat 58. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kami menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya secara adil.
 

ImageBercakap di pentas yang sama,Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, Umno sekarang dikatakan kian terdesak apabila Presidennya Dato' Seri Najib Tun Razak terpaksa mengisytiharkan parti perkauman itu juga melaksanakan Islam.
"Dalam beberapa pilihan raya kecil lepas, Umno lihat PAS terus mendapat sokongan orang Melayu, Cina dan India. Akhirnya, mereka terdesak dan Najib terpaksa isytihar Umno juga parti (pelaksana) Islam (seperti PAS).
"Politik Islam yang diperkenalkan PAS mengajak manusia jadi baik. Politik yang ditegakkan Pakatan Rakyat mahu tolak apa juga kezaliman, rasuah dan penyelewengan. Itulah yang Umno bimbang, itulah yang rakyat lihat,"tegasnya.
Turut menyertai majlis itu, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Majlis yang disertai lebih 500 sukarelawan PAS tempatan itu berakhir dengan perlancaran portal rasmi Bagan Pinang.
Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat dijangka mengumumkan calon mereka pada 29 September depan.
Selain berdepan dengan parti perkauman Umno, PAS dijangka berdepan calon bebas Shahruddin Abdul Hamid yang mahu membangunkan aktiviti pelancongan setempat. - mks. _

Khamis, 17 September 2009

Sesekali...

Assalamualaikum semua...
Dah lama rasanya tak posting apa-apa... maklumla tak berapa pandai sgt sebenarnya blog-blog ni di tambah pulak tak luangkanmasa utk menulis... hari ni nak kongsi kisah drama bersiri "Cinta Sempurna"... Erm kesimpulannya drama wajar ditonton oleh semua... kerana beberapa faktor:

1) Kisah ini berpaksikan experience dari seorang yang bergelar ustaz.

2) Jalan ceritanya membongkar kelemahan-kelemahan kebanyakan orang yang mengaku Islam tapi tak faham dengan sesuatu tuntutan ugama.

3) Antara cabaran era baru dalam memahami Islam... Ugama bukan perkara yang ditutup ruang lingkup untuk bertanya & berhujah, bahkan Islam menuntut kita untuk mengkaji segala apa yang ada di bumi Allah, dan pastinya tanda-tanda kebesaran Allah akan munculsebagaimana yg dijanjikan Allah SWT.

Selamat menonton "Cinta Sempurna" di http://www.youtube.com/watch?v=rF1lKGhK9cw semoga kita mendapat banyak manfaat darinya.

Sekian, wassalam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...