Selasa, 6 Mac 2012

Relevankah Anwar dan Najib berDEBAT..?

"Anak muda hari ini cukup terdedah dengan pelbagai media sosial, sudah pasti mahukan seorang pemimpin masa depan dari kalangan yang berilmu, praktikal dan prakmatik,"
Prof. Dr Abu Hassan Hasbullah

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Desakan anak muda mahukan perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penentu untuk memutuskan pemimpin mana yang mahu dipilih. 

Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia, Prof. Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, fenomena perdebatan bukan sesuatu yang baru pada kurun ke-21 kerana pada kurun ini diterjemahkan sebagai kurun informasi, partisipasi dan demokrasi.


Katanya, bagi orang muda yang terdiri daripada 11 juta daripada 26 juta rakyat negara ini sudah pasti bagi mereka politik hari ini tidak sama dengan politik kurun sebelum itu.


"Inilah peluang bagi orang muda mahu melihat lebih dekat pemimpin mereka berhujah dan berdebat dalam politik masa depan," katanya kepada Harakahdaily. 


Bagi Abu Hassan dengan cara inilah mereka mahu menyaksikan aspek kebijakkan dasar, ketrampilan dan ketelusan pemerintahan yang akan dilaksanakan. 

"Anak muda hari ini cukup terdedah dengan pelbagai media sosial, sudah pasti mahukan seorang pemimpin masa depan dari kalangan yang berilmu, praktikal dan prakmatik," katanya.

Jelasnya, sebagai seorang yang intelektual sudah pasti tidak dapat dilihat secara kasar kecuali berlaku perdebatan dalam isu-isu kritikal dan pertimbangan masa depan tanah air.

"Masa ini rakyat mahukan negara sangat mempunyai matlamat yang jelas,  keduanya bagaimana hendak meningkatkan negara menjadi maju dan sekarang adalah 'period' untuk menentukan masa depan.

"Oleh kerana itulah, anak muda mendesak berlakunya perdebatan untuk menangani krisis yang akan datang," katanya. 

Mengulas kajian terbaru Merdeka Centre itu, bagi Abu Hassan golongan pengundi terbesar ini ingin memilih seorang pemimpin yang benar-benar mampu mentadbir negara.

Agensi kaji selidik itu mendapati 54 peratus daripada mereka menyokong debat itu diadakan. Golongan paling tinggi menyokong menurut kajian itu adalah golongan muda yang berumur 21 hingga 30 tahun iaitu sebayak 67 peratus.

Ini kerana, katanya, orang muda tidak boleh bergantung kepada media sahaja kerana media hari ini tidak lagi dipercayai oleh masyarakat.  

"Untuk menilai secara keseluruhan sudah pasti orang muda mahukan perdebatan kerana media sebagai abstrak atau ringkasan sahaja," katanya 

Justeru katanya, mereka mahu lihat secara terbuka dan sekali gus memberi jalan kepada mereka untuk memutuskan pemimpin mana yang mahu mereka pilih. 

"Tidak ada cara lain untuk dekat dengan masyarakat sebab cara terbaik bersemuka dan berbahas dengan mengemukakan padangan masing-masing kerana isunya adalah untuk menangani masa depan negara," katanya.



Sumber: harakahdaily

Isnin, 5 Mac 2012

Rabu, 22 Februari 2012

PAS, Anwar dan HAMAS dalam isu PALESTIN



DATUK SERI ANWAR, PALESTIN DAN ISRAEL

Pagi semalam, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.

Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulamak PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.

Majlis Syura Ulamak juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama.

Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak, iaitu PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini.

Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin. Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.

Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin. Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun.

Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.


Sumber: harakahdaily

Ahad, 19 Februari 2012

Khasiat Teh dan Manfaat Jantung

"...pengambilan teh hitam secara teratur, sama ada ditambah dengan susu atau tidak, boleh mengurangkan masalah jantung dengan memotong paras kolestrol jahat dan juga gula dalam darah"

LONDON 18 Feb. - Pengambilan tiga cawan teh setiap sehari cukup untuk mengelak anda daripada serangan jantung dan diabetis jenis 2, menurut satu kajian terkini. Kajian diketuai Dr. Carrie Ruxton itu menunjukkan pengambilan teh hitam secara teratur, sama ada ditambah dengan susu atau tidak, boleh mengurangkan masalah jantung dengan memotong paras kolestrol jahat dan juga gula dalam darah. 

Beliau yang merupakan Pakar Pemakanan berkata, manfaat teh terletak pada kandungan flavonoid, iaitu bahan anti-oksidan yang berfungsi mengawal penyakit kardiovaskular.

“Sebenarnya banyak manfaat yang terkandung dalam minuman kegemaran ramai ini daripada apa yang kita jangkakan,” kata Ruxton, yang juga merupakan anggota Panel Penasihat Teh (TAP).

Menurutnya, secawan teh menyediakan antara 150 dan 200 miligram flavonoid dan ia merupakan sumber anti-oksidan terbaik berbanding hidangan-hidangan lain. Sebagai perbandingan, kandungan anti-oksidan dalam dua cawan teh bersamaan dengan lima bahagian sayur-sayuran.

Seorang lagi anggota TAP, Dr. Tim Bond pula berkata, masalah kronik seperti sakit jantung, strok dan diabetis berkait rapat dengan proses keradangan dan kehadiran radikal bebas pro-oksidan yang berlebihan dalam badan.

“Bahan anti-oksidan dan anti- keradangan yang terkandung dalam flavonoid teh hitam memberi kesan positif kepada tubuh,” katanya. - AGENSI

Sumber: utusanonline

Sabtu, 11 Februari 2012

Najib masih Muslim atau ..... ?

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka. Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,”

Saya tertarik dengan apa yang sedang berlaku ini kerana ia melibatkan pemimpin besar negara. Ini persoalan aqidah yang wajib dipatuhi. Apa yang berlaku ini sebagai bukti, Islam yang dicanangkan hanya bagaikan 'make-up' untuk melariskan ideologi perjuangan UMNO.

Setinggi penghargaan buat Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria diatas usaha beliau menegur pemerintah. Saya yaqin, teguran ini walaupun dilihat 'simple', tetapi 'sukar' apabila yang ditegur itu adalah Perdana Menteri. Namun apakan daya, sekalipun teguran demi teguran diajukan, Najib ternyata tidak menghormati nasihat dan teguran itu.

Entah siapa yang mampu menarik minat Najib untuk menerima nasihat agama ini. Seandainya (nasihat) mufti pun tidak diendahkannya. Mungkin Ulama` UMNO barangkali..! Namun suara dan respon mereka tak pula kedengaran dalam isu ini. Mengapa ya.? Haah, kemana perginya kelantangan mereka? Apakah prinsip 'salafi' yang mereka dokongi itu disuruh 'membisu' apabila ia melibatkan Perdana Menteri..? atau sememangnya mereka dilatih dan diasuh membicarakan hal-hal 'bid`ah' sahaja. Itupun hanya melibatkan rakyat bawahan sahaja..? atau apakah isu Thaipusam ini hanya isu yang masih berada dalam lingkungan khilaf-furu` yang boleh berlapang dada?

Saranan saya buat Najib, jadilah orang yang sentiasa takutkan Allah. Takutkan azab dan seksa neraka. Hormatilah nasihat ulama`. Dekatilah mereka, berkawan dengan mereka, cuba menyintai mereka, belajar menundukkan nafsu demi agama. Sekalipun hasrat menyambut Thaipusam itu meraikan warga yang berbagai bangsa dan etnik namun agama kita ada adab dan tatacaranya.

Apakah menjadi kesalahan andainya kamu menunjukkan 'pendirian agama' pada mereka? atau pengaruh kamu akan hilang kerana tidak menyertai (perayaan agama) mereka? Sekurang-kurangnya, agama lain akan faham pendirian Islam. Syabas buat Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria diatas sumbangan anda, semoga Allah nilai segala yang baik itu sebagai 'hasanah' anda di akhirat kelak.

Jom sertai PENDIDIK

Sumber: Harakahdaily,10 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Lajnah Pendidikan PAS Pusat bakal melakar sejarah baru dalam dunia pendidikan tanah air kerana akan menubuhkan NGO bagi warga pendidik iaitu Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) pada 12 Februari  ini.


Program yang bermula jam 2.00 hingga 5.30 petang itu akan diadakan di Dewan Putra, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor, Kampung Delek, Selat Klang, Selangor.

Pengarah program, Normala Sudirman berkata, program anjuran Lajnah Pendidikan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melibatkan peserta yang terdiri daripada Ketua DMPP dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri/Wilayah Persekutuan atau wakil dengan minima 5 orang.

Katanya, ia juga mensasarkan peserta daripada guru-guru di bawah institusi pendidikan yang dimiliki oleh ahli PAS, NGO seperti JIM, Abim dan lain-lain, sekolah agama rakyat dan swasta, Pusat Tahfiz Al- Quran, Pasti dan Kafa, pesara guru dan professional pendidik, aktivis pendidikan ahli dan penyokong PAS.

Beliau berkata, antara objektif  Pendidik ialah sebagai satu wadah atau platform untuk menggerakkan kesedaran dan kebangkitan warga pendidik di seluruh Malaysia berkaitan isu-isu pendidikan dan perguruan di negara ini.

Tambahnya, ia juga untuk menyatukan semua golongan pendidik di bawah satu NGO agar semua tuntutan dan desakan atas apa jua isu pendidikan dan perguruan ’didengari’ oleh semua pihak yang berautoriti dan berkepentingan.

“NGO Pendidik juga sebagai satu saluran suara untuk memperjuangkan hak dan kebajikan guru yang tertindas dan dizalimi di samping menghimpunkan warga pendidik untuk menjalin ukhuwwah, hubungan komunikasi, kesefahaman dan kerjasama yang baik antara golongan pendidik di seluruh Malaysia,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat memberitahu, majlis pelancaran itu akan diserikan dengan 100 orang pemuda daripada Jabatan Amal Malaysia yang menyertai konvoi bermotor untuk mengiringi ketibaan Tuan Guru Presiden PAS bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran NGO Pendidik

Menurutnya, antara tetamu yang bakal hadir dan menyampaikan ceramah untuk berkongsi pengalaman tentang dunia pendidikan tanah air ialah Datuk Adnan Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak yang kini telah menyertai PAS.

Tambahnya, tetamu lain yang akan hadir untuk menyampaikan ucapan ialah Dr Halimah Ali, Exco Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Ustaz Datuk Abu Bakar Chik.

"Semoga dengan pelancaran NGO Pendidik ini dapat membangkitkan kesedaran dan momentum perjuangan para pendidik di seluruh tanah air agar berani membuat perubahan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para guru selain daripada prihatin terhadap nasib para pelajar demi kelangsungan generasi pewaris kepimpinan masa hadapan," ujarnya.

Selasa, 7 Februari 2012

Fiqh: Cuit mengikut imam dan Sujud Sahwi

Beberapa perkara biasa (remeh) yang KEBANYAKANNYA tidak tahu.

Situasi pertama:
Imam terlebih rakaat, sedangkan makmum mengingatkannya dengan ucapan 'Subhanallah'. Namun imam tidak duduk kerana telah pun berdiri tegak. Manakala makmum terus duduk menunggu imam duduk tasyahhud akhir untuk memberi salam bersama-sama imam.

Persoalan yang timbul disini, 'Apakah makmum hanya perlu menunggu mengikut imam memberi salam sahaja atau perlu mengikuti imam sujud sahwi dan kemudian memberi salam bersama-sama imam..?

Jawapan:
Bagi pandangan Imam as-Syafi`e rahimahullah, hukum asal dalam masalah ini, makmun hendaklah sujud sahwi bersama imam dan kemudiannya memberi salam bersama imam.

Imam an-Nawawi memperincikan masalah ini, bahwa persoalan berkaitan sujud sahwi ini bukanlah perkara yang (kebanyakan) 'orang awam tahu'. Maka ia tidak menjejaskan solatnya seandainya dia tidak bersujud sahwi bersama imam (kerana tidak tahu), malah hanya menunggu memberi salam bersama imam sahaja. Namun bagi 'orang awam' yang tahu hukumnya, jika tidak melaksanakan sujud sahwi, maka batal solatnya. (mengikut pendapat Imam as-syafi`e rahimahullah). والله أعلم بالصّواب

Situasi kedua:
Seseorang yang menjadi makmum kepada makmum yang masbuq (yang tidak memberi salam bersama imam kerana masih ada rakaat yang belum cukup).

Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk dia mengikut makmum yang masbuq (tadi) sebagai imam kepada solatnya...? Dengan cara mencuitnya kah, atau meninggikan takbirnya kah?

Jawapan:
Pada asalnya 'cuit' atau 'meninggikan takbir' adalah dalam masalah menarik seorang makmun saf hadapan untuk dia berundur kebelakang sebagai teman di saf yang kedua. Seandai solatnya berseorangan pun di saf yang kedua, tidak membatalkan solatnya. Cuma dalam mazhab Imam as-Syafi`e seseorang di saf kedua dituntut untuk tidak berseorangan di saf kedua.

Maka cara atau kaedah memaklumkan itu adalah dengan cara makmum mengangkat takbir terlebih dahulu kemudian barulah dia mencuit (isyarat undur) makmum yang masbuq tadi sebagai pemberitahuan padanya bahawa dia harus berniat menjadi imam kerana untuk mendapat pahala menjadi imam. Namun jika makmum yang masbuq tadi tidak berniat menjadi imam (sekalipun setelah dicuit) solatnya tetap sah, cuma dia tidak mendapat pahala menjadi imam sahaja. والله أعلم بالصّواب



Nota: Jawapan ini bukanlah muktamad. Para pembaca boleh terus bertanya dengan a`lim-a`lim ulama` yang lain. Usaha ini cuba diketengahkan oleh penulis untuk panduan orang awam, yang mana situasi-situasi ini berlaku secara langsung kepada diri penulis.

Jawapan ini juga diketengahkan oleh penulis setelah berbincang dengan orang yang lebih a`rif dan berkecimpung dalam banyak masalah-masalah berkaitan fiqh (pada hemat penulis).

Semoga usaha ini, diberikan ganjaran oleh-NYA. امين يا ربّ العالمين
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...